Fizikal: Maksimumkan otot bawah badan



SELEPAS melalui beberapa latihan bebanan atas badan pada siri yang lalu, minggu ini kita akan menyentuh aspek latihan fizikal untuk membina kekuatan otot-otot di bahagian bawah badan. 

Tujuan utama latihan bawah badan adalah bagi menghasilkan tendangan yang padu serta berkesan untuk sukan tempur seperti sukan Muay Thai.
Perbezaan antara sukan tinju dan Muay Thai adalah begitu ketara dan secara umumnya sukan ini menggunakan kaki untuk tujuan menyerang dan bertahan, manakala tinju pula hanya menggunakan aktiviti di bahagian atas badan.
Ini menjadikan sukan ini sebagai antara sukan tempur yang ekstrim dan lasak. Kelebihan memiliki bahagian bawah badan yang kuat dan stabil memberi banyak kelebihan kepada seseorang untuk menyerang. 

Ini kerana, pada kebiasaannya telah diketahui secara saintifik bahawa kaki iaitu pada bahagian peha adalah otot paling besar dan kuat pada tubuh manusia. 

Ia juga dapat membantu ketika bertahan apabila menerima serangan tendangan dan juga memperkukuhkan posisi serta kestabilan badan. 

Pada minggu ini senaman yang akan dikongsi dikenali sebagai ‘squat’ atau lebih kepada kedudukan mencangkung. Otot yang terbabit dalam latihan ini adalah kumpulan otot quadriseps, gluteus medius dan gluteus maximus. 
Ketika melakukan latihan ini pastikan bahagian belakang badan sentiasa lurus manakala bahagian lutut tidak melepasi ibu jari kaki untuk memberi impak pada otot peha dan bukannya pada sendi lutut. 

Mari kita lihat bentuk latihan ini yang dikongsi jurulatih kecergasan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd, Mohd Hoesni Rahmat dan teknik senaman seperti berikut: 
Foto kiri
Berdiri dengan kedudukan kaki dibuka seluas jarak bahu. Tarik nafas dan naikkan tangan separas bahu. 
Foto kanan
Bengkokkan lutut perlahan-lahan dan bila peha mencapai tahap selari dengan permukaan lantai, naikkan kembali kaki ke posisi asal sambil menghembus nafas. 

Bagi peminat Muay Thai dan ingin mengetahui lebih lanjut boleh layari www.bodyengineering.com.my. 


sumber : bHarian

No comments:

PUSH