Banjir teruk !!!


ADUN Bukit Ibam, Datuk Mohamad Sahfri Abdul Azizi (depan) membawa barang keperluan asas untuk diagihkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat kepada penduduk yang terlibat banjir di Kampung Meripoh, Muadzam Shah. Seramai 260 orang daripada 35 keluarga di Kampung Meripoh, terputus perhubungan darat. 

Banjir lima negeri belum surut


60,389 mangsa masih ditempatkan di 356 pusat pemindahan sementara 

KUALA LUMPUR: Banjir yang melanda Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Sabah masih belum surut menyebabkan kira-kira 13,826 keluarga dan 60,389 mangsa masih ditempatkan di 356 pusat pemindahan sementara di seluruh negara sehingga semalam.

Sehubungan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengarahkan semua pegawai dan petugas kemen-terian itu bersiap sedia 24 jam bagi membantu mangsa banjir di negeri terbabit.
Di JOHOR: Cuaca yang agak baik sepanjang hari, membantu meredakan banjir seluruh negeri ini, apabila hampir 10,000 daripada 50,000 mangsa pada tengah malam kelmarin, dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, petang semalam. 

Setakat jam 4 petang, 46 pusat pemindahan sudah ditutup tetapi 41,647 penduduk membabitkan 10,009 keluarga, masih berlindung pada 247 pusat pemindahan banjir. 

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, berkata pusat pemindahan yang ditutup merangkumi 19 di Johor Bahru; Muar (2), Segamat (6), Kluang (12), Pontian (1), Kota Tinggi (2) dan Kulaijaya (4). 

Katanya, ketika ini pusat pemindahan yang masih beroperasi membabitkan lima di Johor Bahru, Muar (21), Batu Pahat (29), Segamat (89), Kluang (40), Pontian (9), Kota Tinggi (18), Mersing (1), Ledang (28) dan Kulaijaya (7). 
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya akan membuka kaunter khas di setiap pusat pemindahan banjir bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa. 

Katanya, ketika ini pihaknya mempunyai anggota yang cukup untuk membantu proses pemindahan dan juga mereka yang keluar dari pusat pemindahan itu. 

Berdasarkan laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati semalam, antara sungai yang berada pada paras bahaya termasuk Sungai Muar di Bukit Kepong, Olak Sepam, Seri Maamor dan Kampung Awat, Sungai Bekok, Sungai Rantau Panjang di Kota Tinggi dan Sungai Benut di Simpang Renggam. 

Di NEGERI SEMBILAN: Seramai 2,393 mangsa banjir membabitkan 572 keluarga dipindahkan ke 25 pusat pemindahan sementara di seluruh negeri ini, semalam. 

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata bilangan mangsa banjir meningkat berbanding kelmarin berikutan paras air sungai yang tidak berubah berikutan banjir di Johor. 

Di PAHANG: Jumlah mangsa banjir di negeri ini semalam meningkat kepada 1,777 orang membabitkan 226 keluarga berbanding hampir 800 orang kelmarin. 

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Pahang berkata, sehingga jam 5 petang semalam, jumlah berkenaan membabitkan 1,687 orang daripada 204 keluarga di Rompin dan 90 mangsa membabitkan 22 keluarga di Bentong. 

Di MELAKA: Seramai 4,101 mangsa banjir masih lagi ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara di seluruh negeri ini sehingga jam 7 malam semalam, berikutan kawasan mereka masih ditenggelami air. 

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri di Ayer Keroh berkata, 2,114 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara daripada 557 keluarga di daerah Melaka Tengah, manakala 1,575 dari 380 keluarga di daerah Alor Gajah dan di daerah Jasin sebanyak 419 orang daripada 93 keluarga. 

Di SABAH: Banjir di empat daerah di Sabah sejak tiga hari lalu semakin surut semalam dengan kebanyakan mangsa yang dipindahkan di pusat penempatan sementara sudah dibenarkan pulang. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, bilik gerakan banjir di daerah Kota Marudu, Beluran, Pitas dan Sandakan masih dibuka bagi menghadapi kemungkinan air meningkat semula. 

sumber : berita harian 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Banjirlimanegeribelumsurut/Article



No comments:

PUSH