HAQ the Movie : ADI PUTRA HOT !!


Kali pertama Ady Putra pernah menanggalkan bajunya untuk filem Anak Halal yang ditayangkan di pawagam tahun lalu. Itupun sekadar beberapa saat. Kali ini nampaknya lebih lama dan pasti membuatkan khalayak kagum dengan tubuh sasanya. Percayalah!

BANYAK yang perlu dikorbankan oleh dua jejaka pujaan ramai ini - Ady Putra dan Zul Huzaimy apabila terlibat dengan filem jalur aksi, Haq di bawah lembayung produksi KasehDia Pictures dengan kerjasama Blackbox Pictures itu.
Apa tidaknya, Ady Putra yang memegang watak sebagai Bad selama dua bulan setengah hanya menjamah lauk ikan sahaja tanpa nasi demi mendapatkan bentuk badan yang dikehendaki oleh sang pengarah, C.L. Hor.
Itu harga yang perlu dibayar oleh jejaka berusia 28 tahun itu. Biarpun begitu, tiada riak kekesalan mahupun kedukaan yang terpamer pada wajah kacaknya itu apabila mengamalkan rejim pemakanan sihat semata-mata untuk mendasari watak Bad.
Kalau diikutkan, kata anak kelahiran Singapura itu, watak yang dipegang dalam Haq tidaklah sesukar seperti yang dilihat secara luaran, namun ia tetap menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.
"Saya hanya dibenarkan mengambil lauk ikan yang memberi protein dalam badan sepanjang tempoh penggambaran ini. Pada awalnya memanglah saya tidak biasa. Kita orang Melayu sudah biasa makan nasi hari-hari.
"Kalau sehari dua tidak apa juga, tetapi bayangkan makan pagi dan tengah hari asyik-asyik ikan saja sedangkan orang di sekeliling makan dengan lauk-pauk enak dan sedap.
"Namun Alhamdulillah, lama-kelamaan saya dapat membiasakan diri dengan diet baru ini. Bagi mengelakkan masalah kelaparan, saya makan roti fiber. Dengan badan yang tidak ada kandungan gula maka saya mengambil makanan tambahan seperti coklat.
"Ada waktunya saya curi-curi makan lauk ayam juga sebab tidak dapat kawal nafsu makan. Ayam juga menyediakan protein kepada badan namun ia sedikit berair. Sebab itulah saya disarankan makan ikan.
"Saya bagaimanapun tidak merungut dengan keadaan ini disebabkan mahu menampilkan aksi terbaik. Sebagai seorang pelakon, sudah pastilah kita kena komited dan berkorban," jelasnya ketika ditemui pada majlis sidang media filem tersebut di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
ZUL dan Ady Putra sanggup melakukan pelbagai pengorbanan demi filem Haq kerana percaya ia naskhah yang istimewa.



Dalam filem Haq yang masih lagi mencari tarikh tayangan tahun depan, penonton dapat menyaksikan dengan mata sendiri adegan Ady Putra membuka satu persatu jaket dan bajunya dengan penuh bergaya sehingga akhirnya menampakkan badannya ketika bertarung dengan lima orang musuh dalam filem itu.
Kali pertama Ady Putra pernah menanggalkan bajunya untuk filem Anak Halal yang ditayangkan di pawagam tahun lalu. Itupun sekadar beberapa saat. Kali ini nampaknya lebih lama dan pasti membuatkan khalayak kagum dengan tubuh sasanya. Percayalah!
Bercakap tentang kesanggupan empunya diri menunjukkan tubuh sasanya kepada orang ramai, Ady Putra menerangkan dia ada alasan tersendiri berbuat begitu dan ia bukanlah disengajakan.
"Saya tidak kisah untuk menampakkan tubuh badan kepada peminat kalau melibatkan diri dengan mana-mana filem. Tetapi saya perlu lihat terlebih dulu sejauh mana perlunya saya tanggalkan pakaian untuk membawakan watak yang diberi.
"Contohnya dalam filem Haq ini saya kena buka baju untuk babak berlawan. Kerana itu jugalah saya berdiet untuk mengekalkan bentuk tubuh sasa. Saya lihat tiada masalahnya kalau berdepan dengan babak macam itu," jelasnya tanpa berselindung.
Zul banyak bermain emosi
Biarpun sudah dikenali ramai sebagai pelakon berbakat besar, Zul Huzaimy Marzuki atau lebih senang membahasakan dirinya sebagai Zul mengaku dia juga harus melakukan pengorbanan untuk menzahirkan watak Haq.
Berilah apa jua watak kepada pelakon itu, dia dapat menghayatinya dengan mudah tanpa berdepan dengan sebarang kesulitan ibarat sesetengah pelakon lain.
Cuma dalam filem itu tutur Zul lagi, dia harus membataskan diri agar tidak terlalu berlebih-lebihan tatkala menunjukkan sisi seorang Haq. Lontaran dialognya juga harus dikawal supaya penonton tidak mampu menghidu amarahnya terhadap Bad.
ADY PUTRA mengamalkan diet ketat untuk mendapatkan bentuk badan yang lebih sasa.



"Watak Haq merupakan seorang lelaki yang baik. Cuma watak ini perlu dimasukkan unsur-unsur manusia yang ada ketegasannya apatah lagi berkaitan satu-satu situasi penting yang berlaku dalam hidupnya.
"Contohnya pandangan mata saya tetap kena nampak natural walaupun sedang marah dengan perbuatan Bad yang menganiaya keluarganya dan Aina lakonan Raja Farah.
"Ada waktunya saya tidak mampu mengawal renungan apabila terlalu terbawa-bawa dengan emosi tetapi pengarah akan segera menegurnya.
"Susah jugalah hendak bawa watak Haq ditambah pengarah filem ini amat berhati-hati merakamkan setiap babak walaupun hanya melibatkan lenggok badan dan luahan dialog," jelasnya dalam nada perlahan.
Kalau sebelum ini Zul hanya menggunakan teknik-teknik tertentu semasa merealisasikan adegan bertarung dengan pihak lawannya, lain pula halnya kali ini.
"Pengarah mempersoalkan impak adegan pergaduhan ini kalau ia dilakukan dengan teknik saja. Oleh itu saya dikehendaki membelasah betul-betul pelakon tambahan semasa melibatkan babak pergaduhan.
"Saya segera ikut arahan Hor sampaikan bengkak jugalah anggota badan saya. Tetapi pengarah mengatakan teknik berlawan saya sebenarnya salah, gara-gara saya mengalami kecederaan sedangkan individu-individu yang kena pukul dengan saya okey saja," jawab Zul.
Dalam pada itu, Raja Farah Raja Aziz atau Raja Farah yang memegang peranan sebagai Aina tidak mampu menyembunyikan riak teruja dapat melibatkan diri dengan produksi filem yang menelan perbelanjaan RM2.5 juta itu.
JUMAATUN (tiga dari kanan) bersama pengarah dan pelakon Haq, (dari kiri) Raja Farah, Ady Putra, Hor, Nanu dan Zul.


Haq menjadi filem ketujuh memunculkan wajah gadis berusia 21 tahun itu di layar perak. Dia mengakui filem itu ada keistimewaan tersendiri berbanding karya-karya yang pernah mendapat khidmatnya sebelum ini.
"Ia merupakan filem yang bagus. Saya berani cakap macam ini kerana dari awal memulakan penggambaran, saya nampak kesungguhan seluruh tenaga kerjanya melakukan tugas masing-masing selain memiliki jalan cerita menarik.
"Saya percaya bahawa filem ini bakal mengejutkan ramai. Dengan teknik janaan imej ditambah plotnya berkaitan lelaki yang mempunyai kuasa luar biasa menjadi elemen terpenting mengajak penonton untuk menyaksikan filem ini.
"Selain menunjukkan kesengsaraan akibat dicederakan tanpa belas kasihan oleh Bad, saya juga bermain dengan banyak emosi," jelasnya yang bebas melontarkan pendapat kepada tuan pengarah semasa terlibat dalam penggambaran yang banyak berlokasi di negeri Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
Selain Ady Putra, Zul Huzaimy dan Raja Farah, filem itu turut dibintangi oleh Fatimah Abu Bakar, Nanu Baharuddin dan Zulkifli Ismail.
Penerbit filem Haq, Jumaatun Azmi memberitahu filem itu dihasilkan berdasarkan kehidupan moden manusia hari ini merangkumi pelbagai aspek dan perspektif. Naskhah berkenaan juga diterbitkan secara bersama dengan pelakon terkenal, Nanu.

sumber : kosmos!





Peluang dekati peminat : Kota Tinggi (miss nyer aku)

SEBAHAGIAN artis yang menjayakan konsert mini Jelajah Metro di Kota Tinggi, Johor.

Hujan lebat tak halang artis popular berikan persembahan terbaik pada konsert mini Jelajah Metro 

MESKIPUN hujan lebat melanda daerah Kota Tinggi, Johor, namun cuaca kurang elok itu tidak mematahkan semangat 13 artis untuk memberikan persembahan terbaik mereka pada konsert mini Jelajah Metro sempena ulang tahun ke-20 akhbar itu yang berlangsung di Padang Bukit Kerajaan, 29 Januari lalu.
Artis seperti Mawi, Zamani, Daus AF8, 6ixth Sense, Alyah, Sharifah Zarina, Ifa Raziah, Along Raja Lawak, Puteri Mardiana, Afzan (Anak Wayang), Min Yasmin, Am Ketampi dan Roslan Shah tidak menghampakan peminat dengan persembahan bertenaga mereka, di samping turut terbabit dalam acara sukaneka bersama peminat.
Malah, konsert yang diadakan dalam hujan lebat itu tetap menarik lebih 5,000 peminat yang tidak berganjak di hadapan pentas, walaupun terpaksa berpayung.

Hakikatnya, konsert selama dua jam itu memuaskan hati mereka, yang sanggup menunggu sejak jam 6 petang, kira-kira tiga jam sebelum konsert berlangsung. Penantian mereka nyata berbaloi apabila barisan artis yang menjayakan acara memberikan persembahan menghiburkan.

Bagi Daus AF8, pembabitannya dalam program sebegini bukan saja dapat merapatkan lagi hubungan antara artis dan peminat, malah ia juga boleh memberikan sedikit kerehatan kepada dirinya di samping meluangkan masa bersama peminat.

“Saya jarang terbabit dalam program sebegini dan apabila dijemput mengikuti acara ini, saya terima sebab ia dapat mendekatkan diri dengan peminat di samping merehatkan diri.
“Sebelum ini saya sibuk dengan pembikinan album terbaru, jadi tidak ada masa untuk berehat. Kesempatan ini saya ambil untuk meredakan ketegangan selain berhibur bersama peminat,” katanya yang akan muncul bersama album sulung Mac depan.

Daus yang juga calon Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 bagi kategori Artis Baru Lelaki Popular, turut mempersembahkan dua lagu terbaru yang dimuatkan dalam album perdananya, iaitu Kenapa dan Risau, khas buat peminat di Kota Tinggi.

Lain pula kisahnya buat artis terkenal dengan irama dangdut, Ifa Raziah, yang menganggap pembabitannya dalam acara itu sebagai usaha menaikkan kembali namanya dalam industri muzik tempatan.

“Oleh kerana saya banyak terbabit dalam lakonan drama dan tugas pengacaraan, jadi peminat sudah tidak lagi nampak saya menyanyi. Kalau saya jumpa peminat di luar, mereka akan lihat saya sebagai pengacara Wanita Hari Ini.

“Saya terima undangan Harian Metro mengadakan persembahan di sini memandangkan saya sudah lama tak beraksi di pentas. Jadi dengan peluang yang ada, saya berharap dapat menaikkan kembali nama saya dalam industri muzik,” katanya yang akan lahir dengan album terbaru berjudul Luar Biasa.

Walaupun sudah lama tidak mengadakan persembahan pentas, namun Ifa masih menerima undangan bagi mengadakan persembahan di majlis makan malam, sama ada sebagai penyanyi atau sebagai pengacara. Ifa juga mengaku tetap komited terhadap bidang nyanyian yang diceburinya.

Ketika menyanyikan lagu Luar Biasa, Ifa lincah beraksi di pentas dengan lenggok tari dan gelek yang sebati dengan dirinya. Wanita ini juga petah berceloteh bersama peminat.

Bantu lonjak populariti

LIMA anak muda daripada kumpulan 6ixth Sense turut menganggap kemunculan mereka pada program terbabit bukan saja berupaya merapatkan hubungan dengan peminat, malah meninggalkan impak yang baik dalam memacu populariti kumpulan ini.

“Menerusi pembabitan dalam program sebegini, peminat akan lebih mengenali 6ixth Sense secara lebih dekat. Kami juga dapat melihat sambutan peminat terhadap kumpulan ini dengan lebih jelas lagi. Selama ini, lagu-lagu kami sering menjadi pilihan atau ikutan peminat, tetapi mereka tidak mengenali kami dengan lebih dekat," kata penyanyi kumpulan itu, Adi.

6ixth Sense nyata berpuas hati dengan sambutan peminat, yang kian bertambah sehingga mereka dicalonkan dalam senarai Top 5 ABPBH 2010 untuk kali kedua.

Bagi penyanyi kecil molek, Alyah, konsert mini Jelajah Harian Metro tidak asing dengan dirinya kerana sebelum namanya dikenali ramai dulu pun, dia sering mengikuti program terbabit.

“Dulu, saya kerap membabitkan diri dalam program serupa, ketika album single Tak Mungkin dikeluarkan, bagi mempromosikan diri kepada peminat. Namun peluang itu agak terbatas sejak kebelakangan ini, dek jadual yang bercanggah serta kesibukan saya di studio rakaman," katanya.

Alyah yang juga calon Top 5 ABPBH 2010 dalam kategori Penyanyi Wanita Popular turut menganggap peluang yang diberikan kepadanya sebagai kesempatan untuk merapati peminat yang setia menyokongnya.

Apapun siri Jelajah Harian Metro tidak berakhir di sini, malah akan meneruskan pengembaraan ke Kuala Terengganu (18-19 Februari) dan Port Dickson (12-13 Mac) selepas penjelajahan pertama di Lumut, Perak pada 15 dan 16 Januari lalu.

sumber : berita harian




Kompilasi cerita hantu ??

PELAKON, pengarah dan penerbit Sini Ada Hantu pada majlis tayangannya di GSC Mid Valley baru-baru ini.
Kisah seram biasa didengar diangkat ke layar lebar oleh James Lee

MELIHAT kepada sambutan hangat peminat terhadap filem bercorak komedi seram, semakin banyak syarikat penerbitan berlumba-lumba menghasilkan judul dalam genre terbabit.




Ngangkung dan Hantu Kak Limah Balik Rumah antara contoh terbaik filem dalam kelompok berkenaan yang kuat menarik perhatian penonton ke panggung.
Bermula 10 Februari ini, sebuah lagi filem seram tempatan berjudul Sini Ada Hantu terbitan Astro Shaw Sdn Bhd bakal menemui penonton di 54 pawagam di seluruh negara. Filem arahan James Lee ini juga muncul filem pertama hasil kerjasama Astro Shaw bersama Double Vision Sdn Bhd. 


Filem yang menelan belanja kira-kira RM1.2 juta itu memuatkan lebih daripada satu cerita hantu, berdasarkan kisah yang selalu didengar di kalangan masyarakat di negara ini. 



Tiga kisah seram yang disampaikan dalam satu filem itu berjaya menambat hati penonton dengan diselang-selikan dengan unsur komedi. 



Penonton juga tidak terlalu tertekan menyaksikan filem ini kerana mereka masih mempunyai ruang untuk ‘berehat’ dan meneruskan pengembaraan dari satu kisah ke kisah yang lain sehingga selesai. 

Dipersembahkan dalam bentuk lebih santai, kisah hantu pokok pisang, hantu jepun dan hantu tarik duit yang dipaparkan dalam filem ini boleh dianggap antara garapan komedi seram yang berjaya menghiburkan penonton. 



Bermula dengan pengalaman mengarahkan filem seram berjudul Histeria yang pernah meraih kutipan sebanyak RM2.8 juta, James Lee masih mengekalkan unsur seram dan mistik dalam arahan terbarunya, namun dia turut menyelitkan unsur komedi sebagai tarikan komersial. 


Menurut James, filem itu sedikit sebanyak merujuk kepada kejadian benar yang berlaku di negara ini. 



“Menerusi filem ini, penonton dapat mengingatkan kembali beberapa kejadian yang selalu juga diperkatakan seperti kejadian di asrama penuh, di mana pelajar sering ditakutkan dengan kisah seram mengenai asal usul kejadian sesuatu kejadian di sekolah berkenaan, kisah bagaimana orang mahu cepat kaya dengan memuja roh untuk meminta bantuan dan kisah mengenai hantu cantik yang menjelma dari pokok pisang,” katanya yang ditemui selepas pratonton filem itu baru-baru ini. 



Pengarah Urusan Tayangan Unggul Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, walaupun usaha sama bersama Double Vision julung kali diadakan, namun ia membuahkan hasil yang baik. 



“Terus terang saya sangat menyukai hasil kerja James Lee yang kreatif, yang menggarap filem ini dengan kemas sekali. 



“Cerita yang biasa kita dengar daripada orang-orang tua disampaikan dengan kemas sehingga kita terus ingin mengetahui kesudahannya, sampai habis. Begitu juga dengan elemen komedi yang ditonjolkan, hasil gabungan pelakon yang mempersembahkannya secara santai dan bersahaja. 



“Kami juga sedia untuk terus menjalinkan kerjasama, sama ada untuk menyambung filem ini atau menghasilkan filem lain,” katanya. 



Filem yang menjalankan penggambaran sekitar Kuala Lumpur ini dibintangi Baki Zainal, Alvin Wong, Fasha Sandha, Beto Kusyairy, Eira Syazira, Kuswadinata, Qhaud AF, Pete Teo, Mandy Chen dan Goh Sin Ping. 



Ia juga menampilkan Mano Maniam, Ramasundram, Sufian Mohamed, Zaki Zabidi, Chen Puie Heng, Chen Puie Kong, Wong Chee Hong, Patrick Teoh, Taiyuddin Bakar, Chomatt Samad, Amerul Affendi, Kazaruddin Saisi dan Zuraini Kassim. 



Sinopsis 



KISAHNYA bermula apabila dua pemandu van, Ah Meng dan Bakri ditugaskan menghantar mayat ke sebuah kampung. Mereka perlu sampai ke destinasi tepat pada masanya, pada keesokan pagi. Pada mulanya mereka menolak, tetapi akhirnya bersetuju apabila ditawarkan upah lumayan. 



Dalam perjalanan, mereka bercerita mengenai kisah seram yang pernah mereka dengar bagi menghilangkan rasa mengantuk. Bakri memulakan kisah Hantu Pokok Pisang. 



Ah Meng mentertawakan Bakri dan mengatakan hantu Melayu tidak logik, lalu dia pula menceritakan kehebatan hantu Cina iaitu Hantu Nombor Ekor. Kisah empat lelaki yang mengalami masalah kewangan lalu memuja roh untuk mendapatkan pertolongan. 



Kedua-duanya tidak mahu mengalah dengan menyatakan kisah itu semuanya tidak logik, baik hantu Melayu mahupun hantu Cina. Mereka terus bercerita mengenai hantu seterusnya seperti hantu luar negara dan hantu asrama sehinggalah van mereka mengalami kerosakan di tengah-tengah hutan. 


sumber : berita harian




Kutipan Khurafat cecah RM7 juta : Macam Best Jerk ^^


FILEM seram pertama terbitan Skop Production Sdn Bhd, Khurafat, terus menunjukkan persembahan memberangsangkan selepas tiga minggu tayangan apabila berjaya membuat kutipan kasar RM6.9 juta sehingga kelmarin. Angka berkenaan pula dijangka meningkat sehingga RM7.2 juta, sehingga hari ini. 

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam, berkata dia bersyukur kerana percubaan pertama Skop menghasilkan filem seram diterima ramai.


Beliau ketika dihubungi menganggarkan Khurafat mampu mencecah antara RM7.5 juta sehingga RM8 juta apabila tamat tayangannya nanti. Bagaimanapun katanya, angka kutipan Khurafat akan terjejas sempena Tahun Baru Cina berikutan beberapa pawagam sudah pun menyatakan hasrat mereka mengurangkan jumlah tayangan filem itu, bagi memberikan laluan kepada filem baru.
“Alhamdulillah selepas tiga minggu ditayangkan, Khurafat berjaya memungut sekitar RM7 juta dan kita anggarkan angka itu akan meningkat lebih tinggi lagi. Namun sambutan Tahun Baru Cina akan menjejaskan kutipan filem ini berikutan pempamer mahu mengurangkan jumlah tayangannya untuk memberi laluan kepada filem lain.

“Contohnya di Ipoh, pempamer terpaksa mengeluarkan filem ini, tetapi mereka berjanji untuk menyelitkan beberapa sesi tayangan jika boleh. Daripada enam tayangan sehari yang mampu mengutip antara RM12,000 hingga RM13,000, mereka mungkin akan berikan dua slot tayangan untuk filem ini. Secara keseluruhannya, kita akan kekurangan separuh daripada kutipan yang mampu dipungut.

“Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana tidak menyangka Khurafat boleh mencecah kutipan setinggi ini. Malah lebih tinggi daripada sejarah yang pernah dicetuskan Skop Production sejak 16 tahun lalu, menerusi filem Sembilu, yang mencatat RM6.3 juta selama 40 hari ditayangkan,” katanya.

Sembilu yang dibintangi Erra Fazira, Awie, Ziana Zain dan Mustapha Kamal menemui peminat filem Melayu pada 1995. Filem berkisar percintaan penyanyi rock itu mencatat sejarah apabila menjadi filem pertama di negara ini berjaya mengutip RM6.3 juta, menyebabkan penerbit itu sendiri digelar Six Million Dollar Man.
Biarpun menyedari filem seram mampu memberi pulangan lumayan, namun Yusof berkata, beliau enggan terburu-buru untuk terus menghasilkan filem bergenre sama bagi meraih keuntungan segera.

“Syamsul ada menyatakan, dia tidak mahu tergopoh-gopoh menghasilkan filem seram lain. Selepas Khurafat, dia kini sibuk mengarahkan filem Bohsia 2: Jalan Kembali, malah saya sendiri kurang bersetuju apabila industri kita terlalu dilambakkan dengan cerita hantu. Mungkin kita hanya akan terbitkan pada penghujung tahun ini kerana Syamsul mempunyai beberapa filem lain yang perlu diselesaikan.

“Sebenarnya dia menghasilkan Khurafat atas dasar ingin mencuba. Pada mulanya dia sendiri was-was tetapi tak sangka pula filem ini mendapat sambutan serta komen yang baik daripada peminat dan juga media.

”Bagaimanapun dia ada menyatakan kepada saya, jika dia mahu hasilkan filem seram pun, mungkin dia ingin mencuba seram komedi seperti filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Dia terlalu meminati filem itu, lagipun seram komedi lebih mudah dihasilkan berbanding filem seram yang memerlukan banyak kajian dilakukan. Saya tidak kisah filem apa sekalipun yang mahu Syamsul hasilkan, tetapi kalau boleh biarlah mempunyai mesej,” katanya.

Sebagai bapa, Yusof sentiasa mengingatkan Syamsul supaya tidak mudah meninggi diri atau berasa dirinya hebat dengan kejayaan demi kejayaan yang diraih. Baginya, kejayaan itu bukan miliknya seorang tetapi ia tidak akan dicapai tanpa kerja berpasukan.


sumber : berita harian
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KutipanKhurafatcecahRM7juta/Article



Chinese New Year 2011 : Tradition



BEBERAPA hari lalu, seorang lelaki Tionghua meminta izin penulis untuk mengambil sedikit daun pisang di surau di hadapan rumah. "Saya mahu bikin
kuih bakul lah. Di bandar susah mahu cari pokok pisang.
"Boleh minta sedikit?" tanya lelaki yang berumur dalam lingkungan usia 60 tahun itu.
Penulis yang tahu lelaki itu tinggal dalam kawasan kejiranan, membenarkan lelaki itu mengambil sedikit daun pisang di situ. "Saya ada pisau sendiri, saya boleh angkat ya...mungkin enam atau tujuh helai," katanya ramah sambil bercerita bahawa kuih bakul atau nian gao yang bererti kuih tahun merupakan kemestian baginya setiap kali menyambut Tahun Baru Cina. Kuih Bakul ialah simbol yang membawa tuah dalam menyambut tahun baru bagi kaum Cina.
Di Lembah Klang harga sebiji kuih bakul dijual di antara RM9 hingga RM13 bergantung kepada saiz dan lokasi jualan.
Menurut masyarakat Tionghua moden, kuih bakul dalam bahasa Mandarin hampir sama dengan perkataan yang bermakna tahun yang lebih tinggi terutama dari aspek pendapatan.
Kepercayaan itu menggalakkan semua penghuni rumah menghidangkan kuih bakul kepada tetamu selain amalan membuat kuih bakul sendiri sebagai menghormati adat resam dan tradisi masyarakat Tionghua. Setiap kali menjelang Tahun Baru Cina, We Hui Ming bersama keluarganya tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan juadah tradisional Cina iaitu kuih bakul. Hui Ming, 38, yang tinggal dan berniaga di Kampung Cina, Kuala Terengganu, Terengganu berkata, beliau yang dibantu oleh ibu dan suaminya menyiapkan antara 4,000 dan 5,000 biji kuih bakul setiap tahun menjelang Tahun Baru Cina.
Kuih-kuih yang dihasilkan oleh keluarga itu bukan sahaja dibeli oleh penduduk di sekitar Terengganu, malah ditempah oleh penggemar dari luar Terengganu.
"Kuih bakul atau dalam sebutan Cina nian gao tidak terhad kepada kaum Cina saja, malah saya banyak menerima tempahan daripada orang Melayu. Ada seorang guru dari Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Kak Pah selalu datang ke sini tempah kuih bakul untuk diagih-agihkan kepada kawan-kawannya," katanya ketika ditemui.
Menceritakan pengalamannya, Hui Ming berkata, ibunya Tan Kim Jee, 68, mengajar beliau membuat kuih bakul sejak lima tahun lalu.
Bahan utama untuk membuat kuih itu tidaklah sukar, cuma memerlukan beras pulut dan gula. Bagaimanapun, cara membuatnya agak rumit kerana ia memakan masa yang agak lama.
Langkah membuat kuih itu bermula dengan mengisar beras pulut menjadi tepung, kemudian direndam selama satu malam. Sebelum dicampur gula, ia perlu ditoskan sebelum diuli.
Hui Ming berkata, kuih bakul perlu dikukus agak lama iaitu selama 18 jam sehingga warnanya bertukar menjadi coklat. Setelah masak, ia perlu dijemur di bawah cahaya matahari seharian.

Kuih bakul tujuh generasi
Katanya, kuih bakul itu ada yang dibungkus dengan plastik dan daun pisang. Kuih bulan yang dibungkus dengan plastik dijual pada harga RM5 sebiji manakala yang dibungkus dengan daun pisang dijual RM9 sebiji kerana saiznya yang lebih besar dan beratnya mencecah setengah kilogram sebiji.
Sementara itu, Kim Jee berkata, keluarganya terlibat dalam penghasilan kuih bakul sejak turun temurun dan sudah melangkaui tujuh generasi.
Pada hari-hari biasa dan bukan pada musim perayaan, beliau berniaga kuih pau dan kuih tradisional Melayu seperti pulut panggang, keropok lekor dan keropok keping.
Selain kuih bakul, berpakaian baru terutama warna merah yang bermakna membawa tuah turut menjadi kemestian bagi masyarakat Tionghua yang menyambut Tahun Baru China.
Amalan itu turut diikuti dan dihormati oleh Peggie Ng walaupun beliau telah memeluk Islam. Ng juga memastikan anak-anaknya berpakaian merah apabila ke rumah nenek mereka.
"Anak-anak saya memang seronok memakai pakaian merah. Tak kiralah ceongsam tradisional ataupun baju moden. Bila tiba perayaan Tahun Baru Cina setiap tahun, mereka akan pastikan baju Tahun Baru sudah siap dikemas untuk dibawa ke rumah po-po (nenek) mereka di Pulau Pinang," kata Ng yang menetap di Kampung Tunku, Kuala Lumpur.
Tidak seperti anak-anaknya, Ng tidak begitu minat berpakaian merah kerana warnanya terlalu terang dan menonjol, tetapi masih memilih baju yang ada sedikit warna merah sebagai syarat.
Ng biasanya pulang ke rumah ibunya sehari sebelum tahun baru untuk makan besar bersama ibu dan adik-beradiknya.
Ng juga masih mengikut adat kaum Cina keturunan Teochew di Pulau Pinang. Sebelum pulang untuk merayakan Tahun Baru bersama keluarga di rumah orang tua, anak perempuan mesti menghantar kiriman barang keperluan untuk sambutan tahun baru dan majlis makan malam.
Adat itu dinamakan song nian atau kiriman tahun.
Ziarah ibu bapa
"Sekarang, lebih senang kalau dikirimkan wang saja kepada ibu kerana segala keperluan akan dibeli oleh ibu. Tak perlu adik-beradik perempuan memikirkan siapa patut beli bahan apa. Kadang-kadang terbeli dua kali dan barang yang berlebihan itu membazir pula.
"Wang itu akan digunakan untuk membeli bahan makanan kering seperti cendawan, abalon, itik yang dikeringkan, pelbagai kuih dan kekacang.

"Dahulu, kiriman itu sebenarnya perlu dibawa sendiri untuk menggalakkan anak-anak menziarah ibu bapa sebelum musim perayaan, terutama anak perempuan yang akan menghadiri majlis makan malam sebelum tahun baru di rumah mentua," jelas Ng.
Ng tidak mempunyai masalah untuk membahagikan masa menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarga saban tahun selain merayakan Aidilfitri dan Aidiladha sebagai seorang Islam.
"Saya akan tinggal di Bukit Mertajam untuk beberapa hari tetapi memandangkan rumah keluarga ibu saya agak kecil, keluarga saya akan menginap di sebuah hotel yang tidak berapa jauh dari rumah ibu, demi keselesaan semua," kata Ng tersenyum menceritakan kemeriahan sambutan bersama keluarga.
Pada pagi Tahun Baru Cina, kanak-kanak akan membawa buah limau atau kam yang bererti emas dan angpau iaitu paket merah berisi wang untuk ibu bapa dan anggota keluarga yang belum berkahwin.
Buah tangan itu atau pai nian, lumrahnya saling bertukar ganti tangan untuk berkongsi tuah pada pagi tahun baru.
Memberi angpau memang satu kewajipan terhadap mereka yang sudah berumah tangga untuk diberikan kepada mereka yang masih bujang tanpa mengira usia.
Mengikut adat orang Teochew di Pulau Pinang, limau diberikan dalam jumlah angka genap.
"Kalau saya terima empat biji limau, saya pulangkan hadiah kam dengan jumlah yang sama. Saya pernah terima angpau yang mengandungi duit syiling .40 sen semasa kecil. RM1.10 sen pun saya pernah terima. Tetapi kini, sememangnya kalau wang syiling, kanak-kanak kurang seronok apabila menerimanya.
"Sebenarnya, apa yang penting ialah pemberian itu untuk membawa tuah pada tahun baru," katanya.
Masyarakat Tionghua di seluruh dunia akan menyediakan rumah untuk sambutan tahun baru sebaik mungkin dengan memastikan ia dibersihkan pada satu tarikh istimewa sebelum tahun baru.
Pemilihan tarikh cuci rumah akan mengikut perkiraan kalendar almanak Cina dan bahan tradisi yang digunakan ialah batang buluh yang masih berduri.
Ia digunakan untuk mengemas sarang labah-labah di ceruk siling dan dinding sekeliling rumah.
"Dulu, batang pohon buluh inilah yang digunakan untuk membersihkan sawang dan habuk. Saya yakin pohon buluh ini ada kelebihannya iaitu untuk menjauhi keburukan. Buluh dipercayai berupaya menghalau nasib malang dan hantu yang tidak baik," cerita Ng.
Rumah yang dikemas untuk musim perayaan turut menjadi tumpuan keluarga yang ada ramai anak perempuan kerana pembahagian 'kawasan' dan waktu berkemas memendekkan lagi proses pembersihan dan tempoh masa untuk menyelesaikan kerja membersih. 
Mengerat hubungan
Beberapa hari sebelum sambutan tahun baru, masyarakat Tionghua dilarang menyapu, mengemas atau mencuci rumah kerana diibaratkan seperti menyapu keluar tuah yang dibawa pada tahun itu.
Memang tidak dapat dinafikan air tangan ibu menyediakan juadah tradisional dan baru untuk majlis makan besar pada malam sebelum Tahun Baru Cina amat dinanti-nantikan.
Ramai yang enggan makan di restoran atau di hotel-hotel mewah walaupun ia boleh mengelakkan rumah ibu dan bapa menjadi kotor dan berselerak.
Kuih-muih yang dibuat bersama anggota keluarga secara bergilir-gilir mengikut pusingan rumah yang dikunjungi pada tahun baru, adalah pengalaman yang menyeronokkan selain dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Peggie bercerita: "Kalau minggu ini kami bakar kuih kapit di rumah adik bongsu, minggu depan giliran membuat biskut bangkit di rumah kakak. Seronok dan meriah kerana inilah masanya kami berkumpul dan mengimbau kenangan pada zaman kanak-kanak. Di rumah abang pula pada minggu yang berikutnya kami membuat kuih bakul." Tahun ini di rumah keluarga Peggie, ada sesuatu yang menarik.
Anak buahnya yang sedang menuntut kursus kulinari di sebuah institut pendidikan tinggi akan memasak untuk seisi keluarga.
Pastinya, menu yang bakal dihidangkan nanti adalah sesuatu yang baru selain dengan makanan kaum dan budaya lain turut disediakan.
"Saya tak sempat nak tolong masak tahun ini, sampai nanti sempat untuk makan sajalah sajian anak buah saya itu!" jawab Peggie sambil melemparkan senyuman, memikirkan gelagat anak-anaknya nanti bila sampai ke rumah po-po mereka untuk menyambut Tahun Baru Cina. - Bernama

sumber : kosmo!






LTdL 2011 ^^


GUARDINI (depan) memenangi perlumbaan peringkat ke-10 semalam, sekali gus menggenggam gelaran sebagai Raja Pecut LTdL 2011.



KEJAYAAN memenangi perlumbaan peringkat kelima dari Tapah ke Genting Highlands sejauh 124.3 kilometer (km) pada Khamis lalu membawa tuah buat pelumba pasukan Androni Giocattoli, Jonnatha Monsalve.
Kejayaannya muncul pelumba pertama sampai di puncak Genting Highlands itu sudah cukup untuk membolehkan pelumba Venezuela itu ditabalkan selaku juara baru pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011.
Biarpun hanya berpeluang menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan selepas berakhirnya peringkat kelapan di Jasin, Monsalve terus mempertahankan jersi tersebut sehingga peringkat terakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam.
"Saya gembira dan berbangga kerana nama saya kini berada dalam senarai juara LTdL. Ini merupakan kejayaan sulung saya pada kejohanan seperti ini.
"Saya mahu menjadikan kemenangan ini sebagai permulaan untuk terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," kata Monsalve pada sidang media semalam.
Selepas tamat 10 peringkat perlumbaan, Monsalve merekodkan catatan masa keseluruhan 30 jam 08 minit 57 saat diikuti pelumba LeTua Cycling Team, Libardo Nino Corredor (3'09:02s) dan pelumba pasukan Androni Giocattoli, Emanuele Sella (30'09:21s).
Monsalve yang turut meraih gelaran Raja Bukit (Jersi Merah) berkata, pada awalnya dia tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi untuk dijulang sebagai juara baru pada kejohanan berstatus 2HC itu.
"Saya mula melakukan persiapan bagi menghadapi LTdL sejak Disember tahun lalu. Ketika itu, saya tidak mahu meletakkan sasaran kerana saya sedar ramai pelumba-pelumba ternama turut bersaing pada kejohanan ini.
"Bagaimanapun, tumpuan dan fokus saya mula berubah sejak saya memenangi perlumbaan di Genting Highlands. Sejak itu, saya sudah meletakkan sasaran untuk menjuarai kejohanan kali ini," katanya yang gembira dapat menyarung Jersi Kuning selepas peringkat kelapan.
Pada perlumbaan peringkat terakhir yang bermula di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam semalam, pelumba Farnese Vini-Neri Sottoli, Andrea Guardini merakamkan kemenangan kelimanya pada saingan LTdL tahun ini.
Guardini berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa 2'24:30s. Bagi Guardini, kejayaan tersebut menyaksikan dia berjaya menyamai rekod dua lagi pelumba yang pernah melakar lima kemenangan dalam sejarah penganjuran LTdL, Greame Brown dari Australia (2004) dan Alberto Loddo dari Itali (2007).
Lebih manis, dia turut ditabalkan sebagai Raja Pecut yang baru, sekali gus menafikan hajat Anuar untuk menyarung Jersi Biru bagi tahun kedua berturut-turut.
Sementara itu, pelumba pasukan Azad University Cycling Team, Rahim Emami muncul pelumba terbaik Asia manakala pasukan yang diwakilinya itu diangkat sebagai pasukan terbaik Asia.
Tabriz Petrochemical Team pula muncul juara keseluruhan.
sumber : berita harian



Banjir teruk !!!


ADUN Bukit Ibam, Datuk Mohamad Sahfri Abdul Azizi (depan) membawa barang keperluan asas untuk diagihkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat kepada penduduk yang terlibat banjir di Kampung Meripoh, Muadzam Shah. Seramai 260 orang daripada 35 keluarga di Kampung Meripoh, terputus perhubungan darat. 

Banjir lima negeri belum surut


60,389 mangsa masih ditempatkan di 356 pusat pemindahan sementara 

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Sabah masih belum surut menyebabkan kira-kira 13,826 keluarga dan 60,389 mangsa masih ditempatkan di 356 pusat pemindahan sementara di seluruh negara sehingga semalam.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengarahkan semua pegawai dan petugas kemen-terian itu bersiap sedia 24 jam bagi membantu mangsa banjir di negeri terbabit.
Di JOHOR: Cuaca yang agak baik sepanjang hari, membantu meredakan banjir seluruh negeri ini, apabila hampir 10,000 daripada 50,000 mangsa pada tengah malam kelmarin, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, petang semalam. 

Setakat jam 4 petang, 46 pusat pemindahan sudah ditutup tetapi 41,647 penduduk membabitkan 10,009 keluarga, masih berlindung pada 247 pusat pemindahan banjir. 

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, berkata pusat pemindahan yang ditutup merangkumi 19 di Johor Bahru; Muar (2), Segamat (6), Kluang (12), Pontian (1), Kota Tinggi (2) dan Kulaijaya (4). 

Katanya, ketika ini pusat pemindahan yang masih beroperasi membabitkan lima di Johor Bahru, Muar (21), Batu Pahat (29), Segamat (89), Kluang (40), Pontian (9), Kota Tinggi (18), Mersing (1), Ledang (28) dan Kulaijaya (7). 
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya akan membuka kaunter khas di setiap pusat pemindahan banjir bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa. 

Katanya, ketika ini pihaknya mempunyai anggota yang cukup untuk membantu proses pemindahan dan juga mereka yang keluar dari pusat pemindahan itu. 

Berdasarkan laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati semalam, antara sungai yang berada pada paras bahaya termasuk Sungai Muar di Bukit Kepong, Olak Sepam, Seri Maamor dan Kampung Awat, Sungai Bekok, Sungai Rantau Panjang di Kota Tinggi dan Sungai Benut di Simpang Renggam. 

Di NEGERI SEMBILAN: Seramai 2,393 mangsa banjir membabitkan 572 keluarga dipindahkan ke 25 pusat pemindahan sementara di seluruh negeri ini, semalam. 

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata bilangan mangsa banjir meningkat berbanding kelmarin berikutan paras air sungai yang tidak berubah berikutan banjir di Johor. 

Di PAHANG: Jumlah mangsa banjir di negeri ini semalam meningkat kepada 1,777 orang membabitkan 226 keluarga berbanding hampir 800 orang kelmarin. 

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Pahang berkata, sehingga jam 5 petang semalam, jumlah berkenaan membabitkan 1,687 orang daripada 204 keluarga di Rompin dan 90 mangsa membabitkan 22 keluarga di Bentong. 

Di MELAKA: Seramai 4,101 mangsa banjir masih lagi ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara di seluruh negeri ini sehingga jam 7 malam semalam, berikutan kawasan mereka masih ditenggelami air. 

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri di Ayer Keroh berkata, 2,114 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara daripada 557 keluarga di daerah Melaka Tengah, manakala 1,575 dari 380 keluarga di daerah Alor Gajah dan di daerah Jasin sebanyak 419 orang daripada 93 keluarga. 

Di SABAH: Banjir di empat daerah di Sabah sejak tiga hari lalu semakin surut semalam dengan kebanyakan mangsa yang dipindahkan di pusat penempatan sementara sudah dibenarkan pulang. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, bilik gerakan banjir di daerah Kota Marudu, Beluran, Pitas dan Sandakan masih dibuka bagi menghadapi kemungkinan air meningkat semula. 

sumber : berita harian 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Banjirlimanegeribelumsurut/Article



PUSH