Kutipan Khurafat cecah RM7 juta : Macam Best Jerk ^^


FILEM seram pertama terbitan Skop Production Sdn Bhd, Khurafat, terus menunjukkan persembahan memberangsangkan selepas tiga minggu tayangan apabila berjaya membuat kutipan kasar RM6.9 juta sehingga kelmarin. Angka berkenaan pula dijangka meningkat sehingga RM7.2 juta, sehingga hari ini. 

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam, berkata dia bersyukur kerana percubaan pertama Skop menghasilkan filem seram diterima ramai.


Beliau ketika dihubungi menganggarkan Khurafat mampu mencecah antara RM7.5 juta sehingga RM8 juta apabila tamat tayangannya nanti. Bagaimanapun katanya, angka kutipan Khurafat akan terjejas sempena Tahun Baru Cina berikutan beberapa pawagam sudah pun menyatakan hasrat mereka mengurangkan jumlah tayangan filem itu, bagi memberikan laluan kepada filem baru.
“Alhamdulillah selepas tiga minggu ditayangkan, Khurafat berjaya memungut sekitar RM7 juta dan kita anggarkan angka itu akan meningkat lebih tinggi lagi. Namun sambutan Tahun Baru Cina akan menjejaskan kutipan filem ini berikutan pempamer mahu mengurangkan jumlah tayangannya untuk memberi laluan kepada filem lain.

“Contohnya di Ipoh, pempamer terpaksa mengeluarkan filem ini, tetapi mereka berjanji untuk menyelitkan beberapa sesi tayangan jika boleh. Daripada enam tayangan sehari yang mampu mengutip antara RM12,000 hingga RM13,000, mereka mungkin akan berikan dua slot tayangan untuk filem ini. Secara keseluruhannya, kita akan kekurangan separuh daripada kutipan yang mampu dipungut.

“Walau bagaimanapun, saya tetap bersyukur kerana tidak menyangka Khurafat boleh mencecah kutipan setinggi ini. Malah lebih tinggi daripada sejarah yang pernah dicetuskan Skop Production sejak 16 tahun lalu, menerusi filem Sembilu, yang mencatat RM6.3 juta selama 40 hari ditayangkan,” katanya.

Sembilu yang dibintangi Erra Fazira, Awie, Ziana Zain dan Mustapha Kamal menemui peminat filem Melayu pada 1995. Filem berkisar percintaan penyanyi rock itu mencatat sejarah apabila menjadi filem pertama di negara ini berjaya mengutip RM6.3 juta, menyebabkan penerbit itu sendiri digelar Six Million Dollar Man.
Biarpun menyedari filem seram mampu memberi pulangan lumayan, namun Yusof berkata, beliau enggan terburu-buru untuk terus menghasilkan filem bergenre sama bagi meraih keuntungan segera.

“Syamsul ada menyatakan, dia tidak mahu tergopoh-gopoh menghasilkan filem seram lain. Selepas Khurafat, dia kini sibuk mengarahkan filem Bohsia 2: Jalan Kembali, malah saya sendiri kurang bersetuju apabila industri kita terlalu dilambakkan dengan cerita hantu. Mungkin kita hanya akan terbitkan pada penghujung tahun ini kerana Syamsul mempunyai beberapa filem lain yang perlu diselesaikan.

“Sebenarnya dia menghasilkan Khurafat atas dasar ingin mencuba. Pada mulanya dia sendiri was-was tetapi tak sangka pula filem ini mendapat sambutan serta komen yang baik daripada peminat dan juga media.

”Bagaimanapun dia ada menyatakan kepada saya, jika dia mahu hasilkan filem seram pun, mungkin dia ingin mencuba seram komedi seperti filem Hantu Kak Limah Balik Rumah. Dia terlalu meminati filem itu, lagipun seram komedi lebih mudah dihasilkan berbanding filem seram yang memerlukan banyak kajian dilakukan. Saya tidak kisah filem apa sekalipun yang mahu Syamsul hasilkan, tetapi kalau boleh biarlah mempunyai mesej,” katanya.

Sebagai bapa, Yusof sentiasa mengingatkan Syamsul supaya tidak mudah meninggi diri atau berasa dirinya hebat dengan kejayaan demi kejayaan yang diraih. Baginya, kejayaan itu bukan miliknya seorang tetapi ia tidak akan dicapai tanpa kerja berpasukan.


sumber : berita harian
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KutipanKhurafatcecahRM7juta/Article



No comments:

PUSH