Kejutan kematian Knut di Zoo Berlin


KNUT bersama Thomas Doerflein, si penjaga zoo yang membesarkan beruang kutub itu dengan tangannya sendiri. Doerflein walau bagaimanapun telah meninggal dunia pada tahun 2008 akibat sakit jantung.
KNUT, beruang kutub kesayangan rakyat Berlin, Jerman yang terkenal di persada antarabangsa kerana dibesarkan oleh penjaga zoo telah mati secara tiba-tiba pada Sabtu lalu.
Penjaga beruang berkenaan, Heiner Kloes, berkata, Knut ditemui mati di dalam sangkarnya tanpa sebarang tanda dia sedang sakit sebelum itu.
"Ia berkelakuan normal dan dilihat bersama seekor beruang betina sebelum berlalu pergi.
"Selepas itu, Knut berjalan sekitar pagar, memasuki air dan mengalami kekejangan sebelum ia mati," kata Kloes yang memberitahu, satu bedah siasat akan dijalankan pada untuk mengenal pasti punca kematian Knut.
Menurut laporan agensi berita Jerman DAPD, dianggarkan terdapat kira-kira 600 hingga 700 orang pengunjung di sekitar pekarangan kandang beruang kutub berusia empat tahun itu ketika ia mati.
Seorang pengunjung berkata, dia melihat Knut tertiarap di permukaan air tanpa sebarang pergerakan selama 10 minit sebelum penjaga zoo menutup kandang berkenaan.
"Semua orang melontarkan pertanyaan apa yang sedang berlaku, kenapa Knut tidak bergerak?
"Semua penjaga zoo yang berkejar ke kandang Knut diselubungi perasaan sedih. Salah seorang daripada mereka turut berkata Knut seumpama bayi kami," kata Camilla Verde, 30, warga Itali yang menetap di Berlin.
Tatkala berita kematian Knut tersebar meluas di bandar Berlin, lebih ramai peminat beruang kutub berkenaan berkumpul di pekarangan kandangnya untuk meratapi pemergian haiwan kesayangan mereka itu.
Datuk Bandar Berlin, Klaus Wowereit menggambarkan kematian Knut sebagai 'dahsyat'.
"Dia merupakan bintang Zoo Berlin," kata Wowereit.
Populariti beruang kutub berkenaan menarik perhatian global apabila ia ditinggalkan ibunya sejak dilahirkan dalam kurungan pada 5 Disember 2006.
Selepas 15 minggu dilahirkan, anak beruang kutub yang gebu dan berbulu tersebut telah dipertontonkan kepada orang ramai dan secara kasar telah menggandakan pengunjung Zoo berkenaan.
Knut juga pernah menjadi muka depan majalah Vanity Fair pada tahun 2007 bersama pelakon terkenal Leonardo Dicaprio yang dirakam oleh jurugambar terkemuka, Annie Leibovitz.
Knut turut menyumbang kepada pendapatan zoo berkenaan. Terdapat pelbagai barangan cenderamata Knut dijual kepada pengunjung termasuk pos kad, rantai kunci, gula-gula dan banyak lagi.






sumber>
kosmo!





No comments:

PUSH