Oprah Winfrey



talk show yang memang popular sekarang ini ,,
tapi dah tak ada sebab dah sampai ke season yang terakhir ,,
sebab katanya oprah nak buat projek terbarunya pada tahun 2011 ,,
tak tahulah apa projeknya ,,
mungkin suprise kot ,,
hihihihi ,,

tapi talk show oprah memang dapat sambutan yang meriah ,,
kerana setiap episode ada sahaja hadiah yang akan oprah beri kepada penonton nya itu ,,
mahal mahal pula tuh ,,
jeles aku ,,

kalau la aku ada kat sana mesti best ,, dapat macam macam ,,
ada yang dapat jam rolex ,,
bukan segilintir sahaja yang dapat ,, tapi semua yang hadir menonton talk show oprah ,,
beruntung betul jadi oprah ni , 






'Tumbukan' boleh tahan



SECARA peribadi, sukar untuk menghakimi Sucker Punch. Saya tidak meletakkannya sebagai filem yang buruk, ia juga bukanlah filem yang hebat.


Terdapat beberapa aspek yang menyerlah dan hampir cemerlang, menjadikan ia sebuah produk yang diklasifikasikan sebagai 'boleh tahan'.


Sucker Punch merupakan idea asal Zack Snyder selepas mengarahkan 300 (2006) dan Watchmen (2009). Digelar 'the visionary director', Snyder sinonim dengan visual dan kesan khas yang menakjubkan sehingga kebanyakan pengkritik di Hollywood menghentamnya kerana mengabaikan jalan cerita.


Semasa artikel ini ditulis, laman web terkenal, Rotten Tomatoes memberi 21 peratus markah undian kepada Sucker Punch. Saya kurang bersetuju.


Saya menyukai babak pembukaan. Walaupun tidak ubah seperti sebuah video muzik (menggunakan versi baru lagu popular Eurythmics, Sweet Dreams), Snyder memulakan filem ini dengan rupa dan perasaan yang tepat. Penonton diberitahu apa yang berlaku hanya melalui pergerakan, tanpa sebarang dialog.


Adegan itu menyaksikan Baby Doll yang cuba melarikan diri dari kekejaman bapa tiri selepas kematian ibunya. Kerana tersilap percaturan, dia dianggap mengalami tekanan jiwa sehingga dimasukkan di hospital mental bernama Mount Pleasant Insane Asylum.


Di pusat rawatan inilah bermulanya segala fantasi. hospital itu yang mempunyai dua wajah iaitu siang sebagai tempat rawatan, manakala malamnya beroperasi sebagai kabaret termasyhur. Pesakit seperti Baby Doll dan gadis-gadis lain ditransformasikan menjadi penghibur di bawah tunjuk ajar Madam Gorski.


Semasa berlatih menari, Baby Doll mendapat petanda bagaimana untuk melarikan diri. Empat barang yang mesti diperolehi ialah peta, api, pisau dan kunci. Dia mengajak empat pesakit lain dalam melunaskan misi itu, sekali gus membebaskan diri dari taklukan bapa ayam yang kejam bernama Blue.


Bagi saya, Sucker Punch mempunyai premis yang menarik. Saya 'membeli' idea awal mengenai survival sekumpulan wanita teraniaya yang ingin melarikan diri sehinggalah Baby Doll mula menari. Setiap kali Baby Doll menari, penonton akan ditarik masuk ke alam yang lain, tidak ubah seperti permainan video.


Alam itu mentafsirkan kepayahan Baby Doll dan rakan-rakannya dalam mendapatkan peta, api, pisau dan kunci. Mereka bertarung dengan robot, naga dan makhluk-makhluk aneh menggunakan mesin gun, bom dan pelbagai senjata.


Mereka akan pulang ke dunia sub-realiti sebaik saja setiap barang berjaya dimiliki.


Saya menamakan dunia itu sebagai sub-realiti kerana filem ini mengingatkan saya kepada konsep filem Inception (2010). Apa yang disaksikan adalah lapisan-lapisan mimpi setiap watak, di mana pada penghujungnya penonton diberikan kejutan.


Kerana saya tidak terlalu mengharapkan keajaiban berlaku dalam filem bersifat bertih jagung seperti ini, saya mengakui agak terhibur.


Perkara yang penonton tidak boleh mengadu tentang filem Snyder ialah kepakaran grafiknya. Imej janaan komputer (CGI) berada dalam kelas tertinggi, dihasilkan penuh teliti dan kemas. Snyder juga terkenal dengan efek gerak perlahan yang memenuhi babak-babak pertarungan.


Kelebihan Sucker Punch juga terletak pada skor muzik dan lagu-lagu runut bunyi yang bersama menggerakkan visual. Seperti yang saya katakan awal tadi, walaupun ada masanya beberapa babak kelihatan seperti video muzik, namun stail lakon layar itu berfungsi untuk filem seperti ini.


Rasanya lakonan bukanlah perkara utama yang perlu diperdebatkan. Emily Browning sebagai Baby Doll boleh dipercayai, begitu juga dengan Jena Malone sebagai Rocket yang paling menyerlah di antara gadis-gadis lain.


Barangkali kerana watak Rocket mempunyai lebih konflik, Malone mendapat lebih ruang untuk memberatkan lakonannya.


Pelakon senior seperti Carla Gugino berjaya menjadikan watak Madam Gorski sebagai ikonik, tetapi populariti Jon Hamm dari siri Mad Men (2007-2010) terasa seperti tidak digunakan. Walaupun namanya dibariskan sebagai salah seorang pelakon utama, kehadirannya tidak dirasai dan seolah penampilan istimewa saja.




sumber>
utusan




Ritz-Carlton hotel tertinggi di dunia


HOTEL Ritz-Carlton Hong Kong menawarkan penginapan mewah kepada pengunjungnya.
HONG KONG - Hotel Ritz-Carlton Hong Kong menjadi hotel paling tinggi dan bangunan keempat tertinggi di dunia selepas dibuka kepada orang awam kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Hotel yang berada di tingkat 102 ke-118 di Pusat Perdagangan Antarabangsa (ICC) itu mempunyai 312 buah bilik. Ia menawarkan pemandangan bandar dan pelabuhan, selain menyediakan kemudahan seperti pusat beli-belah seluas 93,000 meter persegi, enam buah restoran, spa dan kolam renang.
Menurut Presiden rangkaian hotel mewah itu, Herve Humler, Hotel Ritz-Carlton Hong Kong menjadi sebuah mercu tanda kepada kemuncak kejayaan selepas kerja keras selama bertahun-tahun.
"Kami mampu merealisasi sebuah hotel yang betul-betul hebat. Jadi kami mengalu-alukan tetamu bukan sahaja ke hotel yang tertinggi di dunia, malah hotel yang terbaik," katanya.
Selain itu, Ritz-Carlton telah meletakkan rasa mewah ke tahap yang baru dalam semua aspek. Menara hotel itu juga kelihatan jauh lebih tinggi daripada bangunan sekelilingnya. - Agensi




sumber>
kosmo!




Kuda paling kerdil di dunia


EINSTEIN berada dekat dengan seekor kuda normal di New Hampshire, Amerika Syarikat baru-baru ini.
NEW HAMPSHIRE - Seekor kuda kerdil, Einstein yang merupakan kuda paling kecil di dunia akan menyambut hari ulang tahun kelahiran yang pertama pada bulan depan, lapor sebuah akhbar semalam
Einstein yang hanya mempunyai ketinggian 50.8 sentimeter dan ia menjadi tarikan kerana kuda kerdil yang normal yang lahir akan mempunyai purata tinggi 0.53 meter.
Bagaimanapun, pihak Guinness World of Records tidak akan mengiktiraf Einstein menjadi kuda kerdil paling kecil di dunia selagi haiwan itu belum berumur empat tahun.
"Namun, kami berdua yakin ia (Einstein) sudah berhenti pembesarannya," kata pemilik kuda kerdil itu, Charlie Cantrell dan Rachel Wagner di ladang milik mereka di Barnstead.
Ibu kuda itu setinggi 81.3 sentimeter manakala bapa haiwan itu mempunyai ketinggian 76.2 sentimeter.
Kuda itu dibeli oleh pemiliknya daripada seorang pembiak kuda kerdil. - Agensi




sumber>
kosmo!



Tip tubuh seksi Son Dambi


SON DAMBI
BINTANG terkenal Korea Selatan, Son Dambi bukan sahaja telah menunjukkan bentuk tubuhnya yang seksi ketika membuat fotografi jenama pakaian sukan Decente baru-baru ini.
Malah aktres, penyanyi dan model itu juga telah memberi tip kepada peminatnya bagaimana untuk mendapatkan bentuk tubuh yang sihat dan mantap.
Pertama, dia menegaskan regim senaman perlu dimulakan dengan latihan angkat berat, sebelum diikuti dengan aerobik dan akhirnya regangan badan.
"Saya sangat berdisiplin dengan regim dan rutin senaman saya. Kalau pada hari saya tidak menjalani latihan di gim, saya akan berjoging di sekitar kawasan kejiranan saya," ujarnya.
Satu lagi regim bagi mengekalkan stamina dan bentuk tubuh yang mantap yang diamalkannya adalah dengan menari.
"Saya menari dan menari kerana ia bukan sahaja baik untuk kesihatan tubuh selain menjadikan bentuk tubuh kita mantap, tetapi ia juga boleh digunakan untuk menghilangkan tekanan," ujarnya yang menyukai tarian hip hop dan jazz.




sumber>
kosmo!



Dakwa temui lukisan dinosaur


LUKISAN haiwan dinosaur sauropod (dalam bulatan) didakwa ditemui di dinding gua Jambatan Kachina, Utah, Amerika Syarikat.
BANDAR SALT LAKE, Amerika Syarikat - Seorang ahli biologi membuat spekulasi dengan mendakwa haiwan prasejarah, dinosaur dan manusia pernah hidup bersama, lapor sebuah akhbar semalam.
Professor biologi dari Universiti Fayetteville State berkata, beliau menemui lukisan mirip seekor dinosaur dari jenis pemakan sayur, sauropod pada tahun 2009 lalu.
Lukisan itu ditemui di dinding gua Jambatan Kachina, Utah.


Ia kelihatan seperti tompok-tompok cerah dan jika dilihat sekali imbas bentuk lukisan tersebut mempunyai bentuk leher yang panjang serta empat kaki.
Pelik dengan gambaran tersebut, dia membawa foto lukisan itu kepada seorang ahli arkeologi, Sally Cole yang pakar dalam lukisan dinding prasejarah.
Namun, ramai saintis mendakwa adalah mustahil untuk manusia hidup sezaman dengan dinosaur dan lukisan prasejarah itu adalah lukisan ular dan kakinya mungkin kesan lumpur sahaja. - Agensi




sumber>
kosmo!


Bapa pengasas Internet meninggal dunia


PAUL BARAN
LOS ANGELES - Seorang jurutera Amerika Syarikat (AS) yang membantu mencipta Arpanet, Paul Baran meninggal dunia pada usia 84 tahun di California pada Sabtu lalu, lapor akhbar The New York Times semalam.
Arpanet adalah merupakan sistem Internet pertama di dunia yang digunakan oleh tentera AS.
Memetik kenyataan anak lelaki saintis berkenaan, akhbar The New York Times menyatakan bahawa Baran meninggal dunia di rumahnya di Palo Alto, negeri California akibat barah paru-paru.
Dalam beberapa kertas kajian teknikal yang disiarkan dalam tahun 1960-an, Baran mencadangkan untuk membina satu rangkaian komunikasi yang lebih kebal terhadap serangan atau gangguan siber berbanding rangkaian komunikasi sedia ada, kata laporan tersebut.
Menurut The New York Times, ciptaan Baran yang dihasilkan pada pertengahan tahun 1960-an adalah jauh ke hadapan daripada zamannya, sehinggakan sebuah syarikat komputer utama AS, AT&T menolak untuk bekerjasama membina rangkaian komunikasi itu.
"Baran tidak takut memilih jalan bertentangan dengan pendapat dan idea semasa," seorang timbalan presiden syarikat Google, Vinton Cerf dipetik sebagai berkata oleh akhbar berkenaan.
"AT&T berulang kali menyatakan bahawa idea rangkaian Internet itu tidak akan berjaya dan enggan terlibat dalam projek Arpanet," tambahnya.
Arpanet kemudian dibina oleh Jabatan Pertahanan AS dalam tahun 1969, lapor akhbar The New York Times. Ia akhirnya digantikan dengan Internet yang kita kenali sekarang. - AFP




sumber>
kosmo!



Lelaki 100 tahun kahwin kekasih berusia 93 tahun


FORREST LUNSWAY dan isterinya, Rose Pollard.
DANA POINT, California - Seorang lelaki berusia 100 tahun, Forrest Lunsway melangsungkan perkahwinan dengan kekasihnya, Rose Pollard berumur 93 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Mereka mendirikan rumah tangga selepas berkenalan buat kali pertama pada 18 Disember 1983 dalam satu majlis tari-menari untuk warga emas.
Majlis perkahwinan itu diadakan pada sambulan ulang tahun kelahiran Forrest yang ke-100 di Pusat Komuniti Dana Point pada 19 Mac lalu di hadapan rakan-rakan dan anggota keluarga.
Paderi yang mengahwinkan mereka, Sam Lewis berkata, perkahwinan tersebut merupakan sesuatu yang mengagumkan orang ramai.
"Tema perkahwinan ini adalah kehidupan anda masih belum tamat selagi anda belum lagi meninggal dunia," katanya.
Sebelum berkenalan, kedua-dua mereka pernah berkahwin dengan pasangan masing-masing.
Gabungan umur mereka, iaitu 193 tahun, telah menjadikan mereka pasangan tertua di dunia yang berkahwin selepas rekod 183 tahun yang dipegang pasangan Harry Carton dan Edna Holford dari Barnley, England.
Seorang jurucakap Guinness Book of World Records menyatakan pihaknya akan mengesahkan perkahwinan itu sebagai rekod dunia. - Agensi




sumber>
kosmo!




Pokok dipenuhi sarang labah-labah


DUA batang pokok dipenuhi dengan sarang labah-labah di wilayah Sindh, Pakistan.
KARACHI, Pakistan - Sejumlah pokok di wilayah Sindh dekat sini dipenuhi dengan sarang labah-labah sehingga menghasilkan satu pemandangan yang menyeramkan, lapor sebuah akhbar semalam.
Walaupun kejadian banjir melanda Pakistan tahun lepas tetapi terdapat air yang masih lagi tidak surut sepenuhnya menyebabkan banyak serangga kecil menjadikan pokok sebagai tempat tinggal.
Menurut penduduk tempatan, mereka tidak pernah melihat fenomena tersebut berlaku sebelum ini tetapi sarang labah-labah itu telah berjaya mengurangkan populasi nyamuk.
Sebahagian besar kawasan bencana yang melanda Pakistan masih lagi belum surut selepas enam bulan hujan lebat melanda negara itu.
Fenomena pokok yang menggerunkan itu pula adalah kesan terbaru akibat banjir besar yang telah menyebabkan 2,000 orang terbunuh. - Agensi




sumber>
kosmo!



Sindrom kemurungan Facebook landa remaja



NEW YORK - Satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Stony Brook di sini mendapati golongan remaja berasa lebih bimbang jika tidak menghabiskan masa di laman rangkaian sosial, Facebook berbanding melakukan kerja sekolah, lapor sebuah akhbar semalam.
Menurut para penyelidik dalam isu terbaru jurnal Pediatrics, keadaan itu digelar kemurungan Facebook.
Ia berpunca selepas remaja menghabiskan banyak masa di laman maya walaupun diberi kerja rumah oleh guru di sekolah.
Penyelidikan itu mendapati, Facebook tidak memaparkan realiti sebenar kerana orang ramai pada kebiasaan akan menghantar status atau gambar tentang diri dengan menunjukkan kehebatan diri masing-masing. Seorang remaja berusia 16 tahun, Abby Abolt bersetuju dengan keputusan hasil kajian tersebut.
"Jika kamu tidak memiliki ramai kawan dan kurang melakukan aktiviti dalam kehidupan seharian sebaliknya melihat status pengguna lain dikemas kini, saya dapat memahami kenapa mereka (pengguna Facebook) berasa sedih.
"Facebook umpama pertandingan popular tentang siapa yang mendapat permintaan kawan paling ramai," jelasnya kepada agensi berita Associated Press.
Kajian itu yang diketuai oleh Dr. Joanne Davila dari Universiti Stony Brook mendapati, penghantaran mesej, e-mel dan waktu yang banyak dihabiskan di Facebook boleh menyebabkan emosi remaja terganggu. - Agensi




sumber>
kosmo!






Britney Spears mahu saingi Lady Gaga



SAN FRANCISCO - Bintang pop, Britney Spears kini menghadapi persaingan dengan kemunculan penyanyi lain seperti Lady Gaga, Katie Perry dan Rihanna.
Penyanyi yang berusia 29 tahun itu mengejutkan peminat semasa dia membuat persembahan bagi mempromosikan album terbarunya, Femme Fatale di Auditorium Sivik Bill Graham di sini kelmarin apabila penyanyi tersebut menyarung pakaian ketat hitam yang biasa dipakai oleh Lady Gaga.
Ibu dua cahaya mata itu yang memulakan persembahan dengan menyanyikan lagu popularnya, Hold It Against Me duduk di sebuah kerusi dalam keadaan seksi sambil diapit oleh penari lelaki sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.
Spears yang sudah lebih 10 tahun berada dalam dunia seni bagaimanapun menerima pelbagai komen daripada media dan peminat mengenai kelainan yang ditonjolkan semasa membuat persembahan.
Para pengkritik menyatakan Spears harus berusaha lebih gigih bagi menjadikan dia terus relevan biarpun berada dalam era Lady Gaga.
Menurut wartawan dari akhbar Independent, Andy Gill berkata: "Muzik yang dibawa oleh Lady Gaga tidak lebih atau berbeza dengan album Femme Fatale. Namun, dia (Lady Gaga) tahu daya tarikan dalam berpakaian," jelasnya yang memberi dua daripada lima markah untuk album terbaru Spears.
Wartawan akhbar Daily Mail, Adrian Thrills berkata, kemunculan Lady Gaga, Katy Perry dan Rihanna menjadi gelombang baru sehingga menjadikan penyanyi wanita harus menampilkan imej unik masing-masing bagi mengekalkan populariti.
Sementara itu peminat Spears, Sarah Ammann ketika ditemubual oleh stesen televisyen ABC mengaku perubahan penyanyi itu cukup hebat dan mengagumkan. Seorang lagi peminat dari Brentwood, California, Alicia Kennon menganggap Spears sebagai penghibur terkemuka dan pasti popularitinya terus meningkat. - Agensi




sumber>
kosmo!



Far East Movement penuh tenaga


KUMPULAN empat anak muda berimej urban ini sedang popular dengan lagu Like A G6.
SESUAI dengan nama pilihan untuk dikenali iaitu Far East Movement, sesungguhnya lagu-lagu yang diperkenalkan oleh kumpulan yang terdiri daripada empat jejaka tampan dari Los Angeles, Amerika Syarikat itu memuatkan elemen energetik.
Setiap kali karyanya diperdengarkan, pasti ada yang seolah-olah ingin bangun menari mengikut rentak yang rancak itu. Kehangatan lagu Far East Movement yang berentak elektro dan hip hop ternyata bagaikan magnet yang mampu menarik minat golongan muda.
Antara lagu hit yang membuatkan nama kumpulan itu sekali lagi melonjak terkenal di kalangan peminatnya ialah Like A G6 dan Rocketeer.
"Kami tidak menyangka lagu Like A G6 mampu memberi kesan yang mendalam. Mulanya, kami pergi ke studio seperti biasa sekadar untuk suka-suka. Tetapi kami mahukan muzik itu seperti mana ketika kami meluangkan masa di pusat hiburan.
"Setelah lagu yang dicipta itu mendapat rentak yang kami mahukan, sekali lagi kami masuk studio. Disebabkan kesemua di antara kami mempunyai masa terluang bersama, kami memuat turun lagu itu di Internet. Selepas tiga bulan memang keputusan penerimaan di luar jangkaan apabila ia mencecah jutaan penonton," beritahu salah seorang anggotanya, Kev Nish.
Kosmo! menemubual anggota lain Far East Movement iaitu Prohgress, J-Splif dan DJ Virman sempena Free Wired Tour ke Singapura pada 17 Mac lalu.
Sebelum itu, Far East Movement telah pun menggegarkan peminatnya di beberapa destinasi antaranya Hong Kong, Macau, Korea dan Indonesia.
Kebangkitan kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2003 ternyata sungguh berkesan apabila lagu miliknya kian dimainkan di corong-corong radio.
Apatah lagi, di pusat-pusat hiburan yang sememangnya mengutamakan genre muzik yang dipertengahkan oleh kumpulan itu.
"Kami akan pergi sendiri ke pusat hiburan untuk melihat sejauh mana penerimaan orang ramai terhadap hasil muzik Far East Movement.
"Ini adalah perkara yang paling penting dipersembahkan kepada orang ramai mengenai keseluruhan album kami," ujar Kev Nish lagi.
Justeru, keberkesanan Far East Movement begitu memuaskan halwa telinga peminatnya. Mereka tidak malu untuk turun ke padang melihat reaksi orang ramai apabila DJ mula memutarkan lagu-lagunya.
Tambah Kev Nash, lagu Like A G6 juga merupakan salah satu eksperimen untuk memperbanyakkan lagi lagu-lagu dengan sentuhan kreatif dan bertenaga apabila didendangkan.
"Inilah yang diimpikan oleh Far East Movement. Idea DJ VerMan dan Martin Kierszenbaum yang mahukan konsep lagu seperti berparti ternyata sungguh berkesan.
"Ketika sesi jelajah, kami dapat lihat lagu itu berada di carta nombor satu Billboard. Tidak pernah terfikir sebelum ini kami mampu mencapai kejayaan sehingga tersenarai dalam carta Billboard," jelasnya.
Penonton histeria
Dari awal lagi sudah dapat dijangkakan bahawa Far East Movement bakal menggegarkan seluruh pelosok Wave House, Singapura.
Tekaan itu benar sama sekali apabila seluruh peminat kumpulan itu tiba lebih awal di lokasi konsert untuk mempersiapkan diri berhibur dengan penuh tenaga.
Ruang pentas konsert mulanya kurang mendapat sambutan kerana para penonton memilih untuk melakukan aktiviti tersendiri.
Namun, sejurus sahaja nama Far East Movement dilaungkan sekitar pukul 9 malam, orang ramai mula berpusu-pusu memenuhi ruang depan pentas.
Hadir dengan penuh semangat, penonton bagaikan dirasuk setelah tidak henti-henti menjerit memanggil nama setiap ahli kumpulan yang digilai masing-masing.
Tidak kira sama ada lelaki atau perempuan, nampaknya kumpulan itu mampu membangkitkan seluruh penonton yang berkunjung.
Dengan penataan cahaya yang menarik mengikut rentak muzik yang dimainkan, ternyata Far East Movement mempunyai personaliti tersendiri di dalam arus muzik mereka.
Ini kerana keempat-empat mereka cukup bijak memegang tanggungjawab masing-masing. Meskipun turut bermain instrumen seperti gitar dan keyboard, mereka tidak sesekali meninggalkan audiens di hadapan bersendirian.
Sebaliknya, mereka turut meletakkan diri masing-masing seperti seorang peminat yang berada di hadapan selebriti pujaan dengan berdansa penuh tenaga.
Menggunakan seluruh ruang pentas sebaik mungkin, itu yang membuatkan peminat bertambah agresif dan menari tanpa henti.
Lagu-lagu yang menghangatkan pesisir pantai pada malam itu ialah Girls on the Dance Floor, If I Was You, Fetish, G6, Go Ape, Rocketeer, So What, Dont Look Now, 2gether, I Party, Fighting for Air danWhite Flag.
Sebenarnya, lagu-lagu yang dipersembahkan sudah pun memadai. Bagaimanapun, penonton seolah-olah masih tidak puas dan tidak mahu berganjak pulang.
Kononnya mereka menyangka lampu pentas yang ditutup sekadar gimik semata-mata. Sedangkan konsert itu sememangnya sudah tamat selepas Far East Movement mendendangkan 12 buah lagu yang penuh impak itu.




sumber>
kosmo!





Harimau Malaya optimistik


RAJAGOBAL (kanan) berbincang sesuatu dengan jurulatih kecergasan, Rustov Bozik pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya baru-baru ini.
TANPA mengira pasukan mana yang bakal diundi bertemu Malaysia pada pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014, pengurus skuad kebangsaan, Datuk Subahan Kamal optimis Harimau Malaya akan mara ke pusingan kedua.
Petang ini, undian pusingan pertama dan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 serta undian pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 bagi Zon Asia bakal berlangsung di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil.
Menurut Subahan, sasarannya itu bukanlah diletakkan secara ‘suka-suka’ tetapi keyakinan tersebut dinyatakan berdasarkan prestasi dan kemampuan dimiliki skuad kebangsaan yang dibimbing K. Rajagobal.
“Bagi saya, kita sudah lama menanti tarikh 30 Mac (hari ini) dan tak sabar untuk mengetahui siapa yang bakal ditemui pada pusingan pertama dan kedua.
“Siapa yang akan diundi bertemu kita tidak menjadi masalah kerana saya yakin Malaysia mampu memberi tentangan dan akan layak ke pusingan kedua,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, Subahan tetap realisitik bahawa untuk melangkah jauh dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2014 sesuatu yang sukar sambil terus berpegang kepada sasaran jangka panjang untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015.
“Untuk layak ke Piala Dunia 2014 memang terlalu berat tetapi kita akan gunakan perlawanan kelayakan ini sebagai pendedahan dan persiapan untuk mempertahankan kejuaraan pada Sukan SEA 2011 dan Piala Suzuki AFF 2012 serta mara ke Piala Asia 2015.
“Mungkin orang kata saya tidak cukup yakin dengan kemampuan pasukan tetapi saya tetap juga berharap kita mampu mencipta kejutan apabila bertemu pasukan handalan pada pusingan kedua nanti,” jelasnya.
Untuk pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014, skuad kebangsaan bakal menentang sama ada Afghanis- tan, Kemboja, Nepal, Bangladesh, Sri Lanka, Vietnam, Mongolia, Pakistan, Palestin, Timor Leste, Macau, Taiwan, Myanmar, Filipina atau Laos.
Bagi pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2014 pula, skuad bawah 22 tahun negara yang menyingkirkan Pakistan pada pusingan pertama berkemungkinan bertemu Korea Selatan, Australia, China, Jepun, Iraq, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Korea Utara, Syria, Lebanon atau Uzbekistan.
Bagi undian Kelayakan Piala Dunia 2014, Subahan yang juga Naib Presi- den Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan hadir untuk mencabut undi.
Seorang lagi Naib Presiden FAM, Datuk Afandi Hamzah selaku pengurus skuad Olimpik kebangsaan bimbingan Ong Kim Swee pula akan mencabut undi untuk Kelayakan Olimpik 2012.




sumber>
kosmo!



Seni fotografi kamera analog



AGAK pelik bunyinya apabila mendengar masih terdapat penggemar fotografi menggunakan kamera analog tatkala dunia digital yang canggih menguasai pasaran dunia fotografi.
Pengendalian kamera analog bukan sahaja melecehkan kerana memerlukan kesabaran dan penelitian daripada penggemar fotografi malah, terpaksa memproses filem terlebih dahulu untuk melihat hasil karya rakaman mereka.
Bagaimanapun, cabaran tersebut yang menjadikan peranti itu begitu unik dan menarik di persada dunia seni fotografi sehingga ia masih diminati ke hari ini.
Salah seorang penggemar kamera analog, Lee Hong Sing, 31, sanggup membuka sebuah kedai kamera, Lokomotiv Checkpoint pada tahun 2010 di bandar Sunway, Selangor bersama rakannya semata-mata kerana minat mendalam terhadap seni fotografi analog.
“Walaupun terdapat banyak kamera digital di pasaran, kamera analog masih lagi diminati dan mempunyai peminat tersendiri di dalam dan luar negara malah, ia sudah menjadi seperti satu komuniti serta budaya terkini.
“Selain daripada meminati peranti ini, saya ingin mengekalkan legasi kamera analog kerana ada juga penggemar fotografi terutamanya mereka yang baru berkecimpung dalam bidang ini tidak pernah melihat kamera analog,” katanya kepada Kosmo!.
Mengimbas kembali gelagat seorang pelanggan muda yang mengunjungi kedainya, Hong Sing memberitahu, apabila melihat kamera analog pemuda tersebut menyangka ia adalah kamera baru.

KIRI: Penggunaan kamera polaroid lebih mudah kerana hasil rakaman dapat dilihat dengan pantaskanan dan KANAN MODEL kamera lomografi Diana F+ yang tampak klasik
Ujarnya, pemuda tersebut berfikiran sedemikian kerana tidak pernah melihat kamera analog yang menggunakan filem sebelum ini.

Senario tersebut telah membuatkan dia lebih bersemangat memberi pendedahan dan mengekalkan kamera analog itu.
Sambil membelek-belek model kamera lomografi Diana F+ yang kelihatan agak klasik dan trendy, dia memberitahu, kamera tersebut merupakan antara kamera analog yang menjadi pilihan penggemar fotografi kedainya.
Kamera lomografi atau Lomo adalah singkatan dari Leningradskoye Optiko Mechanichesckoye Obyedinenie (Penggabungan Mekanisme Optik Leningrad).
Kata Hong Sing, model kamera yang menggunakan negatif filem 120 tersebut menjadi pilihan pengguna kerana ia ringan, mudah dikendalikan dan mempunyai enam pilihan menukar lensa untuk merakam hasil karya mereka.
“Lomografi merupakan nama yang tidak asing dalam dunia fotografi analog kerana telah mengeluarkan beberapa model untuk dijadikan pilihan pengguna.
“Model kamera lomografi bukan sahaja mempunyai reka bentuk menarik tetapi, didatangkan dengan pelbagai warna menceriakan mengikuti trend terkini,” katanya yang meminati peranti tersebut sejak 10 tahun lalu.
Seleksi kamera analog


KAMERA lomografi model Oktomat.
Antara model yang terkenal termasuk Lomo LC-A+, Spinner 360, Oktomat, Horizon Kompakt dan banyak lagi.

Ujar Hong Sing, kelebihan kamera lomografi adalah ia dapat merealisasikan impian pengguna dalam menjelmakan hasil karya seni menarik dan mengujakan penggemar fotografi.
Sebagai contoh, katanya model Spinner 360 dapat merakam imej dalam perspektif baru kerana ia boleh berpusing sehingga 360 darjah.
“Pengguna yang ingin mencari kelainan dalam rakaman mereka model Supersampler adalah jawapannya kerana ia didatangkan bersama empat lensa.
“Ia dapat merakam imej secara jujukan untuk memberi panorama dan dimensi baru dalam imej dirakam pengguna,” ujarnya lagi.
Tambah Hong Sing, pengguna juga boleh memilih pelbagai negatif filem yang memberi efek menarik kepada hasil rakaman imej seperti 35 milimeter (mm) berwarna, 35 mm redscale, 120 hitam putih dan banyak lagi.
“Kita turut menjual pelbagai aksesori kamera analog untuk melengkapkan daya kreativiti pengguna yang ingin mencari kelainan dalam rakaman imej mereka.
“Dengan menggunakan kamera analog, pengguna dapat mempelajari teknik fotografi dan mempunyai keyakinan diri dalam merakam imej mereka kerana perlu teliti serta mempunyai perspektif dalam menghasilkan karya mereka,” ujarnya lagi.
Sementara itu Penyelia Lokomotiv Checkpoint, Kelvin Yap, 33, memberitahu, kedai tersebut turut menjual jenama lain seperti Superheadz, Fuji Film dan banyak lagi.

SEBUAH kamera analog yang klasik dari Rusia.
“Kamera jenama Fuji Film merupakan kamera polaroid yang mudah dikendalikan pengguna.

“Ia dapat memberi pilihan kepada pengguna merakam imej kenangan abadi mereka lebih mudah kerana dapat melihat hasil rakaman dengan pantas,” katanya.
Kelvin menambah, penggunaan kamera polaroid juga secara perlahan-lahan telah berkembang menjadi trend golongan muda hari ini.
Katanya lagi, kebanyakan kamera yang terdapat di kedai tersebut dijual pada harga berpatutan dan mampu dimiliki terutamanya golongan muda.
“Dalam pada itu, kamera analog yang terdapat di Lokomotiv Point didatangkan dari pelbagai negara termasuk Malaysia, Jepun, Hong Kong, Rusia, China dan banyak lagi,” ujarnya.
Ketika sedang rancak bercerita mengenai kamera analog, Kelvin membawa keluar beberapa buah kamera klasik yang didatangkan khas dari Rusia.
Hong Sing memberitahu kamera tersebut turut dijual kepada mereka yang meminati kamera klasik.
Katanya, dia mempunyai seorang rakan di Rusia yang akan membantu mencari kamera klasik tersebut.
“Pada kebiasaannya, saya akan memastikan kamera tersebut boleh beroperasi terlebih dahulu sebelum membelinya kerana pelanggan ingin menggunakannya.
“Kadangkala pelanggan akan membuat tempahan terlebih dahulu dan saya cuba mencari untuk mereka,” katanya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai perancangan masa hadapan, Hong Sing memberitahu, dia akan menjadikan Lokomotiv Point sebagai lokasi penggemar fotografi berkumpul berkongsi pengalaman mereka menggunakan kamera analog.
Ia adalah satu usaha dalam memastikan kamera analog tidak akan terkubur buat selama-lamanya.




sumber>
kosmo!



PUSH