SETELAH berhempas pulas sehingga minggu yang ke-10, ternyata tuah telah berpihak kepada kumpulan R2 dan Balas serta Man yang menjadi pilihan penonton untuk beraksi di pentas final.
Kini, ketiga-tiganya hanya tinggal selangkah sahaja lagi sebelum berjaya mengikut jejak beberapa pelawak seperti Yus, Nabil, kumpulan Sepah dan Kechik yang pernah bergelar juara sebelum ini.
Peserta yang mendapat undian tertinggi pada minggu lalu, kumpulan Balas mengakui meskipun mereka berada di tangga teratas, tetapi itu masih belum menjamin untuk mereka muncul sebagai pemenang.
Dianggotai dua orang anak muda iaitu Mohammad Shukri Mohamed Sahar dan Fandi Muhammad, kumpulan berkenaan dilihat menjadi pilihan ramai penonton untuk meraih takhta Raja Lawak 5.
Menurut Shukri, rahsia kejayaan mereka adalah keyakinan yang cukup kuat dan mengelakkan daripada perasaan gugup setiap kali beraksi.
"Setiap kali berada di atas pentas, kami telah bertekad untuk melakukan persembahan yang mantap dan memasang impian untuk beraksi di pentas final.
"Setelah impian itu terlaksana, kini kami memang berharap untuk menang. Bagaimanapun, kami juga tidak boleh memperkecilkan kemampuan dua lagi peserta," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagi kumpulan R2 yang dianggotai pasangan adik-beradik, Rahim dan Ridhzuan Mat Ali menyifatkan kejayaan mereka untuk beraksi di pentas final merupakan satu pencapaian terbaik mereka setakat ini.
Menurut Rahim, sebelum ini dia telah menyertai sesi uji bakat untuk rancangan Raja Lawak semenjak dari musim pertama lagi dan hanya berjaya pada percubaan yang kelima.
"Ketika sesi uji bakat pada musim pertama hingga keempat, saya tampil secara individu. Hanya pada musim kelima ini barulah saya berpasangan dengan adik saya.
"Sering kali gagal dalam sesi uji bakat telah menyebabkan semangat saya semakin luntur. Kemudian adik saya mengajak untuk cuba lagi pada musim ini dan bergabung dengannya sehinggalah berjaya ke peringkat akhir," ujarnya.
Menurut Rahim, menyedari kedudukan mereka yang berada di tangga ketiga pada minggu lalu, mereka bertekad untuk berusaha dengan lebih gigih lagi agar hasrat untuk bergelar juara tercapai.
KUMPULAN Balas, R2 dan Man mempunyai impian untuk bergelar juara Raja Lawak 5.Sama seperti Rahim, seorang lagi finalis iaitu Abdul Rahman Kasim atau lebih dikenali dengan panggilan Man turut menyertai sesi uji bakat Raja Lawak sejak dari musim yang pertama.
Menurut peserta yang bertugas sebagai penyelia operasi di pejabat pos Shah Alam sebelum ini, hasratnya untuk menyertai Raja Lawak tidak pernah luntur meskipun selalu gagal dalam sesi uji bakat.
"Pada musim pertama sehingga ketiga, saya tampil sebagai peserta solo ketika uji bakat. Kemudian pada musim keempat, saya cuba berpasangan dengan seorang rakan tetapi tetap tidak berjaya.
"Bagaimanapun, saya menyedari bahawa kekuatan sebenar saya adalah melalui solo dan mencuba lagi pada musim ini dan sudah ditakdirkan menjadi rezeki saya untuk terpilih," ujarnya.
Jelas bapa kepada dua orang cahaya mata itu lagi, dia sangat bertuah kerana penglibatannya dalam rancangan berkenaan turut mendapat sokongan daripada majikannya.
Lucah
Satu hakikat yang ketara dilihat pada setiap minggu, kumpulan Balas adalah antara peserta yang begitu gemar membuat lawak yang ada kalanya mengandungi unsur-unsur lucah.
Jelas Fandi, mereka tidak berniat mahu menarik perhatian penonton dengan cara lawak sebegitu, sebaliknya apa yang disampaikan itu sebenarnya bergantung kepada tafsiran masing-masing dan tidak semestinya berunsur lucah.
"Tidak dinafikan tema muzikal dan bebas untuk saingan final nanti memang agak mencabar buat kami. Namun, idea itu sudah ada dan harus diperkembangkan lagi dalam tempoh masa latihan yang cukup terhad.
"Memandangkan ramai yang memberi respons kurang baik terhadap peserta yang membuat persembahan double meaning, seboleh-bolehnya kami akan cuba elak untuk berbuat demikian," ujarnya.
Bagaimanapun, Fandi menolak dakwaan yang mengatakan kemerosotan undi yang diraih oleh mereka minggu lalu adalah berpunca daripada membuat persembahan yang sebegitu.
Sebaliknya, dia dan pasangannya menganggap persembahan dua lagi finalis pada malam itu semakin baik dan mendapat perhatian penonton serta pujian daripada juri.
"Sebab itu kami perlu berusaha dengan lebih keras lagi sekiranya hasrat untuk menjadi juara terlaksana. Segala ilmu yang telah dipelajari sepanjang menyertai rancangan ini akan dipraktikkan dengan sebaik mungkin," ujarnya.
Menangis
Tentunya ramai penonton yang perasan ketika kumpulan R2 diumumkan layak ke peringkat akhir, Ridzuan dilihat mengalirkan air mata di atas pentas.
Menurut Ridzuan yang begitu menggemari pelawak Harith Iskandar, pada masa itu perasaannya ketika itu bercampur baur iaitu gembira kerana segala usaha mereka selama ini telah membuahkan hasil.
"Pada masa yang sama, saya berasa terlalu sedih kerana kejayaan kami ini tidak dapat dikongsi oleh ibu dan ayah yang telah pun meninggal dunia sejak 10 tahun yang lalu.
"Untuk menyertai Raja Lawak ini juga saya terpaksa membuat pengorbanan yang besar iaitu terpaksa berhenti kerja setelah cuti saya tidak diluluskan oleh pihak majikan," ujarnya.
Sementara itu, untuk persiapan bagi persembahan di gelanggang final malam ini, Rahim menjelaskan mereka berdua banyak menonton persembahan sendiri di minggu yang sebelumnya untuk memperbaiki lagi segala kelemahan yang ada.
"Sewaktu mula-mula menyertai rancangan ini, memang kami berdua langsung tiada pengalaman dan tidak pandai melawak di hadapan orang ramai. Tetapi kami telah diberi latihan yang begitu baik dan tunjuk ajar untuk menjadi pelawak dengan cara yang betul.
"Begitu juga dengan bimbingan dan nasihat yang telah diberikan oleh beberapa orang otai lawak seperti Mr. Os dan Saiful Apek juga banyak membantu kami dalam setiap persembahan yang dilakukan," ujarnya.
Serius
Ketika ditemui beberapa hari sebelum pentas akhir Raja Lawak 5 membuka gelanggang, Man memberitahu segala persiapan yang dilakukannya berjalan dengan lancar.
Menurutnya, kekuatan seseorang peserta yang bersaing dalam rancangan ini bergantung kepada bahan lawak yang dipersembahkan, latihan serta cara penyampaian yang mampu menarik minat penonton.
"Sudah tentu matlamat setiap peserta yang menyertai rancangan Raja Lawak ingin menang. Begitu juga dengan saya dan setelah layak beraksi di pentas final nanti, semangat untuk muncul juara semakin berkobar-kobar.
"Biarpun saya merupakan satu-satunya peserta solo, tetapi saya tidak merasa terlalu tertekan kerana apa yang lebih penting adalah berusaha bersungguh-sungguh dan memberi sepenuh tumpuan ketika membuat persembahan nanti," ujarnya.
Sesuatu yang menarik mengenai peserta yang berasal dari Kuala Lumpur itu, di sebalik lawaknya yang mampu membuat ramai yang ketawa setiap kali menonton persembahannya, tetapi di luar dia bukanlah seorang lelaki yang kelakar.
Ujarnya, sebagai seorang ketua di pejabat, dia sememangnya dikenali sebagai seorang yang berpewatakan serius. Malah, di rumah juga dia kurang membuat lawak kepada isterinya.
"Dengan memiliki wajah sebegini, mungkin ada yang sangka saya seorang individu yang sombong. Tetapi setelah mengenali saya, sebenarnya saya tidaklah seperti yang mereka sangkakan," ujarnya.
sumber>
No comments:
Post a Comment