Blog Pendaki Solo


MOHD. NOOR (dua dari kiri) memberi penerangan kepada sekumpulan pelajar mengenai misi rekod dunianya di Menara Kuala Lumpur.
PADA usia 43 tahun, kecergasan fizikalnya mengalahkan kudrat anak muda. Setiap misi yang dilakukan membuahkan kejayaan membanggakan sesiapa sahaja yang mengenalinya.
Kebanyakan masa terluang anak jati Kuala Terengganu itu dihabiskan bagi tujuan latihan mendaki kawasan tinggi secara solo ataupun secara berkumpulan agar ketahanan fizikalnya sentiasa konsisten.
Dengan semangat dan pengalaman pendakian itulah, Mohd. Noor Mat Amin berkongsi kisahnya mendaki gunung, bukit dan bangunan pencakar langit menerusi blog.
Minatnya terhadap dunia blog bermula ketika misi pendakian Gunung Kinabalu pada tahun 2009 kerana dari situ orang ramai dapat mengetahui perkembangannya.
Walaupun sibuk dengan aktiviti lasak sejak berusia 20 tahun, interaksi dengan orang ramai kini, semakin mudah kerana perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menyebabkan manusia berinteraksi tanpa had.
Melalui laman blog pensolo.blogspot.com, ia pasti menarik perhatian kelompok yang gemar aktiviti lasak terutama pendakian kawasan tinggi yang penuh cabaran.
Bagi Mohd. Noor atau juga lebih dikenali Pendaki Solo, tujuan membangunkan blog itu bukan untuknya mencari keuntungan tetapi sebagai wadah menghebahkan apa sahaja program yang menyihatkan badan.
“Apa yang saya tulis dan kumpulkan di blog ini sebagai dorongan kepada mereka (belia) untuk berfikir serta mencari idea yang berfaedah,” katanya yang berjaya melakukan Pendakian Solo 1Malaysia di Gunung Kinabalu, Sabah sebanyak 111 kali bermula 31 Disember 2009 hingga 20 April 2010.
Selain artikel yang ditulis sendiri, blog yang diwujudkan sejak tiga tahun lalu itu turut memuatkan artikel daripada keratan akhbar mengenai dirinya ketika menyertai sesuatu ekspedisi.
Bukan itu sahaja, pensolo.blogspot.com turut disambungkan kepada laman sesawang miliknya, pendakiSOLO.com serta laman sosial Facebook agar perkongsian maklumat tidak terhad pada satu saluran sahaja.

MOHD. NOOR (barisan belakang sembilan dari kiri) bersama sekumpulan pelajar yang mengikuti beliau mendaki Bukit Broga baru-baru ini.
Tambah Mohd. Noor lagi, pihak yang sering mengikuti perkembangan Pendaki Solo datangnya daripada golongan belia dan profesional.

“Kini ramai anak muda suka mendaki gunung malah ada di antara mereka menjadi sukarelawan saya.
“Menariknya ada di antara mereka dahulu suka merempit dengan motosikal tetapi apabila berpeluang mendaki gunung atau bukit mereka berasa seronok disebabkan pelbagai pendedahan diberikan,” dedahnya.
Sementara itu, blog yang telah dikunjungi pelawat seramai 13,393 itu bakal lebih berinfomatif apabila Mohd. Noor kini sedang mengumpulkan maklumat mengenai gunung-ganang yang terdapat di Malaysia.
Bagaimanapun katanya, ia akan dimasukkan setelah memperoleh kesemua maklumat terperinci dan dibukukan. Ia dijangka diterbitkan beberapa bulan lagi.
Mengulas mengenai projek pendakian terbarunya, Pendaki Solo itu akan mendaki sebanyak 70 kali anak tangga Menara Kuala Lumpur selama 24 jam tanpa henti pada 16 dan 17 Julai ini untuk memecahkan rekod dunia.
Projek itu sebelum ini ditunda daripada April kepada Julai atas faktor yang tidak dapat dielakkan.
Rekod lama dilakukan oleh pendaki Switzerland, Kurt Hess di Menara Esterli Switzerland.
“Mengenai projek terbaru ini, sebenarnya saya perlu buat di menara yang sama di Switzerland tetapi pihak saya memberi keyakinan kepada Guinness World Records bahawa Menara Kuala Lumpur mempunyai cabaran sekali ganda berbanding di sana.
“Ini kerana Menara Esterli membolehkan angin dapat masuk apatah lagi ketinggian menara itu hanya 45 meter manakala di sini saya akan naik turun setinggi 282 meter minimum sebanyak 70 kali,” ujarnya.




sumber>
kosmo!

Bieber kalahkan Micheal Jackson



NEVER SAY NEVER filem dokumentari sulung mengenai perjalanan hidup Justin Bieber telah diumumkan menjadi filem konsert paling laris di senarai pecah panggung Amerika Syarikat. Hasil kutipan filem tersebut telah berjaya mengalahkan kutipan yang diraih filem This Is It kepunyaan Micheal Jackson.
Sejak ditayangkan sebulan lalu iaitu pada 11 Februari, filem itu telah berjaya meraih kutipan sebanyak AS$72.2 juta (RM223 juta). Ia sekali gus menjadi rekod baru yang mana sebelumnya dipegang oleh filem Micheal Jackson yang meraih kutipan AS$72.1 (RM218.2 juta).
Meskipun telah berjaya mengalahkan rekod legenda muzik pop itu, Bieber tetap menyanjungi dan merendah diri dengan mengatakan Micheal Jackson tetap menjadi idola dan legenda muzik dunia.
"Terima kasih kepada peminat-peminat dan pihak yang terus menyokong Never Say Never (3D NSN3D) di seluruh dunia. Tetapi Jackson masih dan akan selalu menjadi Raja Pop," tulis Bieber dalam akaun Twitternya seperti mana yang dilaporkan Aceshowbiz.
Filem Jackson yang menampilkan dokumentari dirinya adalah ketika menjalani latihan dan sebuah persembahannya di London. Filem itu diedarkan pada tahun 2009 iaitu selepas Raja Pop itu mengejutkan dunia dengan kematiannya tragisnya itu.




sumber>
kosmo!




'Spiderman' takluki Burj Khalifa


PEMANJAT Perancis, Alain Robert (dalam bulatan), memanjat bangunan Burj Khalifa setinggi 828 meter di Dubai semalam.
DUBAI - Pemanjat nekad dari Perancis, Alain Robert berdepan cabaran terhebatnya apabila memanjat binaan setinggi 828 meter yang merupakan bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa, semalam.
Halangan angin kencang menyebabkan Robert, 48, tiba di puncak Burj Khalifa lewat beberapa jam daripada jadual asalnya.
Mendapat jolokan Spiderman kerana kehebatannya memanjat, dia mengambil masa sekitar enam jam untuk memanjat bangunan setinggi lebih 160 tingkat itu dengan menggunakan tali dan abah-abah seperti yang ditetapkan oleh penganjur.
"Sebenarnya, saya berdepan tekanan yang besar kerana mereka memasang semuanya untuk saya di sini. Terdapat sebuah skrin gergasi setinggi 50 meter dan sepanjang 30 meter. Saya sedar saya menjadi tumpuan orang ramai dan faktor tersebut memberi tekanan kepada saya," kata Robert sebelum mula memanjat.
Dia memanjat bangunan seawal usia 12 tahun apabila terpaksa memanjat untuk masuk ke dalam apartmen setinggi lapan tingkat milik keluarganya selepas tertinggal kunci rumah.
Sejak itu, Robert telah memanjat lebih 80 buah bangunan pencakar langit di seluruh dunia termasuk Menara Sears di Chicago, Amerika Syarikat (AS) dan Taipei 101 di Taiwan.- Reuters




sumber>
kosmo!



Saintis rancang gali pusat Bumi


GAMBARAJAH lapisan bumi.
LONDON - Sekumpulan saintis Britain merancang untuk menggerudi lapisan batu-batan untuk sampai ke bahagian mantel bumi buat kali pertama, lapor sebuah akhbar semalam.
Ekspedisi itu bertujuan membawa naik sampel mantel Bumi untuk kajian. Ia melibatkan operasi menggerudi melepasi lapisan batu pejal sejauh 8 kilometer di dasar laut dengan suhu mencecah 298° Celsius.
Projek itu bakal dilaksanakan pada tahun 2018 dan diketuai oleh pakar Pusat Oseanografi Southampton, Dr. Damon Teagle serta Dr. Benoit Ildefonse dari Universiti Montpellier, England.
Terdapat beberapa cubaan untuk menggali mantel Bumi pada tahun 1960-an tetapi gagal kerana masalah organisasi dan kos. - Agensi




sumber>
kosmo!





lagu2 baru yg q dgor ,,


q nak wat entry nih ,, bb q ade tbace blog sorg mamat nih ,,

q dah bace dah ,, mmg best ,, korg bce la yerk ,,
ok so nih lgu2 yg baru ,,


























2 la lgu bru2 yg q dgo ,,
kih2 ,,




“POPULARITI GUGAT TIDAK PRESTASI” KHAIRUL FAHMI



Terkejut popular Kehadiran pemuda bersemangat kental ini di dalam arena bola sepak tempatan bukanlah baru. Dia pernah bersama pasukan Kelantan menjulang Piala Malaysia pada 2010, namun itu belum cukup untuk rakyat Malaysia mengenali siapa dirinya. Bekas pelajar Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor dan Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur ini juga pernah beraksi bersama pasukan PKNS (2007) dan Harimau Muda (2008) dalam saingan Liga Premier. Kemudian menyertai Kelantan (2009) dan seterusnya terpilih mewakili pasukan utama negara untuk Kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 yang lalu. Ketika kejohanan inilah nama Khairul Fahmi Che Mat,22, atau lebih mesra dikenali sebagai Apek di kalangan rakan-rakan mula menjadi sebutan. Dia dianggap ‘wira’ apabila membantu pasukan negara menjuarai kejohanan itu. Saat dia berjaya menangkap bola mempertahankan gawang pasukan negara dibolosi tendangan penalti pasukan Indonesia pada aksi perlawanan akhir itu, penulis merasakan dia bakal dijulang, dia pasti dijejaki, dan dia pasti popular. Tepat jangkaan itu, dan hari ini Fahmi tidak dapat lari dari merasai bahang populariti. Tiba-tiba dia dikenali ramai seantero negara. Fahmi kongsi bersama MASKULIN apa yang dirasainya kini.


“ Pada mulanya saya agak terkejut dan masih belum dapat terima dengan suasana baru ini. Jika sebelum saya tidak dikenali dan saya bebas bergerak.Hari ini keadaan itu telah berubah sama sekali. Apabila keluar ke mana saja, ramai yang menegur dan sentiasa pula diperhatikan. Sekarang saya sudah mula membiasakan diri dengan keadaan itu. Keadaan yang dilalui ini sebenarnya sebagai pemberi semangat untuk mengekalkan momentum saya dalam pasukan”. terang Fahmi yang penulis sifatkan seorang peramah.
Bagi Fahmi, walaupun kadang-kala situasi yang dirasainya memberikan sedikit tekanan, tetapi apa yang penting dia akan berusaha dan berlatih lebih kuat untuk mengekalkan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan. Dia tidak mahu mengecewakan harapan peminat-peminat sukan bola sepak negara untuk melihat pasukan kita berada sebaris pasukan tersohor di dunia. Dia juga tidak mahu hanya bersandarkan glamor semata-mata tetapi aksi di padang semakin hambar. “ Ramai yang menyapa saya dari pelbagai peringkat golongan masyarakat dari kanak-kanak, remaja, dewasa, lelaki dan wanita sehinggalah kepada peringkat warga emas. Jadi mereka inilah yang menyokong dan menonton bola sepak tempatan. Alhamdullilah, setakat ini saya masih belum berhadapan dengan peminat-peminat yang terlalu ekstrem. Kalau berjumpa dengan saya, mereka hanya mahu bergambar. Selain itu, saya juga sering berkomunikasi dengan peminat melalui facebook. Ada yang memberikan komen positif dan tidak kurang juga pandangan negatif. Semua itu saya anggap sebagai cabaran bagi meningkatkan prestasi”, terang Fahmi yang merupakan anak ke-4 daripada 5 beradik ini.


Siapa fahmi Sebelum ini? Ramai yang mengenali dan melihat Fahmi kini seadanya. Namun siapakah diri Fahmi sebelum ini? Anak muda ini memang aktif di sekolah dengan pelbagai aktiviti sukan yang disertainya. Namun sukan bola sepak yang paling menyerlahkan bakatnya. Seperti kanak-kanak lain sewaktu kecil, Fahmi juga sering keluar bermain dengan rakan-rakan di padang sehingga lewat petang.
“ Saya bukanlah datang daripada keluarga yang berada. Mak dan ayah mengusahakan kedai makan di Kota Bharu sejak usia saya kecil lagi. Masih saya ingat, ketika mahu ke sekolah sukan dahulu, banyak sekali pengorbanan yang mereka lakukan untuk saya. Merekalah yang banyak memberikan dorongan. Daripada 5 orang adik-beradik, hanya saya seorang sahaja yang aktif dan terlibat secara serius di dalam sukan ini”, ujar Fahmi mengenai latar belakang keluarganya.



sumber>



Pemilik Pulau Persendirian


Wah memang stylo habis dorang ni sampaikan mampu memiliki pulau² persendirian. Senang la nak habiskan masa lepak dengan orang tersayang. Tapi dorang ni tak takut ke kalau kena culik? 


1. Johnny Depp - Jatuh hati terhadap Kepulauan Bahamas setelah terlibat dalam penggambaran fi lem “Pirates of the Caribbean” & kini menjadi pemilik Little Hall’s Pond Cay di Bahamas. 



2. Faith Hill - Penyanyi lagu² Country ni bijak memilih lokasi iaitu di tengah² Exumas dengan kedudukannya bersebelahan resort² mewah milik selebriti² terkenal. 



sumber>




Artis & Trademark


Nilah aksi² yang selalu dorang lakukan! Tak percaya? Ha, jom baca ni!


1. Siti Nurhaliza - Kalau korang amati betul², Siti pasti akan menyentuh telinganya sewaktu mengadakan persembahan.



2. Ella - Ratu rock negara ni suka memintal rambutnya yang ikal mayang tu ketika menyanyi.




sumber>



Filem gay, babak bogel dan botol


Wan Raja (kiri) sewaktu uji bakat.
Filem ...Dalam Botol (sebenarnya Anu Dalam Botol) adalah kisah hubungan sejenis atau gay. Filem gay bukan baru malah antara filem gay terbaik pernah dihasilkan ialah Philadelphia (1993) arahan Jonathan Demme yang menyingkap mengenai AIDS. Filem ...Dalam Botol cuba “dimurnikan” dengan menggugurkan perkataan “anu” tetapi peliknya ditambah dalamnya dengan babak lelaki bogel. Agaknya kerana ini “seni” jadi ia “tak apa.”


Malah di Hollywood ada filem genre gay dan lesbian. Kerana itu apa yang luar biasanya ...Dalam Botol hingga dihebohkan Library of Congress begitu tertarik dengan filem ini? Adakah ini satu pengiktirafan kepada industri filem tempatan yang sudah berjaya menghasilkan filem gay? Kalau begitu tahniahlah.

Adakah filem ...Dalam Botol hanya mengupas percintaan sejenis dan apakah yang dikupas itu memberikan satu timbal balik moral kepada masyarakat setelah pembikinan “diperhebatkan” dengan adegan bogel salah seorang pelakon utama filem ini? Filem harus murni pembikinannya untuk menyalurkan murni dalam isinya.

Tetapi pengarah ...Dalam Botol, Khir Rahman berulang kali menekankan bahawa filem itu membawa isu berat dan bukan tempat dia melakukan percubaan.

Kisah percintaan sejenis yang berakhir dengan kekesalan dikupas untuk tontonan umum buat pertama kalinya di filem tempatan. Adakah ini satu rekod pencapaian yang boleh dibanggakan? Terpulangkah kepada penonton yang waras sama ada mereka memilih panggung sebagai kelas sivik atau tempat untuk berkongsi pemikiran dengan pembuat filem.

Bagaimanapun filem gay ini disampaikan dalam bentuk sedikit berbeza. Pendekatannya dijangka akan membuatkan penonton terpinga-pinga. Mungkin ada juga yang tidak memahami maksud disampaikan oleh pengarah.

Untuk filem ini, Khir menggunakan sepenuhnya teknik penggambaran cinema verite yang banyak digunakan dalam pembikinan filem dokumentari. Cinema verite adalah merakam dengan menggunakan “handheld”. Dalam filem dokumentari, teknik ini sebagai sudut pandangan pengarah terhadap sesuatu itu kerana gerak kamera seperti mata manusia.

Tetapi alasan Khir menggunakan teknik ini ialah untuk menyamakan keadaan bergoyang dan kabur dengan situasi alam pemikiran watak-watak ketika itu.

Katanya, ini bersesuaian dengan subjek utama penyampaian filem ini yang boleh dikategorikan berat. Sama berat dengan filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad, Muallaf yang pernah ditayangkan sebelum ini.

Antara babak berat ialah semasa Rubidin (Ruby) lakonan Arja Lee yang menatap tanpa jemu botol separuh berbalut di hadapannya.

Sebenarnya, botol menghiasi meja solek Ruby mengandungi alat sulitnya selepas melakukan pembedahan tukar jantina di London.

Botol itu juga adalah bukti cintanya terhadap Ghaus (Wan Raja) yang pernah mengeluarkan ungkapan “kalaulah you perempuan”, sewaktu pasangan kekasih itu bercuti di tepi pantai.

Kesengsaraan dan kekusutan Ghaus sewaktu ditinggalkan selama tiga bulan turut digambarkan dengan baik. Ditinggalkan sang kekasih, menyebabkan seluruh percaturan harian hidupnya terganggu.

Kekecewaan Ruby sewaktu Ghaus tidak dapat menerima imej terbarunya biarpun idea untuk melakukan perubahan itu datang dari kekasihnya.

Khir turut menjangka filem karyanya itu tidak disenangi oleh banyak pihak kerana kurang elemen hiburan di situ, tetapi dia punya alasan kukuh tersendiri berbuat sedemikian.

“Saya memang mencari apa sahaja yang boleh memberi kesan kepada penonton. Kita mahu semua rasakan kesengsaraan seorang lelaki yang hilang kelakian kemudiannya berasa kesal bila ditinggalkan sang kekasih,” kata Khir.

Penguat ...Dalam Botol juga terletak kepada Fauziah Ahmad Daud (Sherry) yang membawa watak ibu kepada Dina (Diana Danielle).






sumber>
utusan





Biru kerana Suju


Super Junior merupakan antara kumpulan popular Korea yang mempunyai koreografi tarian paling menarik selain lincah.
SEMUANYA bertukar kebiruan. Begitulah keadaan perkarangan Stadium Putra Bukit Jalil Sabtu lalu yang sejak pukul 4 petang sudah dipenuhi dengan ribuan peminat fanatik kumpulan popular dari Korea Selatan, Super Junior.


Meski kunjungan kali kedua ini hanya dihadiri seramai 9,000 orang, namun konsert yang diberi nama Super Show 3 itu tetap memukau. Buktinya suasana di dalam stadium yang dibuka pukul 4.30 petang rata-ratanya dipenuhi oleh wanita pelbagai peringkat umur terutama remaja.

Bagaikan satu fenomena aneh dirasakan apabila mendengar jeritan peminat-peminat yang tidak semena-
mena bersatu dalam bergema di dalam stadium. Bila diperhatikan, rupa-rupanya ada kelompok peminat menayangkan sepanduk yang tertera nama anggota Suju.

Bagaikan satu ‘permainan’, jika satu kelompok membuka sepanduk berwarna hijau, maka mereka yang lain akan bersorak riang. Ini disusuli dengan satu kelompok lagi membuka banner berwarna putih dengan nama anggota yang berlainan, fenomena yang sama akan diulangi sehingga mereka puas.

Begitulah keadaan yang berlaku sehinggalah lampu stadium dipadamkan tepat pada pukul 6 petang.

Selepas selesai skrin besar di belakang pentas memaparkan sedutan perkenalan, 10 jejaka tampan yang dimaksudkan kemudiannya muncul di pentas bulat yang terletak di tengah-tengah stadium.

Konsert konsep futuristik

Penantian di rasakan berbaloi apabila menyaksikan kemunculan Heechul, Leeteuk, Yesung, Shindong, Sungmin, Eunhyuk, Donghae, Siwon, Ryeowook dan Kyuhyun yang kini sudah berada di depan mata.

Muncul bergaya di pentas berkonsep futuristik itu, kesemua mereka kemudiannya pantas memulakan persembahan menerusi lagu berhantu mereka, Sorry, Sorry secara remix.

Menyajikan persembahan yang cukup bertenaga melalui koreografi tarian yang ternyata cemerlang menjadikan Suju tampak hebat di mata peminat tegarnya.

Persembahan kemudian diteruskan dengan seleksi lagu hits lain termasuk Super Girl, Don’t Don, No Other, Rokukeo, Good Person dan Tok Tok Tok. Selain itu, segmen lagu-lagu sentimental dan romantis turut dinyanyikan secara individual oleh anggota Suju.

Antaranya termasuk dendangan lagu berjudul One Fine Spring Day oleh Ryeowook, Shinbulryojung (Kyuhyun), Looking for the day (Siwon), If You Leave (Sungmin) dan Kiss Goodbye (Leeteuk).

Dalam pada itu, Henry yang muncul dengan mempamerkan bakatnya bermain piano mendapat sorakan gemuruh apabila menampilkan alunan irama lagu Baby nyanyian asal Justin Bieber dalam gaya tersendiri.

Keadaan menjadi hangat apabila dia yang memakai jaket berwarna merah ala Bieber kemudiannya menari agresif sambil mendendangkan lagu tersebut khas buat peminat. Selain itu, persembahan juga turut disajikan secara duet.
Ia dapat disaksikan menerusi persembahan Ryeowook dan Sungmin (Bomnal) serta Eunhyuk dan Donghae (I wanna love you).

Selain itu, Super Show 3 juga merupakan satu platform mudah untuk semua peminat tegar Suju untuk menyaksikan sendiri persembahan sub-kumpulan Super Junior iaitu Super Junior K.R.Y dan Super Junior M. Turut muncul, Super Junior T dan Super Junior H.

Namun, ada sesuatu yang wajar dipuji. Kelincahan mereka di atas dilihat seakan tidak menyusut meski sudah beberapa jam persembahan berlangsung.






sumber>
utusan







PUSH