Bara jiwa 3 jejaka ! HAWT !



Ada kekuatan tersendiri antara Bront, Remy dan Syamsul dalam dunia seni

KESEIMBANGAN antara populariti dan kualiti bakat tiga jejaka ini usah lagi dipertikaikan.


Remy Ishak, Bront Palarae dan Syamsul Yusof adalah tiga jejaka yang pernah merangkul anugerah berprestij, berkat kesungguhan usaha masing-masing sekali gus membuktikan produk keluaran mereka berkualiti.

Kemunculan dalam arena seni bukan saja diiktiraf industri menerusi majlis penganugerahan, malah turut disanjungi masyarakat selepas menjadi antara yang popular dalam senarai pendek Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010).

Justeru, pertemuan ketiga-tiga jejaka yang masih solo ini secara tidak langsung mengeratkan antara pelakon hebat itu dan pengarah berkaliber yang sukar mempunyai masa untuk bersama.

Remy dan Bront adalah sahabat baik, manakala Syamsul dan Remy pula rakan yang pernah terbabit sama di dalam sebuah filem. Syamsul pernah menawarkan Bront dalam filem arahannya, namun kesempatan dan nasib itu tidak pernah memihak kepadanya.

Masa yang terluang pada sesi fotografi ini digunakan sebaik mungkin oleh ketiga-tiganya dengan bertanya khabar dan perkembangan kerjaya masing-masing. 
Antara Bront dan Syamsul, mereka dilihat seperti masih ada batasan pergaulan mereka pada mulanya. Ternyata kedua-duanya cuba untuk mendapatkan keserasian. Berbeza Bront dan Remy yang berkawan rapat sejak tiga tahun lalu. Hubungan mereka bermula menerusi Anak Halal arahan Osman Ali. 

Menurut Bront, biarpun masih gugup, namun disebabkan Remy, dia bersetuju untuk memenuhi permintaan sesi fotografi ini. 

“Walaupun sudah tujuh tahun dalam bidang lakonan, tapi saya masih gementar setiap kali media nak buat sesi fotografi, begitu juga setiap kali saya memasuki mana-mana set penggambaran. Pelawaan Berita Harian untuk mengadakan sesi fotografi ini pun disebabkan Remy turut bersama. Dan menggandingkan kami bersama Syamsul,” katanya.

Bercakap mengenai lakonan, Bront mengagumi serlahan mutu persembahan Remy yang begitu ketara selepas tiga tahun tidak bergandingan bersama.

“Selepas Anak Halal, kami tidak pernah lagi digandingkan sehinggalah baru-baru ini ditemukan semula untuk filem Bara Jiwa. Kali ini saya melihat satu perubahan drastik dari segi mutu lakon Remy yang semakin matang.

“Saya bangga dengan peningkatan mutu lakonannya yang sangat drastik dan dia adalah pelakon baru yang berjaya mempertaruhkan bakat dan populariti pada masa yang sama,” katanya. 

Bagaimanapun, Bront agak kecewa kerana terpaksa menolak dua tawaran berlakon daripada Syamsul kerana terikat dengan komitmen lain.

“Dua tawaran dari Syamsul itu, kebetulan tidak kena dengan jadual saya yang memang sudah terikat dengan projek lain. Bagaimanapun saya masih lagi mengharapkan sekiranya tawaran itu datang sekali lagi pada bila-bila masa kerana saya teringin berlakon di bawah pengarah muda yang begitu komited dengan kerjanya.

“Dia adalah pembuat filem yang sangat serius di dalam kerjanya dan tidak hairanlah mutu kerjanya begitu baik sekali,” katanya.

Bront bersahaja, Remy menyerlah

BAGI Syamsul pula, bekerja dengan Remy lebih menyerlahkan lagi profesionalnya dalam bidang pengarahan.

“Saya pernah bekerja dengan Remy dalam filem Evolusi KL Drift 2. Ketika itu saya melihat dia bukan kerana popularitinya di sebabkan drama Nur Kasih tetapi ada sesuatu yang saya lihat di mana dia mampu pergi lebih jauh dalam bidang seni.

“Dia pelakon serius dalam bidangnya, pelakon yang banyak mengambil berat dalam segala aspek dan sering bertanya kepada saya apa yang saya. Bagi saya cara itu sangat baik untuk sama-sama kita bertukar-tukar pandangan dalam membikin filem yang terbaik. 

“Jika pelakon itu tidak suka bertanya, ia menjadi masalah pula kepada saya,” katanya.

Mengenai Bront, Syamsul menjelaskan memang satu kesilapan kerana mengajukan tawaran kepada pelakon itu pada saat akhir. “Memang nak dia berlakon dalam filem saya, tetapi tak dapat sebab tawaran dibuat pada saat akhir. Saya tak salahkan Bront tetapi ini kesilapan saya juga,” jelas Syamsul.

Menurut Syamsul, Bront dilihat bukan saja menyerlah menerusi filem yang mengangkat namanya dalam filem Belukar dan V3, tetapi bakatnya itu mula dilihat sejak awal pembabitannya di dalam industri perfileman ini.

“Saya mengenali Bront hanya menerusi filem lakonannya saja seperti Castello, Bilut, Lang Buana, Man Laksa dan banyak lagi. Semua filem yang dilakonkannya memang kita perasaan kerana biarpun wataknya sikit tetapi penonton masih perasan kelibatnya.

“Suatu masa nanti, Insya-Allah saya akan pastikan Bront dan Remy dapat memenuhi tawaran saya untuk berlakon bersama filem arahan saya,” katanya yang kini masih ghairah mempelbagaikan genre karyanya.

Tahun ini, Syamsul bakal mengeluarkan beberapa filem dari genre yang berlainan seperti KL Gangster yang akan ditayangkan pada Jun, Aku Bukan Tomboy dan Bohsia; Jalan Kembali yang baru saja menamatkan penggambaran Februari lalu.

Kagumi keberanian Syamsul

SEMENTARA itu, Remy turut mengagumi keberanian dan kesungguhan Syamsul yang berjaya menempatkan namanya di dalam industri filem dalam usia muda khususnya sebagai pelakon dan pengarah filem.

“Sebelum ini saya pernah menyaksikan filem arahannya Evolusi KL Drift dan sangat mengagumi kebolehannya, namun saya tidak mengenalinya sangat, namun selepas ditawarkan untuk Evolusi KL Drift 2, saya lebih mengenali jiwa seninya yang mengharapkan sesuatu yang sangat besar.

“Memang dia sentiasa menyimpan impian sangat tinggi dalam melahirkan sesuatu produk filem. Dia begitu komited dengan kerjanya, beruntungnya juga dia diberikan kepercayaan oleh bapanya untuk mengarahkan apa saja genre filem dan dia tidak mempersia-siakan peluang yang sudah ada di hadapan mata. 

“Saya cukup berbangga dengan hasil kerjanya kini yang berani mencuba pelbagai genre filem dan tidak hanya menumpukan pada filem genre aksi saja dan tidak hairanlah dia kini sedang dalam proses mempelbagaikan genre filemnya.” katanya yang berbangga dengan filem bergenre seram arahan pertama Syamsul berjudul Khurafat mencapai kutipan lebih RM8 juta.

Dalam masa yang sama menurut Remy, biarpun sudah lama tidak digandingkan dengan sahabatnya Bront dalam satu filem, namun sahabat ini kerap berjumpa dan melepak bersama.

“Bront adalah kawan karib saya sejak mengenalinya menerusi filem Anak Halal, sejak itu kami sentiasa berhubung dan melepak bersama. Biasanya kami akan melepak dan minum di kedai mamak sekitar Bangsar.

“Apa yang membuatkan saya mudah mengenalinya adalah kerana kami dalam bidang yang sama selain pengalamannya selama ini tidak lokek dikongsi. Kami sering berbincang mengenai dunia lakonan, Bront cukup banyak memberi saya inspirasi dan motivasi yang lebih membakar semangat saya untuk melakukan kerjaya lakonan ini dengan gigih lagi,” katanya.

Info
Bront, Syamsul dan Remy masing-masing dicalonkan dalam kategori Pelakon Filem Lelaki Popular di ABPBH2010. Turut berada dalam kategori ini ialah Shahiezy Sam dan Aaron Aziz. 

INFO: Bront Palarae
Nama Sebenar: Nasrul Suhaimin Saifuddin
Tarikh Lahir: 27 September 1978 
Umur: 32 tahun
Asal: Alor Setar, Kedah.
Kerjaya: Pelakon, Penulis Skrip, pengarah dan penerbit.
Pencapaian: Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23
Filem: Lang Buana, Man Laksa, Castelo, Bilut, Tipah Tertipu, Dukun, 1957: Hati Malaya, Anak Halal, Akhirat, Kala Malam Bulan Mengambang, Setam, Remp-it V3, Belukar.
Filem yang Bakal Keluar: Hanyut, Ombak Rindu, Kongsi, Sekali Lagi, Bunga Lalang, Bara Jiwa dan dua filem antarabangsa Quattro Hong Kong 2 (China) dan Liberating Soul (Jepun).

INFO: Remy Ishak
Nama Sebenar: Mohammad Zalimei Ishak 
Tarikh Lahir: 11 April 1982
Umur: 29 tahun
Asal: Masjid Tanah, Melaka
Bangsa : Melayu 
Filem: Anak Halal, Hooperz, Evolusi KL Drift 2, Duhai Si Pari-pari, Nur Kasih The Movie dan Cun.
Drama: Nur Kasih, Arjuna
Teater: Natrah
Adik Beradik: Anak Kedua daripada empat beradik
Tajaan Pakaian Remy Ishak: Armani Exchange (Baju) dan Banana Republic (Seluar).

INFO: Syamsul
Nama Sebenar: Mohd Syamsul Datuk Yusof Haslam 
Tarikh Lahir: 21 Mei 1984 
Usia: 26 tahun 
Asal: Kuala Lumpur 
Kerjaya: Pelakon, Pengarah & Penyanyi
Pencapaian: Pengarah Filem Terbaik, Penyunting Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-23 & Lakon Layar Filem Terbaik, Anugerah Skrin 2010.
Filem Khurafat, Evolusi KL Drift 2, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift, Gila-Gila Pengantin Popular. 
Arahan Filem: KL Gangster, Aku Bukan Tomboy, Khurafat, Evolusi KL Drift 2, Bohsia; Jangan Pilih Jalan Hitam, Evolusi KL Drift. 


sumber>






No comments:

PUSH