SEBAHAGIAN artis yang menjayakan konsert mini Jelajah Metro di Kota Tinggi, Johor.
Hujan lebat tak halang artis popular berikan persembahan terbaik pada konsert mini Jelajah Metro
MESKIPUN hujan lebat melanda daerah Kota Tinggi, Johor, namun cuaca kurang elok itu tidak mematahkan semangat 13 artis untuk memberikan persembahan terbaik mereka pada konsert mini Jelajah Metro sempena ulang tahun ke-20 akhbar itu yang berlangsung di Padang Bukit Kerajaan, 29 Januari lalu.
MESKIPUN hujan lebat melanda daerah Kota Tinggi, Johor, namun cuaca kurang elok itu tidak mematahkan semangat 13 artis untuk memberikan persembahan terbaik mereka pada konsert mini Jelajah Metro sempena ulang tahun ke-20 akhbar itu yang berlangsung di Padang Bukit Kerajaan, 29 Januari lalu.
Artis seperti Mawi, Zamani, Daus AF8, 6ixth Sense, Alyah, Sharifah Zarina, Ifa Raziah, Along Raja Lawak, Puteri Mardiana, Afzan (Anak Wayang), Min Yasmin, Am Ketampi dan Roslan Shah tidak menghampakan peminat dengan persembahan bertenaga mereka, di samping turut terbabit dalam acara sukaneka bersama peminat.
Malah, konsert yang diadakan dalam hujan lebat itu tetap menarik lebih 5,000 peminat yang tidak berganjak di hadapan pentas, walaupun terpaksa berpayung.Hakikatnya, konsert selama dua jam itu memuaskan hati mereka, yang sanggup menunggu sejak jam 6 petang, kira-kira tiga jam sebelum konsert berlangsung. Penantian mereka nyata berbaloi apabila barisan artis yang menjayakan acara memberikan persembahan menghiburkan.
Bagi Daus AF8, pembabitannya dalam program sebegini bukan saja dapat merapatkan lagi hubungan antara artis dan peminat, malah ia juga boleh memberikan sedikit kerehatan kepada dirinya di samping meluangkan masa bersama peminat.
“Saya jarang terbabit dalam program sebegini dan apabila dijemput mengikuti acara ini, saya terima sebab ia dapat mendekatkan diri dengan peminat di samping merehatkan diri.
“Sebelum ini saya sibuk dengan pembikinan album terbaru, jadi tidak ada masa untuk berehat. Kesempatan ini saya ambil untuk meredakan ketegangan selain berhibur bersama peminat,” katanya yang akan muncul bersama album sulung Mac depan.
Daus yang juga calon Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 bagi kategori Artis Baru Lelaki Popular, turut mempersembahkan dua lagu terbaru yang dimuatkan dalam album perdananya, iaitu Kenapa dan Risau, khas buat peminat di Kota Tinggi.
Lain pula kisahnya buat artis terkenal dengan irama dangdut, Ifa Raziah, yang menganggap pembabitannya dalam acara itu sebagai usaha menaikkan kembali namanya dalam industri muzik tempatan.
“Oleh kerana saya banyak terbabit dalam lakonan drama dan tugas pengacaraan, jadi peminat sudah tidak lagi nampak saya menyanyi. Kalau saya jumpa peminat di luar, mereka akan lihat saya sebagai pengacara Wanita Hari Ini.
“Saya terima undangan Harian Metro mengadakan persembahan di sini memandangkan saya sudah lama tak beraksi di pentas. Jadi dengan peluang yang ada, saya berharap dapat menaikkan kembali nama saya dalam industri muzik,” katanya yang akan lahir dengan album terbaru berjudul Luar Biasa.
Walaupun sudah lama tidak mengadakan persembahan pentas, namun Ifa masih menerima undangan bagi mengadakan persembahan di majlis makan malam, sama ada sebagai penyanyi atau sebagai pengacara. Ifa juga mengaku tetap komited terhadap bidang nyanyian yang diceburinya.
Ketika menyanyikan lagu Luar Biasa, Ifa lincah beraksi di pentas dengan lenggok tari dan gelek yang sebati dengan dirinya. Wanita ini juga petah berceloteh bersama peminat.
Bantu lonjak populariti
LIMA anak muda daripada kumpulan 6ixth Sense turut menganggap kemunculan mereka pada program terbabit bukan saja berupaya merapatkan hubungan dengan peminat, malah meninggalkan impak yang baik dalam memacu populariti kumpulan ini.
“Menerusi pembabitan dalam program sebegini, peminat akan lebih mengenali 6ixth Sense secara lebih dekat. Kami juga dapat melihat sambutan peminat terhadap kumpulan ini dengan lebih jelas lagi. Selama ini, lagu-lagu kami sering menjadi pilihan atau ikutan peminat, tetapi mereka tidak mengenali kami dengan lebih dekat," kata penyanyi kumpulan itu, Adi.
6ixth Sense nyata berpuas hati dengan sambutan peminat, yang kian bertambah sehingga mereka dicalonkan dalam senarai Top 5 ABPBH 2010 untuk kali kedua.
Bagi penyanyi kecil molek, Alyah, konsert mini Jelajah Harian Metro tidak asing dengan dirinya kerana sebelum namanya dikenali ramai dulu pun, dia sering mengikuti program terbabit.
“Dulu, saya kerap membabitkan diri dalam program serupa, ketika album single Tak Mungkin dikeluarkan, bagi mempromosikan diri kepada peminat. Namun peluang itu agak terbatas sejak kebelakangan ini, dek jadual yang bercanggah serta kesibukan saya di studio rakaman," katanya.
Alyah yang juga calon Top 5 ABPBH 2010 dalam kategori Penyanyi Wanita Popular turut menganggap peluang yang diberikan kepadanya sebagai kesempatan untuk merapati peminat yang setia menyokongnya.
Apapun siri Jelajah Harian Metro tidak berakhir di sini, malah akan meneruskan pengembaraan ke Kuala Terengganu (18-19 Februari) dan Port Dickson (12-13 Mac) selepas penjelajahan pertama di Lumut, Perak pada 15 dan 16 Januari lalu.
sumber : berita harian
No comments:
Post a Comment