LTdL 2011 ^^


GUARDINI (depan) memenangi perlumbaan peringkat ke-10 semalam, sekali gus menggenggam gelaran sebagai Raja Pecut LTdL 2011.



KEJAYAAN memenangi perlumbaan peringkat kelima dari Tapah ke Genting Highlands sejauh 124.3 kilometer (km) pada Khamis lalu membawa tuah buat pelumba pasukan Androni Giocattoli, Jonnatha Monsalve.
Kejayaannya muncul pelumba pertama sampai di puncak Genting Highlands itu sudah cukup untuk membolehkan pelumba Venezuela itu ditabalkan selaku juara baru pada kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011.
Biarpun hanya berpeluang menyarung Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan selepas berakhirnya peringkat kelapan di Jasin, Monsalve terus mempertahankan jersi tersebut sehingga peringkat terakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semalam.
"Saya gembira dan berbangga kerana nama saya kini berada dalam senarai juara LTdL. Ini merupakan kejayaan sulung saya pada kejohanan seperti ini.
"Saya mahu menjadikan kemenangan ini sebagai permulaan untuk terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," kata Monsalve pada sidang media semalam.
Selepas tamat 10 peringkat perlumbaan, Monsalve merekodkan catatan masa keseluruhan 30 jam 08 minit 57 saat diikuti pelumba LeTua Cycling Team, Libardo Nino Corredor (3'09:02s) dan pelumba pasukan Androni Giocattoli, Emanuele Sella (30'09:21s).
Monsalve yang turut meraih gelaran Raja Bukit (Jersi Merah) berkata, pada awalnya dia tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi untuk dijulang sebagai juara baru pada kejohanan berstatus 2HC itu.
"Saya mula melakukan persiapan bagi menghadapi LTdL sejak Disember tahun lalu. Ketika itu, saya tidak mahu meletakkan sasaran kerana saya sedar ramai pelumba-pelumba ternama turut bersaing pada kejohanan ini.
"Bagaimanapun, tumpuan dan fokus saya mula berubah sejak saya memenangi perlumbaan di Genting Highlands. Sejak itu, saya sudah meletakkan sasaran untuk menjuarai kejohanan kali ini," katanya yang gembira dapat menyarung Jersi Kuning selepas peringkat kelapan.
Pada perlumbaan peringkat terakhir yang bermula di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam semalam, pelumba Farnese Vini-Neri Sottoli, Andrea Guardini merakamkan kemenangan kelimanya pada saingan LTdL tahun ini.
Guardini berjaya melintasi garisan penamat dengan catatan masa 2'24:30s. Bagi Guardini, kejayaan tersebut menyaksikan dia berjaya menyamai rekod dua lagi pelumba yang pernah melakar lima kemenangan dalam sejarah penganjuran LTdL, Greame Brown dari Australia (2004) dan Alberto Loddo dari Itali (2007).
Lebih manis, dia turut ditabalkan sebagai Raja Pecut yang baru, sekali gus menafikan hajat Anuar untuk menyarung Jersi Biru bagi tahun kedua berturut-turut.
Sementara itu, pelumba pasukan Azad University Cycling Team, Rahim Emami muncul pelumba terbaik Asia manakala pasukan yang diwakilinya itu diangkat sebagai pasukan terbaik Asia.
Tabriz Petrochemical Team pula muncul juara keseluruhan.
sumber : berita harian



No comments:

PUSH