KALAU tengok senarai finalis Artis Komedi Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) musim ini, mesti ramai perasan semuanya bakat yang dilahirkan daripada program Raja Lawak. Siapa lagi kalau bukan Zizan, Nabil, Angah, Along dan Johan.
Kiranya pertandingan realiti itu mencapai matlamat menggilap pelawak berbakat.
Masing-masing sekarang membina nama kukuh di persada seni sampai menjadi rebutan produser filem, malah ada yang punya program TV sendiri. Cik Normah pun kagum melihat bakat mereka. Baguslah kalau macam itu, sebab semua cabang seni mendapat perhatian peminat hiburan tanah air. Tidaklah dunia seni kita ini hanya dikuasai oleh segolongan artis saja. Cik Normah dengar cerita, pihak Astro akan merealisasikan perancangan besar yang sudah diperkatakan sejak beberapa bulan lalu. Mengikut kata orang kuat Astro, semua peserta akhir bagi lima musim program itu akan bertanding sesama sendiri sekali gus merebut ganjaran sebanyak RM300,000.
Besar sungguh tawaran berkenaan, tapi bukan calang-calang pertandingan sebab melihat barisan juara setiap musim dan finalis musim terdahulu yang kini menjadi pujaan ramai, pastinya persaingan cukup sengit. Seingat Cik Normah program realiti terbaru ini dinamakan Maha Raja Lawak.
Rasanya peminat Nabil, Zizan, Along, Angah dan Johan juga tak sabar nak tengok siapa paling kelakar serta memiliki bakat yang lebih pelbagai. Ingat, RM300,000 bukan sikit! Mesti banyak cabaran yang perlu dihadapi setiap peserta. Kita tunggu nanti pengumuman Astro.
Apabila adanya program yang mengiktiraf bakat kelakar seperti ini, Cik Normah pun kadang-kadang berangan sendiri. Kalaulah Cik Normah ada anak, hendak saja Cik Normah asuh supaya dia jadi insan kelakar sejak kecil lagi. Bukan saja rumah tangga Cik Normah makin meriah, malah dia juga mungkin mempunyai peluang untuk menjadi terkenal dan mampu mencari rezeki dengan bakat lawak dimiliki. Nak harapkan Cik Normah sendiri yang berlawak, umpama mengimpikan ketam berjalan luruslah jawabnya.
sumber >
No comments:
Post a Comment