SELEPAS menang ke atas Kedah dan seri menentang Pahang, skuad Johor FC kini mempunyai keyakinan tinggi apabila berdepan Harimau Muda A pada saingan Liga Super di Stadium JCorp, Pasir Gudang malam ini.AZUAN (baju oren) berharap anak-anak buahnya mampu melakar kejayaan ke atas Harimau Muda A malam ini.
Begitupun, bagi melakar kemenangan, skuad Lebah itu harus terlebih dahulu memperbaiki jentera serangan yang dilihat gagal untuk menemui penyudah yang baik.
Jurulatih Johor FC, Azuan Zain berkata, andai jentera serangannya mampu beraksi dengan lebih baik, tidak mustahil Harimau Muda A mampu ditundukkan.
“Pada kebanyakan perlawanan, pemain saya mampu mencipta banyak peluang tetapi sayangnya, jentera serangan masih gagal untuk menghasilkan gol.
“Ketika menentang Pahang lalu, kami sepatutnya mampu menang tetapi penyerang kami gagal menjaringkan gol meskipun mempunyai empat peluang satu lawan satu dengan penjaga gol.
“Saya harap, esok (hari ini) penyerang Johor FC akan beraksi dengan lebih baik untuk membantu mencatat kemenangan di hadapan penyokong sendiri,” kata Azuan semalam.
Sementara itu, Azuan meletakkan harapan yang tinggi terhadap pemain muda, Fandi Ahmad yang menunjukkan aksi cemerlang ketika menentang Kedah dan Pahang.
Fandi, 19, merupakan pemain skuad Piala Presiden yang dipinjam setelah beberapa pemain utama Johor FC mengalami kecederaan.
Pada aksi menentang Kedah, Fandi berjaya menjaringkan satu gol dan mencipta peluang untuk gol kedua skuad Lebah.
“Fandi masih muda tetapi dia telah menunjukkan peningkatan yang ketara. Saya masih memerlukan khidmatnya apabila bertemu Harimau Muda A bagi membantu Eddy Helmi Manan yang masih belum cergas 100 peratus,” katanya.
Azuan turut menasihatkan anak-anak buahnya agar lebih berhati-hati apabila bertemu Harimau Muda A yang dianggap mempunyai beberapa kelebihan.
sumber>
kosmo!
sumber>
kosmo!
No comments:
Post a Comment