Filem gay, babak bogel dan botol


Wan Raja (kiri) sewaktu uji bakat.
Filem ...Dalam Botol (sebenarnya Anu Dalam Botol) adalah kisah hubungan sejenis atau gay. Filem gay bukan baru malah antara filem gay terbaik pernah dihasilkan ialah Philadelphia (1993) arahan Jonathan Demme yang menyingkap mengenai AIDS. Filem ...Dalam Botol cuba “dimurnikan” dengan menggugurkan perkataan “anu” tetapi peliknya ditambah dalamnya dengan babak lelaki bogel. Agaknya kerana ini “seni” jadi ia “tak apa.”


Malah di Hollywood ada filem genre gay dan lesbian. Kerana itu apa yang luar biasanya ...Dalam Botol hingga dihebohkan Library of Congress begitu tertarik dengan filem ini? Adakah ini satu pengiktirafan kepada industri filem tempatan yang sudah berjaya menghasilkan filem gay? Kalau begitu tahniahlah.

Adakah filem ...Dalam Botol hanya mengupas percintaan sejenis dan apakah yang dikupas itu memberikan satu timbal balik moral kepada masyarakat setelah pembikinan “diperhebatkan” dengan adegan bogel salah seorang pelakon utama filem ini? Filem harus murni pembikinannya untuk menyalurkan murni dalam isinya.

Tetapi pengarah ...Dalam Botol, Khir Rahman berulang kali menekankan bahawa filem itu membawa isu berat dan bukan tempat dia melakukan percubaan.

Kisah percintaan sejenis yang berakhir dengan kekesalan dikupas untuk tontonan umum buat pertama kalinya di filem tempatan. Adakah ini satu rekod pencapaian yang boleh dibanggakan? Terpulangkah kepada penonton yang waras sama ada mereka memilih panggung sebagai kelas sivik atau tempat untuk berkongsi pemikiran dengan pembuat filem.

Bagaimanapun filem gay ini disampaikan dalam bentuk sedikit berbeza. Pendekatannya dijangka akan membuatkan penonton terpinga-pinga. Mungkin ada juga yang tidak memahami maksud disampaikan oleh pengarah.

Untuk filem ini, Khir menggunakan sepenuhnya teknik penggambaran cinema verite yang banyak digunakan dalam pembikinan filem dokumentari. Cinema verite adalah merakam dengan menggunakan “handheld”. Dalam filem dokumentari, teknik ini sebagai sudut pandangan pengarah terhadap sesuatu itu kerana gerak kamera seperti mata manusia.

Tetapi alasan Khir menggunakan teknik ini ialah untuk menyamakan keadaan bergoyang dan kabur dengan situasi alam pemikiran watak-watak ketika itu.

Katanya, ini bersesuaian dengan subjek utama penyampaian filem ini yang boleh dikategorikan berat. Sama berat dengan filem arahan Allahyarham Yasmin Ahmad, Muallaf yang pernah ditayangkan sebelum ini.

Antara babak berat ialah semasa Rubidin (Ruby) lakonan Arja Lee yang menatap tanpa jemu botol separuh berbalut di hadapannya.

Sebenarnya, botol menghiasi meja solek Ruby mengandungi alat sulitnya selepas melakukan pembedahan tukar jantina di London.

Botol itu juga adalah bukti cintanya terhadap Ghaus (Wan Raja) yang pernah mengeluarkan ungkapan “kalaulah you perempuan”, sewaktu pasangan kekasih itu bercuti di tepi pantai.

Kesengsaraan dan kekusutan Ghaus sewaktu ditinggalkan selama tiga bulan turut digambarkan dengan baik. Ditinggalkan sang kekasih, menyebabkan seluruh percaturan harian hidupnya terganggu.

Kekecewaan Ruby sewaktu Ghaus tidak dapat menerima imej terbarunya biarpun idea untuk melakukan perubahan itu datang dari kekasihnya.

Khir turut menjangka filem karyanya itu tidak disenangi oleh banyak pihak kerana kurang elemen hiburan di situ, tetapi dia punya alasan kukuh tersendiri berbuat sedemikian.

“Saya memang mencari apa sahaja yang boleh memberi kesan kepada penonton. Kita mahu semua rasakan kesengsaraan seorang lelaki yang hilang kelakian kemudiannya berasa kesal bila ditinggalkan sang kekasih,” kata Khir.

Penguat ...Dalam Botol juga terletak kepada Fauziah Ahmad Daud (Sherry) yang membawa watak ibu kepada Dina (Diana Danielle).






sumber>
utusan





No comments:

PUSH