INILAH keluarga besar Aznil yang tidak pernah jemu menyokong perjuangan seni ahli keluarga kebanggaan mereka.ADA air mata yang tumpah usai konsert sulung miliknya selesai. Namun ia adalah air mata gembira dan terharu yang dikatakan oleh Aznil Nawawi sebagai lambang jutaan terima kasih atas sokongan peminat yang hadir pada malam Konsert Hore! Hore! Aznil Nawawi, Sabtu lalu.
“Saya tahu saya bukan penyanyi, tapi Alhamdulillah, ramai peminat yang datang menyokong. Itu yang buat saya sangat terharu,” katanya sambil mengesat air mata.
Sementelah katanya lagi, konsert malam itu memang tidak sempurna. Masalah teknikal seperti bunyi dan mengaku vokalnya juga tidak menyerlah, namun apa yang membanggakannya, peminat tetap setia, tidak seinci berganjak hanya untuk memberi sokongan kepadanya.
Sokongan padu tersebut telah membuat dia terfikir jika mempunyai peluang, dia tidak menolak konsert yang diadakan di Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur anjuran RYE Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Astro itu dibawa jelajah negara bagi mendekati lebih ramai peminatnya.
“Insya-Allah jika ada kepercayaan dan permintaan daripada peminat, mungkin saya boleh melakukan konsert jelajah. Hanya, ia akan menjadi konsert jelajah berbayar, bukan percuma. Sebagai seorang hos yang membuat konsert, saya tidak mahu mengajar orang menonton konsert percuma kerana ia akan menutup periuk nasi barisan penyanyi kita,” katanya bersungguh-sungguh.
Namun yang lebih bermakna pada malam konsert berdurasi lebih dua jam itu adalah tanpa sedar, Aznil sekali lagi telah mencipta rekod tersendiri apabila dia berjaya mengumpulkan seisi keluarga untuk berkumpul bersama-sama memberi sokongan kepadanya.
Ia jelas dapat dilihat apabila kebanyakan penonton yang hadir, datang bersama keluarga besar termasuk anak-anak kecil.
Aznil sendiri buat julung kalinya mendedahkan keluarga besarnya kepada umum pada malam tersebut. Menurut Aznil sengaja dia membawa seisi keluarga kecuali ibunya kerana sedang uzur, hadir ke konsert tersebut.
BIJAK. Aznil bersama anaknya, Firdaus yang lincah bermain tabla mengiringinya untuk lagu Cari Jodoh daripada kumpulan Wali Band.Katanya: “Ia sebagai tanda terima kasih saya kepada keluarga yang selama ini tidak pernah jemu menyokong saya walaupun ada masa mereka terpaksa menanggung malu kerana berita-berita negatif tentang saya.”
Lebih daripada itu, dalam konsert yang sama, Aznil masih sempat berbuat amal apabila bersama grup ciptaannya, Hero Malaya, mereka berjaya mengumpul lebih RM40,000 untuk diberikan kepada seorang kanak-kanak kurang bernasib baik yang menghidap penyakit jantung kronik.
Dalam konsert yang sama, Aznil juga sebenarnya telah berjaya mengatasi ketakutan apabila mencabar diri sendiri menjadi penyanyi, sedangkan dia tahu itu bukan kepakarannya.
Persembahan dibagikan dalam beberapa segmen termasuk segmen khas buat penghibur sanjungannya, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad yang menyaksikan Aznil mendendangkan lagu-lagu seperti Hujan, Apa Khabar Orang Kampung, Aku Penganggur dan Salam Terakhir.
Menariknya, pada segmen tersebut, Aznil tampil dengan pelbagai kostum termasuk baju bendera Malaysia seperti yang pernah digayakan oleh Sudirman dalam konsert yang dilakukannya dulu.
Selain segmen tersebut, Aznil turut berduet dengan rakan-rakan artis seperti Ana Raffali, Azlan and The Typewriter serta Zahid.
Malah lebih mengejutkan dirinya sendiri, dia mampu memegang haiwan yang paling ditakutinya selama ini iaitu ular.
Justeru, apabila Konsert Hore! Hore! Aznil Nawawi usai pada malam itu, ia sebenarnya membawa sarat makna sekadar hanya ingin menghiburkan peminat setianya. Sebaliknya, konsert tersebut telah menjadi medan ukhuwah keluarga.
No comments:
Post a Comment