Oscar tiada kejutan


FILEM The King's Speech menguasai empat Anugerah utama pada majlis Anugerah Academy kali ini.


 DEBARAN dan kehangatan tanda tanya yang bermain di fikiran peminat filem Hollywood mengenai perebutan dalam menjulang Oscar pada majlis Anugerah Academy ke-83 sudah pun terjawab, semalam.
Sama ada tidak berpuas hati atau gembira dengan keputusan yang diumumkan, kemenangan itu tetap menjadi milik karyawan-karyawan hebat yang sudah dinilai oleh juri profesional.
Sebenarnya, teka-teki kemenangan bagi beberapa kategori yang dipertandingkan sudah menjadi sebutan umum sebelum ini. Paling mendapat perhatian peminat ialah dalam kategori filem, pelakon lelaki dan wanita terbaik.
Pertama kali, majlis Anugerah Academy ke-83 yang berlangsung di Hollywood, California kali ini seolah disuntik elemen pembaharuan apabila dimeriahkan dengan jenaka manja daripada dua hosnya yang boleh dikategorikan sebagai pelakon generasi baru Hollywood iaitu Anne Hathaway dan James Franco.
Menepati jangkaan awal, pelakon jelita Natalie Portman diumumkan sebagai aktres terbaik hasil lakonannya menerusi filem Black Swan yang mengisahkan sisi hitam seorang penari balet benar-benar menguji keupayaan Portman.
Sungguhpun begitu, keupayaan Portman, 30, untuk mengukir senyuman manis pada raut wajahnya yang tenang sepanjang berlangsungnya anugerah berprestij akhirnya berbaloi, sementelah dia turut dinobatkan Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Golden Globe ke-68 dan Anugerah Akademi Filem Britain (BAFTA) baru-baru ini menerusi filem yang sama.
Tidak mustahil sekiranya dia berbangga dengan diri sendiri apabila kerjaya lakonannya itu telah meraih pengiktirafan pada Anugerah Academy kali ini memandangkan Oscar merupakan anugerah yang bukan sahaja paling diidamkan oleh karyawan filem Hollywood, namun oleh seluruh karyawan filem di seluruh dunia.
REZEKI berganda. Selepas 30 tahun menghambakan diri sebagai pelakon dan semasa hamil anak sulung, Natalie Portman dinobatkan sebagai Aktres Terbaik.


 "Ini merupakan sesuatu yang luar biasa. Terima kasih kepada seluruh keluarga saya yang memberi peluang aktif dalam bidang lakonan.
"Saya juga menghadiahkan anugerah yang diberikan pada malam ini kepada saingan calon-calon lain. Mereka juga tetap hebat dan sudah tentu saya kagum dengan anda semua," ucap Portman sebaik sahaja menerima trofi Oscar yang disampaikan oleh aktor Jeff Bridges.
Aktres hebat lain yang bersaing dengan Portman ialah Annette Bening (menerusi filem The Kids Are Alright), Nicole Kidman (Rabbit Hole), Jennifer Lawrence (Winter's Bone) dan Michelle Williams (Blue Valentine).
Wajah Portman yang berseri-seri ketika naik ke pentas untuk menjulang trofi kemenangannya itu sebenarnya turut disumbangkan oleh keterujaan dirinya yang bakal bergelar ibu memandangkan dia kini sedang sarat hamil anak sulung hasil perkongsian cinta bersama teman lelakinya, Benjamin Millepied yang merupakan seorang penari.
Paling hebat
Berkongsi tahap kegembiraan pada tahap yang sama sudah tentu aktor British, Colin Firth yang dinobatkan sebagai Aktor Terbaik mengalahkan empat saingan hebatnya iaitu Javier Bardem (untuk filem Biutiful), Jeff Bridges (True Grit), Jesse Eisenberg (The Social Network) dan James Franco (127 Hours).
Aksi Firth menerusi filem The King's Speech terbukti paling hebat kali ini untuk kategori Aktor Terbaik.
"Terima kasih kepada semua kru produksi (filem The King's Speech) Jeoffrey, Helena, David Sydler dan Tom Hooper kerana menjadikan filem ini sebuah karya yang hebat. Dalam pada masa yang sama banyak membantu saya dalam memberi aksi lakonan yang berkesan," ungkapnya di hadapan audiens Anugerah Academy ke-83.


MENANG besar. Tiga penerbit The King's Speech, (dari kiri), Emile Sherman, Gareth Unwin dan Iain Canning begitu terserlah keterujaan mereka dengan kejayaan filem itu merangkul Oscar Anugerah Filem Terbaik.


 Firth setakat ini telah memenangi dua anugerah untuk lakonannya sebagai ayahanda kepada Ratu Elizabeth II termasuk pada BAFTA dan Golden Globe

Lebih mengujakan, tempias lakonan Firth turut terkena pengarah filem tersebut iaitu Tom Hooper yang diumumkan sebagai Pengarah Terbaik. Saingan terhebat Hooper sudah pasti datangnya daripada Fincher menerusi filem The Social Network yang turut mempunyai ramai peminat.
Bagaikan satu rezeki yang tidak pernah putus untuk filem The King's Speech, ia sekali lagi mencatat kemenangan apabila dipilih sebagai Filem Terbaik kali ini.
Kejayaan lalu, filem The King's Speech muncul sebagai Filem Terbaik pada anugerah BAFTA, manakala pelakon utamanya, Firth yang memegang watak raja yang mengalami masalah gagap itu dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik.
Selepas kejayaan gemilangnya memonopoli tujuh anugerah pada BAFTA yang diadakan di Royal Opera House, London itu, The King's Speech 'memonopoli' Academy ke-83 dengan menguasai empat anugerah utama iaitu Filem Terbaik, Aktor Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Asal Terbaik.




SUMBER>
KOSMO!

No comments:

PUSH