KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer muda, Yuna yang ditarik kemenangannya dalam kategori utama Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM18) menganggap ada hikmah di sebalik apa yang berlaku dan tidak bercadang mengambil sebarang tindakan undang-undang.
Dia yang bakal memasarkan album Inggeris untuk pasaran Amerika Syarikat berkata, penjelasan sepatutnya bukan daripada pihaknya sebaliknya Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) selaku penganjur perlu mengadakan sidang akhbar dan menjelaskan dengan terperinci bagaimana masalah itu berlaku.
“Pada saya perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana ia membabitkan majlis anugerah berprestij. Apatah lagi AIM itu sendiri mempunyai tanggungjawab besar untuk mengangkat industri muzik tempatan.
“Saya membesar dengan mengagumi penganjuran AIM sebelum ini. Apabila memenangi anugerah yang amat saya hargai dan ditarik balik atas kesilapan yang dikatakan sudah tentu rasa terkilan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Harian Metro difahamkan RIM dijadualkan mengadakan sidang media bagi menjelaskan mengenai kesilapan teknikal yang berlaku itu pada petang ini. “Saya diberitahu mengenai kesilapan itu dua hari lalu,” kata Yuna.
Pada AIM18 yang berlangsung 12 November lalu Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai diumumkan pemenang Lagu Terbaik menerusi singlenya, Penakut.
Selain Lagu Terbaik, pada majlis anugerah berprestij yang mengiktiraf karya terbaik karyawan muzik tempatan itu, Yuna turut memenangi anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) dan Anugerah Kembara. >>READMORE<<