PELAKON, pengarah dan penerbit Sini Ada Hantu pada majlis tayangannya di GSC Mid Valley baru-baru ini.
MELIHAT kepada sambutan hangat peminat terhadap filem bercorak komedi seram, semakin banyak syarikat penerbitan berlumba-lumba menghasilkan judul dalam genre terbabit.
Ngangkung dan Hantu Kak Limah Balik Rumah antara contoh terbaik filem dalam kelompok berkenaan yang kuat menarik perhatian penonton ke panggung.
Bermula 10 Februari ini, sebuah lagi filem seram tempatan berjudul Sini Ada Hantu terbitan Astro Shaw Sdn Bhd bakal menemui penonton di 54 pawagam di seluruh negara. Filem arahan James Lee ini juga muncul filem pertama hasil kerjasama Astro Shaw bersama Double Vision Sdn Bhd.
Filem yang menelan belanja kira-kira RM1.2 juta itu memuatkan lebih daripada satu cerita hantu, berdasarkan kisah yang selalu didengar di kalangan masyarakat di negara ini.
Tiga kisah seram yang disampaikan dalam satu filem itu berjaya menambat hati penonton dengan diselang-selikan dengan unsur komedi.
Penonton juga tidak terlalu tertekan menyaksikan filem ini kerana mereka masih mempunyai ruang untuk ‘berehat’ dan meneruskan pengembaraan dari satu kisah ke kisah yang lain sehingga selesai.
Dipersembahkan dalam bentuk lebih santai, kisah hantu pokok pisang, hantu jepun dan hantu tarik duit yang dipaparkan dalam filem ini boleh dianggap antara garapan komedi seram yang berjaya menghiburkan penonton.
Bermula dengan pengalaman mengarahkan filem seram berjudul Histeria yang pernah meraih kutipan sebanyak RM2.8 juta, James Lee masih mengekalkan unsur seram dan mistik dalam arahan terbarunya, namun dia turut menyelitkan unsur komedi sebagai tarikan komersial.
Menurut James, filem itu sedikit sebanyak merujuk kepada kejadian benar yang berlaku di negara ini.
“Menerusi filem ini, penonton dapat mengingatkan kembali beberapa kejadian yang selalu juga diperkatakan seperti kejadian di asrama penuh, di mana pelajar sering ditakutkan dengan kisah seram mengenai asal usul kejadian sesuatu kejadian di sekolah berkenaan, kisah bagaimana orang mahu cepat kaya dengan memuja roh untuk meminta bantuan dan kisah mengenai hantu cantik yang menjelma dari pokok pisang,” katanya yang ditemui selepas pratonton filem itu baru-baru ini.
Pengarah Urusan Tayangan Unggul Sdn Bhd, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, walaupun usaha sama bersama Double Vision julung kali diadakan, namun ia membuahkan hasil yang baik.
“Terus terang saya sangat menyukai hasil kerja James Lee yang kreatif, yang menggarap filem ini dengan kemas sekali.
“Cerita yang biasa kita dengar daripada orang-orang tua disampaikan dengan kemas sehingga kita terus ingin mengetahui kesudahannya, sampai habis. Begitu juga dengan elemen komedi yang ditonjolkan, hasil gabungan pelakon yang mempersembahkannya secara santai dan bersahaja.
“Kami juga sedia untuk terus menjalinkan kerjasama, sama ada untuk menyambung filem ini atau menghasilkan filem lain,” katanya.
Filem yang menjalankan penggambaran sekitar Kuala Lumpur ini dibintangi Baki Zainal, Alvin Wong, Fasha Sandha, Beto Kusyairy, Eira Syazira, Kuswadinata, Qhaud AF, Pete Teo, Mandy Chen dan Goh Sin Ping.
Ia juga menampilkan Mano Maniam, Ramasundram, Sufian Mohamed, Zaki Zabidi, Chen Puie Heng, Chen Puie Kong, Wong Chee Hong, Patrick Teoh, Taiyuddin Bakar, Chomatt Samad, Amerul Affendi, Kazaruddin Saisi dan Zuraini Kassim.
Sinopsis
KISAHNYA bermula apabila dua pemandu van, Ah Meng dan Bakri ditugaskan menghantar mayat ke sebuah kampung. Mereka perlu sampai ke destinasi tepat pada masanya, pada keesokan pagi. Pada mulanya mereka menolak, tetapi akhirnya bersetuju apabila ditawarkan upah lumayan.
Dalam perjalanan, mereka bercerita mengenai kisah seram yang pernah mereka dengar bagi menghilangkan rasa mengantuk. Bakri memulakan kisah Hantu Pokok Pisang.
Ah Meng mentertawakan Bakri dan mengatakan hantu Melayu tidak logik, lalu dia pula menceritakan kehebatan hantu Cina iaitu Hantu Nombor Ekor. Kisah empat lelaki yang mengalami masalah kewangan lalu memuja roh untuk mendapatkan pertolongan.
Kedua-duanya tidak mahu mengalah dengan menyatakan kisah itu semuanya tidak logik, baik hantu Melayu mahupun hantu Cina. Mereka terus bercerita mengenai hantu seterusnya seperti hantu luar negara dan hantu asrama sehinggalah van mereka mengalami kerosakan di tengah-tengah hutan.
sumber : berita harian
No comments:
Post a Comment