Buble tak sabar mahu kahwin


BUBLE menawan hati peminatnya pada malam konsert jelajah Asia, Crazy Love World Tour yang diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor minggu lalu.
BIBIRNYA tidak jemu mengukir senyuman. Mungkin perasaan penyanyi berprofil tinggi, Micheal Buble, 35, tidak sabar menanti penerimaan audiens di konsert jejalah Asia, Crazy Love World Tour In Asia yang berakhir di Stadium Melawati Shah Alam, Ahad lalu.
Keterujaan jelas terpancar sewaktu berlangsungnya sidang akhbar di Hotel Ritz Carlton, Buble cukup bijak menyesuaikan diri dengan wartawan.
Sikapnya tidak menyombong bahkan bersedia berkongsi perkembangan terbarunya dengan panjang lebar. Boleh diramalkan bahawa Buble merupakan seorang jejaka atau selebriti yang senang didampingi.
Memulakan bicara bukannya lebih kepada persiapan konsertnya kali ini. Mungkin sikap profesional Buble di dalam industri muzik tidak menyebabkan dirinya berasa gusar untuk mengadakan persembahan.
Sebaliknya, penyanyi kelahiran Kanada itu, tanpa kekok mengumumkan dirinya bakal disatukan dengan tunang tersayang, Luisana Loreley Lopilato de la Torey, 23, pada 2 April ini.
Patutlah, dari awal lagi Buble dilihat cukup gembira dan tidak sabar untuk berkongsi sesuatu dengan peminatnya di sini.
“Sejujurnya saya tidak sabar menanti detik paling bahagia dalam hidup saya. Kami akan meraikannya di dua lokasi berbeza. Majlis pertama akan diadakan di Buenos Aires, Argentina.
“Kemudian di kampung halaman saya di Vancouver, Kanada pada 20 Mei akan datang. Ia mungkin dihadiri oleh 500 tetamu,” katanya yang memilih untuk berbulan madu di Afrika Selatan.
Memilih bakal isteri yang berkerjaya sebagai model dan aktres berasal dari Argentina, merupakan keputusan yang cukup bermakna dalam perjalanan hidupnya.
Ini kerana sebelum ini, Buble mengakui dirinya pernah menjalani rawatan terapi setelah hubungan cinta yang terjalin selama tiga tahun bersama Emily Blunt hancur berkecai.
“Pengalaman lalu amat perit untuk saya hadapi tetapi bila tanya perasaan sekarang, jawapannya sudah tentu saya gembira kerana bakal mengahwini wanita yang mencintai diri saya,” akui Buble bersungguh-sungguh.
Hubungan Buble dan Luisana difahamkan bermula sejak tiga tahun lalu ketika dipertemukan pada konsert penyanyi berkenaan di Buenos Aries.
Rancak memberi jawapan ke atas soalan yang diajukan, Buble turut menyatakan dia menerima sekiranya perkahwinan itu dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat asalkan ia tidak mengganggu kerjaya bakal isterinya.
“Ya memang saya mahukan anak tetapi Luisana masih muda dan perkara itu terlalu awal baginya. Lagipun, dia mempunyai pelbagai perkara yang perlu difikirkan untuk kerjayanya itu.
“Namun, saya tidak kisah kerana ramai di antara krew saya, sering membawa anak mereka di belakang pentas,” luahnya yang merupakan seorang anak kepada nelayan.
Bercerita lanjut serba sedikit mengenai bakal isterinya itu, Buble gelak seketika apabila mengenangkan beberapa peristiwa lucu yang berlaku dalam dirinya.
Disebabkan dirinya tidak begitu terkenal di Amerika Selatan berbanding Luisana, dia didatangi dengan cara agresif oleh seorang peminat bakal isterinya itu.
“Bayangkan ada seorang peminat berusia menolak saya ke tepi. Lalu, dia menghulurkan kamera kepada saya dan menyuruh untuk mengambil gambarnya bersama Luisana.
“Disebabkan kerana dia peminat Luisana, saya ikut arahan lelaki itu,” jelasnya sambil ketawa kecil.
Jeritan audiens
Hujan lebat yang membasahi bumi Shah Alam, Selangor baru-baru ini tidak membantut kehadiran peminat Buble.
Kebanyakan daripada mereka terkejar-kejar untuk memasuki ruang dalam stadium bagi mengelak daripada basah kuyup.
Sekitar pukul 8 malam, tempat duduk masih lagi tidak dipenuhi mungkin penonton ‘tersangkut’ akibat hujan lebat dan jalan raya pastinya sesak.
Pembuka tirai Crazy Love World Tour In Asia disempurnakan oleh penyanyi jazz tanah air, Najwa. Selesai mendendangkan beberapa buah lagu dengan alunan muzik dan suara sungguh gemersik, penonton bagaikan tidak sabar menunggu kemunculan Buble.
Seperti dijangkakan lebih awal, memang benar Buble akan menghiburkan seramai 9,000 penonton yang setia menantinya.
Tepat pukul 9 malam, jeritan sebilangan penonton bagaikan dirasuk apabila Buble tampil dengan memakai sut kelabu.
“Terima kasih kepada semua penonton yang sudi mengeluarkan belanja untuk datang menyaksikan konsert saya. Makanan Malaysia sedap, wanita cantik dan negara cantik,” jerit Buble dengan bersahaja.
Dia menyanyikan 20 buah lagu termasuk beberapa lagu popular antaranya Everything, Georgia, Home dan lagu yang dituju khas kepada Luisana iaitu Haven’t Met You Yet.
Gayanya yang rileks tanpa sebarang rasa gemuruh membuatkan Buble kelihatan sungguh profesional. Apatah lagi, dia juga bijak mengajak penonton supaya tidak terleka dan menikmati setiap persembahannya.
Selingan lawak jenaka tidak pernah sunyi menyebabkan penonton tidak sedar hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi konsert itu akan melabuhkan tirai.
Komitmen yang diberikan Buble dan kesungguhannya jelas terpancar apabila sut yang dipakainya basah. Tetapi dia tidak menghiraukannya.
Sebagai hadiah istimewa kepada seluruh peminat, Buble menguji kekuatan vokalnya dengan mendendangkan lagu Song For You tanpa menggunakan mikrofon untuk lagu terakhir.
Suasana pelosok stadium sunyi seketika kerana penonton tergamam sekali gus menghayati suara lunak penyanyi itu. Dan biar ia bukan konsert pertama, juga barangkali bukan yang terakhir buat Buble di Malaysia, pasti kedatangannya pada masa akan datang kelak akan terus disambut hangat. Semuanya kerana pesona luar biasa yang telah dibiaskan Buble.




sumber>
kosmo!





No comments:

PUSH