Colin Firth, Natalie Portman muncul calon pilihan pada Anugerah Academy ke-83
KEHANGATAN Anugerah Grammy ke-53 yang mengiktiraf penggiat industri muzik baru saja berlalu dengan beberapa keputusan di luar jangkaan. Begitupun, anugerah terbabit berjaya meraih rating lebih tinggi berbanding acara tahun sebelumnya.
KEHANGATAN Anugerah Grammy ke-53 yang mengiktiraf penggiat industri muzik baru saja berlalu dengan beberapa keputusan di luar jangkaan. Begitupun, anugerah terbabit berjaya meraih rating lebih tinggi berbanding acara tahun sebelumnya.
Pada 28 Februari ini (waktu Malaysia), penggiat filem pula bakal diraikan dalam acara berprestij dan paling dinanti-nanti, Anugerah Academy ke-83. Anugerah Academy atau turut dikenali sebagai Oscar bakal berlangsung di Kodak Theatre di Hollywood, Los Angeles.
Tentunya keputusan paling ditunggu peminat ialah judul yang bakal diumumkan Filem Terbaik. Adakah filem berkisar pengasas laman sosial facebook, The Social Network, akan mengulangi kejayaan pada Anugerah Golden Globe atau The King’s Speech yang menang di British Academy Of Film And Television Art (Bafta) mempunyai peluang lebih cerah?
Selain Filem Terbaik, Aktor dan Aktres Terbaik juga menjadi kategori paling mendapat perhatian. Ramai melihat pelakon British, Colin Firth yang menyapu bersih gelaran Aktor Terbaik pada tiga anugerah yang berlangsung terdahulu iaitu Bafta, Screen Actors Guild (SAG) dan Golden Globe, akan mengulang kejayaan sama? Begitu juga dengan kategori Aktres Terbaik. Berjayakah Natalie Portman menaiki pentas sekali lagi untuk menerima trofi idaman ramai itu?
Bagi kategori pelakon lelaki, selain Firth, turut dicalonkan pada peringkat akhir ialah Javier Bardem menerusi filem Biutiful, Jeff Bridges (True Grit), Jesse Eisenberg (The Social Network) dan James Franco (127 Hours).
Manakala dalam kategori wanita pula, Portman yang cemerlang dalam filem Black Swan berdepan dengan Annette Bening (The Kids Are All Right), Nicole Kidman (Rabbit Hole), Jennifer Lawrence (Winter’s Bone) dan Michelle Williams (Blue Valentine).
Kategori Aktres Terbaik:
Natalie Portman - Black Swan
AKTRES yang sarat mengandung ini disebut-sebut bakal mengenepikan Bening dengan mudah. Seorang pengkritik filem, David Nusair, yang mengemaskini komennya pada acara Festival Filem Antarabangsa Toronto berkata, persembahan Portman dalam filem seram psikologi, Black Swan, benar-benar memukau. Aktres itu berjaya menampilkan lakonan cukup konsisten. Unsur cemas pada setengah jam terakhir filem itu juga dibawakan Portman dengan cukup berkesan. Justeru peluang aktres ini untuk menang memang besar.
Annette Bening - The Kids Are All Right
MUNGKIN sesuatu yang mengejutkan sekiranya nama Bening diumum penerima trofi Aktres Terbaik. Lakonan mantapnya dalam The Kids Are All Right dilihat mempunyai potensi untuk memberikan kemenangan kepadanya, tetapi pelakon berpengalaman ini terpaksa berentap dengan Portman yang dilihat mempunyai peluang lebih besar. Mungkin Bening yang sudah empat kali dicalonkan dalam kategori ini terpaksa mengakui kehebatan Portman. Bening pernah tewas di tangan Hilary Swank sebanyak dua kali.
Nicole Kidman - Rabbit Hole
PELAKON dari Australia ini pernah membawa pulang trofi ini hasil lakonan berkesan dalam filem The Hours. Namun jika nama Kidman diumumkan malam itu, mungkin ramai yang akan ternganga. Filem mengenai pasangan suami isteri yang cuba merawat kesedihan di atas kematian anak mereka yang masih kecil bukanlah filem pilihan ramai. Ia gagal mencatat kutipan pecah panggung, tidak seperti filem lain. Bagaimanapun sedikit sebanyak pencalonan Kidman akan membuatkan peminat ingin menonton filem itu.
Jennifer Lawrence - Winter's Bone
WALAUPUN bukan calon pilihan, pelakon muda ini tetap boleh berbangga dengan kejayaannya menembusi senarai lima terbaik. Lawrence pernah tewas di tangan Hailee Steinfeld (True Grit) untuk kategori Pelakon Muda Terbaik pada Anugerah Critic’s Choice sedikit masa dulu. Seorang pengkritik yang sudah pun menonton lakonan Lawrence berkata, adalah memalukan jika aktres berusia 20 tahun itu tidak dikenali.
Michelle Williams - Blue Valentine
PERNAH dicalonkan lima tahun lalu untuk filem Brokeback Mountain, Williams bukanlah calon pilihan untuk memenangi kategori ini. Namun dia juga patut berbangga kerana berjaya berada dalam kelompok mereka yang berbakat.
Kategori Aktor Terbaik:
Colin Firth - The King’s Speech
MENURUT pengkritik, kategori ini tidak memerlukan ramalan kerana sudah jelas kemenangan akan menjadi milik Firth. Jika kategori Aktres Terbaik menjadi rebutan antara Portman dan Bening, mereka percaya, Firth tidak perlu berentap dengan empat pelakon lain kerana wataknya sebagai raja yang berusaha mengatasi masalah gagap dalam filem arahan Tom Hooper paling menonjol.
Javier Bardem - Biutiful
BARU saja memenangi trofi pelakon terbaik buat kali kelima pada festival filem di tanah airnya, Anugerah Goya ke-25, tentunya kehadiran Bardem dianggap sebagai calon bukan pilihan yang mampu membuat kejutan. Bardem pernah menggenggam trofi Oscar, Golden Globe, SAG, dua trofi Festival Filem Eropah, trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Cannes dan dua Coppa Volpis di Venice.
James Franco - 127 Hours
SEBELUM 127 Hours, Franco memang dikenali sebagai pelakon berbakat. Tidak semua pelakon mampu melompat daripada filem dramatik kepada komedi. Dia muncul selama tiga minit dalam The Green Hornet. Franco kini menjadi wajah kesukaan ramai. Hanya masa akan menentukan sama ada pencalonannya dalam kategori ini akan membawa kebaikan kepada kerjayanya atau mungkin petanda sesuatu akan berlaku.
Jesse Eisenberg - The Social Network
MUNGKIN belum tiba masanya untuk Eisenberg membawa pulang trofi Aktor Terbaik tetapi pelakon muda ini mempunyai peluang yang cerah pada masa akan datang. Eisenberg berjaya membawakan watak Mark Zuckerbug dengan baik dan meyakinkan. Pencalonannya pada anugerah ini sudah pastinya membuka mata lebih ramai penerbit dan pengarah untuk melamarnya membintangi filem mereka.
Jeff Bridges - True Grit
JIKA kegilaan melanda Oscar, mungkin Jeff Bridges berpeluang memenangi kategori ini selama dua tahun berturut-turut mengikut jejak langkah Tom Hanks (1993 dan 1994). Bagaimanapun perkara itu tidak mungkin berlaku, sebaliknya pengkritik filem berkata, aktor itu hanya perlu hadir sekadar untuk menikmati majlis anugerah berkenaan.
sumber >
No comments:
Post a Comment