Mesti tonton: Beruang comel pencuri

Yogi Bear muncul kali pertama di layar lebar dalam bentuk 3D 

HAIWAN comel gempal berbulu yang bijak tapi cemerkap, serta petah bercakap. Itulah gambaran paling tepat untuk watak kartun Yogi Bear.

Siapa yang tidak kenal watak kartun ciptaan Hanna-Barbera, Yogi Bear dan Boo Boo, yang menemui penonton sejak dari 1958 lagi.
Ia muncul kartun bersiri pertama yang memenangi anugerah pada Anugerah Emmy, menerusi rancangan The Huckleberry Hound Show.

Kini, Yogi Bear kembali menemui peminat, tetapi dalam bentuk animasi yang ditayangkan dalam versi 3D, dengan menggabungkan teknologi imejan janaan komputer dengan aksi sebenar.

Kartun yang asalnya dicipta untuk hiburan terutama kanak-kanak ini kini diadaptasikan ke dalam filem yang santai, sesuai untuk tontonan umum.

Filem selama sejam 20 minit ini memaparkan drama ringan yang sesuai untuk tontonan seisi keluarga kerana ia bukan sekadar hiburan malah memaparkan pengajaran dan nilai moral yang tinggi.
Animasi ini dibuka dengan filem pendek yang mencuit hati dari Warner Bros, menampilkan Road Runner dan Wile E Coyote yang sentiasa berkelahi.

Yogi Bear arahan Eric Brevig ini berkisar mengenai seekor beruang coklat yang boleh bercakap, memakai topi dan baju berkolar. Berbeza dengan beruang lain, Yogi tidak mencari makanan dengan menangkap ikan menggunakan tangannya mahupun pergi berburu ke dalam hutan.

Sebaliknya, Yogi, yang meminjam suara Dan Aykroyd, tinggal di Taman Jellystone, mengenyangkan perutnya dengan mencuri bakul makanan dibawa oleh pengunjung yang datang berkelah ke lokasi terbabit.

Beruang bijak ini berkebolehan mencipta mesin yang boleh membuatkan dia memiliki bakul makanan dalam apa bentuk sekalipun. Juga, Yogi seekor beruang yang tidak berfikir panjang dan bertindak mengikut emosinya tanpa menilai baik dan buruknya sesuatu keputusan itu.

Konflik bermula apabila kediaman Yogi dan rakan-rakannya, Taman Jellystone, diarahkan untuk ditutup segera, kerana ia tidak mendatangkan hasil kepada negara.

Taman Jollystone, yang mengambil lokasi ladang pokok pinus di barat Auckland, New Zealand, ialah sebuah lokasi menarik tetapi semakin kurang menjadi pilihan orang ramai untuk bersantai.

Bukan sekadar Yogi akan hilang habitatnya, malah Renjer Smith bakal hilang kerjayanya sebagai penjaga keamanan dan ketenteraman di taman berkenaan.

Renjer Smith, watak yang dipegang oleh Tom Cavanagh, yang berkhidmat di taman itu sejak 10 tahun lalu kini terpaksa mencari cara memulihkan pendapatan taman terbabit bagi mengelakkan ia daripada dijual. Bagi menyelamatkan Taman Jellystone, Renjer Smith perlu mengumpulkan sejumlah wang yang banyak dalam masa seminggu.

Kemudian muncul Rachel, seorang pembuat filem dokumentari yang datang ke lokasi berkenaan untuk menghasilkan dokumentari mengenai Yogi, secara tidak langsung terbabit dalam usaha menyelamatkan tempat perkelahan itu.

Rachel yang dilakonkan Anna Faris berganding bersama Renjer Smith dalam usaha mereka menganjurkan sebuah pesta untuk mengumpul wang. Dalam senyap, Rachel dan Smith saling menyukai di antara satu sama lain.

Sayangnya, kedua-dua watak ini kurang menonjol. Jika ia diserlahkan lagi, tentunya animasi ini muncul sebagai judul yang lebih kuat lagi.

Bagaimanapun, Yogi dan Boo Boo merosakkan pesta berkenaan menyebabkan Taman Jellystone jatuh ke tangan watak antagonis, Gabenor Brown.

Selain Yogi, watak utama beruang comel dan naif, Boo Boo, membuatkan filem ini bertambah menarik. Sesiapa pun tidak dapat menjangka bahawa suaranya yang comel ini sebenarnya milik pelakon dan penyanyi terkenal, Justin Timberlake.

Ternyata Justin bijak memperdayakan penonton apabila ia langsung tidak dibayangi suara pop yang selalu didengar menerusi lagu popular nyanyiannya.

Sementara itu, usaha dilakukan oleh Smith dan Rachel gagal sehinggalah Yogi dan Boo Boo mulai sedar mereka perlu bekerjasama untuk menyelamatkan taman yang berusia 100 tahun itu daripada jatuh ke tangan Brown.

Peminat setia kartun ini pastinya tidak mahu melepaskan peluang menonton filem animasi yang julung kali dipersembahkan dalam bentuk filem. Hadir sebagai hiburan ringan lagi santai, ia judul terbaik untuk ditonton bersama keluarga mahupun si dia tercinta.

INFO

Filem: Yogi Bear
Genre: Pengembaraan, animasi
Pengarah: Eric Brevig
Pelakon: Dan Aykroyd, Justin Timberlake, Anna Faris, Tom Cavanagh, T. J. Miller
Tayangan: Mulai 3 Februari







sumber bHarian :








No comments:

PUSH