Terkejut popular Kehadiran pemuda bersemangat kental ini di dalam arena bola sepak tempatan bukanlah baru. Dia pernah bersama pasukan Kelantan menjulang Piala Malaysia pada 2010, namun itu belum cukup untuk rakyat Malaysia mengenali siapa dirinya. Bekas pelajar Sekolah Sukan Bandar Penawar, Johor dan Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur ini juga pernah beraksi bersama pasukan PKNS (2007) dan Harimau Muda (2008) dalam saingan Liga Premier. Kemudian menyertai Kelantan (2009) dan seterusnya terpilih mewakili pasukan utama negara untuk Kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 yang lalu. Ketika kejohanan inilah nama Khairul Fahmi Che Mat,22, atau lebih mesra dikenali sebagai Apek di kalangan rakan-rakan mula menjadi sebutan. Dia dianggap ‘wira’ apabila membantu pasukan negara menjuarai kejohanan itu. Saat dia berjaya menangkap bola mempertahankan gawang pasukan negara dibolosi tendangan penalti pasukan Indonesia pada aksi perlawanan akhir itu, penulis merasakan dia bakal dijulang, dia pasti dijejaki, dan dia pasti popular. Tepat jangkaan itu, dan hari ini Fahmi tidak dapat lari dari merasai bahang populariti. Tiba-tiba dia dikenali ramai seantero negara. Fahmi kongsi bersama MASKULIN apa yang dirasainya kini.
“ Pada mulanya saya agak terkejut dan masih belum dapat terima dengan suasana baru ini. Jika sebelum saya tidak dikenali dan saya bebas bergerak.Hari ini keadaan itu telah berubah sama sekali. Apabila keluar ke mana saja, ramai yang menegur dan sentiasa pula diperhatikan. Sekarang saya sudah mula membiasakan diri dengan keadaan itu. Keadaan yang dilalui ini sebenarnya sebagai pemberi semangat untuk mengekalkan momentum saya dalam pasukan”. terang Fahmi yang penulis sifatkan seorang peramah.
Bagi Fahmi, walaupun kadang-kala situasi yang dirasainya memberikan sedikit tekanan, tetapi apa yang penting dia akan berusaha dan berlatih lebih kuat untuk mengekalkan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan. Dia tidak mahu mengecewakan harapan peminat-peminat sukan bola sepak negara untuk melihat pasukan kita berada sebaris pasukan tersohor di dunia. Dia juga tidak mahu hanya bersandarkan glamor semata-mata tetapi aksi di padang semakin hambar. “ Ramai yang menyapa saya dari pelbagai peringkat golongan masyarakat dari kanak-kanak, remaja, dewasa, lelaki dan wanita sehinggalah kepada peringkat warga emas. Jadi mereka inilah yang menyokong dan menonton bola sepak tempatan. Alhamdullilah, setakat ini saya masih belum berhadapan dengan peminat-peminat yang terlalu ekstrem. Kalau berjumpa dengan saya, mereka hanya mahu bergambar. Selain itu, saya juga sering berkomunikasi dengan peminat melalui facebook. Ada yang memberikan komen positif dan tidak kurang juga pandangan negatif. Semua itu saya anggap sebagai cabaran bagi meningkatkan prestasi”, terang Fahmi yang merupakan anak ke-4 daripada 5 beradik ini.
Siapa fahmi Sebelum ini? Ramai yang mengenali dan melihat Fahmi kini seadanya. Namun siapakah diri Fahmi sebelum ini? Anak muda ini memang aktif di sekolah dengan pelbagai aktiviti sukan yang disertainya. Namun sukan bola sepak yang paling menyerlahkan bakatnya. Seperti kanak-kanak lain sewaktu kecil, Fahmi juga sering keluar bermain dengan rakan-rakan di padang sehingga lewat petang.
“ Saya bukanlah datang daripada keluarga yang berada. Mak dan ayah mengusahakan kedai makan di Kota Bharu sejak usia saya kecil lagi. Masih saya ingat, ketika mahu ke sekolah sukan dahulu, banyak sekali pengorbanan yang mereka lakukan untuk saya. Merekalah yang banyak memberikan dorongan. Daripada 5 orang adik-beradik, hanya saya seorang sahaja yang aktif dan terlibat secara serius di dalam sukan ini”, ujar Fahmi mengenai latar belakang keluarganya.
sumber>
No comments:
Post a Comment