Blog Pendaki Solo


MOHD. NOOR (dua dari kiri) memberi penerangan kepada sekumpulan pelajar mengenai misi rekod dunianya di Menara Kuala Lumpur.
PADA usia 43 tahun, kecergasan fizikalnya mengalahkan kudrat anak muda. Setiap misi yang dilakukan membuahkan kejayaan membanggakan sesiapa sahaja yang mengenalinya.
Kebanyakan masa terluang anak jati Kuala Terengganu itu dihabiskan bagi tujuan latihan mendaki kawasan tinggi secara solo ataupun secara berkumpulan agar ketahanan fizikalnya sentiasa konsisten.
Dengan semangat dan pengalaman pendakian itulah, Mohd. Noor Mat Amin berkongsi kisahnya mendaki gunung, bukit dan bangunan pencakar langit menerusi blog.
Minatnya terhadap dunia blog bermula ketika misi pendakian Gunung Kinabalu pada tahun 2009 kerana dari situ orang ramai dapat mengetahui perkembangannya.
Walaupun sibuk dengan aktiviti lasak sejak berusia 20 tahun, interaksi dengan orang ramai kini, semakin mudah kerana perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi menyebabkan manusia berinteraksi tanpa had.
Melalui laman blog pensolo.blogspot.com, ia pasti menarik perhatian kelompok yang gemar aktiviti lasak terutama pendakian kawasan tinggi yang penuh cabaran.
Bagi Mohd. Noor atau juga lebih dikenali Pendaki Solo, tujuan membangunkan blog itu bukan untuknya mencari keuntungan tetapi sebagai wadah menghebahkan apa sahaja program yang menyihatkan badan.
“Apa yang saya tulis dan kumpulkan di blog ini sebagai dorongan kepada mereka (belia) untuk berfikir serta mencari idea yang berfaedah,” katanya yang berjaya melakukan Pendakian Solo 1Malaysia di Gunung Kinabalu, Sabah sebanyak 111 kali bermula 31 Disember 2009 hingga 20 April 2010.
Selain artikel yang ditulis sendiri, blog yang diwujudkan sejak tiga tahun lalu itu turut memuatkan artikel daripada keratan akhbar mengenai dirinya ketika menyertai sesuatu ekspedisi.
Bukan itu sahaja, pensolo.blogspot.com turut disambungkan kepada laman sesawang miliknya, pendakiSOLO.com serta laman sosial Facebook agar perkongsian maklumat tidak terhad pada satu saluran sahaja.

MOHD. NOOR (barisan belakang sembilan dari kiri) bersama sekumpulan pelajar yang mengikuti beliau mendaki Bukit Broga baru-baru ini.
Tambah Mohd. Noor lagi, pihak yang sering mengikuti perkembangan Pendaki Solo datangnya daripada golongan belia dan profesional.

“Kini ramai anak muda suka mendaki gunung malah ada di antara mereka menjadi sukarelawan saya.
“Menariknya ada di antara mereka dahulu suka merempit dengan motosikal tetapi apabila berpeluang mendaki gunung atau bukit mereka berasa seronok disebabkan pelbagai pendedahan diberikan,” dedahnya.
Sementara itu, blog yang telah dikunjungi pelawat seramai 13,393 itu bakal lebih berinfomatif apabila Mohd. Noor kini sedang mengumpulkan maklumat mengenai gunung-ganang yang terdapat di Malaysia.
Bagaimanapun katanya, ia akan dimasukkan setelah memperoleh kesemua maklumat terperinci dan dibukukan. Ia dijangka diterbitkan beberapa bulan lagi.
Mengulas mengenai projek pendakian terbarunya, Pendaki Solo itu akan mendaki sebanyak 70 kali anak tangga Menara Kuala Lumpur selama 24 jam tanpa henti pada 16 dan 17 Julai ini untuk memecahkan rekod dunia.
Projek itu sebelum ini ditunda daripada April kepada Julai atas faktor yang tidak dapat dielakkan.
Rekod lama dilakukan oleh pendaki Switzerland, Kurt Hess di Menara Esterli Switzerland.
“Mengenai projek terbaru ini, sebenarnya saya perlu buat di menara yang sama di Switzerland tetapi pihak saya memberi keyakinan kepada Guinness World Records bahawa Menara Kuala Lumpur mempunyai cabaran sekali ganda berbanding di sana.
“Ini kerana Menara Esterli membolehkan angin dapat masuk apatah lagi ketinggian menara itu hanya 45 meter manakala di sini saya akan naik turun setinggi 282 meter minimum sebanyak 70 kali,” ujarnya.




sumber>
kosmo!

No comments:

PUSH