Jason Godfrey HOTTIE ^^



JASON Godfrey mengakui bidang pengacaraan adalah cinta barunya kini.


HAMPIR separuh daripada hidupnya dihabiskan dengan berkelana di seluruh dunia bagi meluaskan lagi pengaruh sebagai model terkemuka.

Sejak menceburkan diri dalam bidang peragaan lebih sedekad yang lalu, Jason Godfrey mengakui telah melalui pelbagai cabaran sehingga dia sendiri merasakan ada kalanya begitu bosan dengan pekerjaan tersebut.

Memang benar katanya, jika dilihat secara luaran, dunia model memang menjanjikan kemasyhuran dan populariti yang mampu dikecapi sekelip mata.

Namun, ada kalanya pekerjaan itu dilihat sebagai sesuatu yang tidak masuk akal terutama sekali ketika uji bakat.

"Pernah sekali saya menghadiri uji bakat untuk satu iklan minuman ringan. Saya perlu berlakon seperti mana yang diarahkan oleh syarikat pengiklanan itu.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk menggunakan imaginasi dan kreativiti. Tetapi untuk berlakon seolah-olah saya disedut dalam mesin vendor minuman. Bagi saya itu adalah mengarut.

"Bagaimana saya hendak melakukan aksi tersebut sedangkan ketika itu tiada apa-apa dalam bilik itu untuk membantu saya. Hasilnya, ia kelihatan sungguh tidak cerdik sekali," ujar Jason sambil disulami ketawa kecil ketika menceritakan pengalamannya.

Jejaka kacukan Kanada-Filipina berusia 33 tahun itu ditemui dalam satu pertemuan yang diatur oleh Star Movies di The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengalamannya sebagai seorang model telah membawa Jason merantau ke segenap pelosok dunia termasuk Afrika Selatan, Eropah, Australia dan juga Asia.

Bukan hanya 'menjual' wajahnya di majalah dan kempen advertorial tetapi jejaka kelahiran Kanada itu juga aktif di pentas peragaan dan berpengalaman memperagakan fesyen terbaru untuk jenama mewah dan terkenal dunia.

"Dunia peragaan masih tetap di hati saya. Tetapi saya hanya akan menerima tawaran yang saya rasa benar-benar berbaloi," katanya ringkas ketika ditanya adakah dia bakal melepaskan portfolionya sebagai model selepas ini.

Selepas mencipta nama sebagai seorang model, Jason kini sudah bersedia untuk melangkah setapak langkah lagi dalam kariernya apabila mula menjinakkan diri sebagai seorang pengacara.

Barangkali akan ada yang mengerut dahi apabila menatap wajah Jason tetapi bagi penonton tegar Star World, pasti akan kenal dengan jejaka tampan ini yang sering tampil untuk iklan promo bagi rancangan America's Next Top Model Cycle 15.

Jason sendiri tidak pernah menyangka untuk menjebakkan diri dalam bidang pengacaraan tetapi kerana memiliki portfolio yang hebat serta personaliti yang menarik, dia terus dilamar oleh pihak Star World dan Star Movies.

Percubaan pertama Jason apabila dia diberi peluang mengacarakan rancangan khas, 83rd Academy Awards Nominations Announcement yang disiarkan secara langsung menerusi Star Movies pada 25 Januari lalu.

Ketika ditanya pengalaman pertamanya sebagai seorang hos dan mengacarakan rancangan secara langsung, dengan penuh jujur Jason mengakui dia begitu gementar dan berasa gugup di hadapan kamera.

Mujurlah katanya, dengan bantuan pasangan pengacara, Lisa Selesner atau lebih dikenali sebagai Lisa S banyak membantunya melancarkan perjalanan program itu.

"Saya sedar yang saya masih baru dalam bidang ini. Saya mengharapkan tunjuk ajar daripada ramai pihak dalam membina keyakinan saya apabila berada di hadapan kamera.

"Kerana itu, saya mengharapkan peluang akan terus diberikan kepada saya untuk saya menonjolkan bakat saya kepada masyarakat.

"Namun, saya harus akui, bidang pengacaraan kini merupakan cinta baru saya dan semakin seronok dengan dunia ini," katanya tanpa selindung.



sumber>






No comments:

PUSH