Hidup pencetus kuasa emosi



HIDUP! Inilah perkataannya dan itulah pencetus kepada siapa Mary J Blige pada hari ini. "Muzik saya meraih inspirasi daripada pengalaman hidup saya dan orang-orang di sekeliling saya. Perkataan mempunyai kuasa untuk menggerakkan emosi anda," ujarnya menjawab persoalan Kosmo! mengenai 'life' (hidup) - perkataan yang cukup sinonim dengan perjalanan karier seninya.
Album keduanya berjudul, My Life, album keenamnya pula diberi judul, Love and Life, manakala pewanginya yang terjual laris di pasaran juga dikenali dengan jenama My Life.
Malah penyanyi, penerbit, komposer dan aktres yang meraih pengiktirafan sembilan anugerah Grammy itu bakal membuat kemunculan sulungnya di Malaysia pada pukul 9 malam, 8 Februari ini di Plenary Hall, KL Convention Centre, Kuala Lumpur untuk konsert jelajahnya yang dikenali sebagai Music Saved My Life!
Betapa bermakna sekali perkataan itu buat Mary J Blige.
Peluang 'menemu bual' figura yang popular dengan lagu-lagu seperti No More Drama, No Gon'Cry, Real Love dan banyak lagi itu diraih hasil dengan bantuan PR Worldwide Sdn. Bhd., syarikat tempatan yang membawanya ke Malaysia untuk konsert tersebut.
Menerusi jawapan yang diberikan Mary J untuk pelbagai soalan yang disenaraikan Kosmo! khusus buatnya, ia ternyata berjaya mencungkil serba sedikit tentang keperibadian dirinya untuk dikongsi bersama.
Memulakan konsert jelajahnya itu pada 2 Oktober tahun lepas di Atlanta, Amerika Syarikat sebelum berehat seketika selepas konsertnya yang sukses dari segi penjualan tiket pada 5 November lalu di Manchester, United Kingdom, ia diteruskan pada tahun ini bermula di Seoul, Korea Selatan pada 16 Januari sebelum ke Jepun dan Australia, dan Kuala Lumpur menjadi destinasi terakhir perjalanan konsert tersebut.
"Saya berada dalam keadaan yang sangat baik buat masa ini. Konsert jelajah saya juga berlangsung dengan baik dan saya sangat gembira kerana para peminat saya begitu menikmati persembahan saya setakat ini," tuturnya yang turut menitipkan jawapan terhadap persoalan mengenai makna di sebalik judul konsert jelajahnya itu.
Katanya: "Semua maknanya sudah termaktub dalam judul Music Saved My Life itu. Ia sangat berterus terang."
Jelajah dunia
Menurut Mary J, 40, konsert jelajahnya itu merupakan sesuatu yang sangat mengujakan.
"Ini kerana saya berpeluang mengembara ke seluruh dunia untuk bertemu dengan peminat saya.
"Saya akui prosesnya sangat memenatkan tetapi muzik adalah keterujaan saya dan saya sangat gemar terbabit dengan konsert jelajah. Setiap momen ketika konsert jelajah sangat bernilai," ungkapnya.
LAPAN daripada sembilan albumnya terjual mencecah dua juta unit, Mary J kini dalam proses pembikinan album kesepuluhnya.
Bercerita secara ringkas mengenai konsertnya di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini, Mary J memberitahu ia merupakan konsert buat julung-julung kalinya di Asia.
"Saya sangat teruja dapat bertemu peminat saya di Asia," tuturnya lagi.
Berjanji akan memberikan persembahan terbaik untuk konsertnya di Kuala Lumpur nanti kata Mary J: "Mengenai konsert saya di Kuala Lumpur pada 8 Februari ini, saya berjanji akan menjadikan ia sebuah persembahan yang menyeronokkan. Ia sebuah persembahan tanpa henti dan penuh bertenaga."
Tambahnya: "Saya tidak sabar menunggu untuk bertemu dengan peminat saya di Malaysia dan merasakan aliran tenaga mereka sepanjang persembahan konsert saya itu nanti."
Dalam pada itu, merujuk kepada graf pencapaian dalam kerjaya seninya, Mary J ternyata antara yang paling sukses di dunia.
Melodies by MJB
Sehingga tahun 2010, penjualan keseluruhan sembilan album yang dihasilkan sepanjang karier nyanyiannya di seluruh dunia kini mencecah 50 juta unit, manakala keseluruhan singlenya pula terjual sehingga 15 juta unit.
Lapan buah album Mary J pula meraih pengiktirafan multi-platinum yang bermakna setiap album itu terjual mencecah dua juta unit atau lebih.
Bukan itu sahaja. Muncul dengan minyak wangi jenamanya, My Life yang dilancarkan pada Julai tahun lepas telah mencipta rekod apabila apabila menurut laporan HipHopWired pada 2 Ogos lepas, minyak wangi yang dijual dengan harga AS$50 (RM160) sebotol itu terjual sebanyak 60,000 botol hanya dalam tempoh sehari menerusi talian, Home Shopping Network.
Kejayaan minyak wangi My Life segera disusuli dengan kemunculan Melodies by MJB iaitu jenama kaca matanya pula pada Oktober tahun lepas.
Justeru, apakah perasaan menjadi seorang yang bukan sahaja sukses dalam bidang seni tetapi juga bisnes seperti Mary J?
"Semua pencapaian dan anugerah yang diraih sepanjang karier muzik saya menjadi inspirasi buat diri saya.
"Ia merupakan suatu perasaan yang hebat apabila hasil kerja anda dinilai baik oleh semua pihak," jelas Mary J lagi.
Bicara penamatnya berbunyi: "Perancangan saya untuk masa depan ialah menghabiskan projek rakaman album kesepuluh dan terbaru saya, di samping bekerja keras untuk menaikkan lagi jualan kaca mata jenama saya, Melodies by MJB, selain meneruskan promosi pewangi, My Life."




No comments:

PUSH