Siti 'tiru'J.Lo dan Beyonce


SITI mendapatkan khidmat komposer daripada Australia untuk menggubah lagu dalam album Inggeris sulungnya.
TIDAK pernah sunyi dengan agenda terkini, perjalanan seni penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza selalu mengujakan peminatnya.
Bahkan, peminat figura berpengaruh ini bagaikan tidak senang duduk sekiranya tidak mengetahui perkembangan terbaru wanita itu terutama soal kerjaya.
Begitu juga dengan empunya diri yang sentiasa memikirkan buah tangan istimewa untuk ditampilkan. Arena seni hiburan Siti patut dipuji dan dijadikan contoh kerana dia merupakan selebriti yang bukannya berskala mendatar.
Jika dinilai, Siti tidak sesekali ralit dengan kejayaan yang dibolosnya sebelum ini. Bagaimanapun, dengan peribadi yang merendah diri, Siti tidak putus mencuba sesuatu pembaharuan untuk melebarkan sayap kerjayanya.
Seronok untuk berkongsi perkembangan seninya, Siti memberitahu, dia kini dalam proses menyiapkan sebuah album Inggeris.
Masih menganggap terlalu awal untuk diumumkan tetapi disebabkan terlalu gembira kerana sudah lama mengidamkan album Inggeris, Siti tidak keberatan untuk berkongsi serba sedikit.
“Tajuknya masih belum ditentukan lagi. Tapi Siti sudah menyiapkan rakaman untuk enam lagu dan tinggal empat lagu yang belum dirakam. Rakaman telah dimulakan sejak hujung Januari lalu dan dijangka siap sepenuhnya pertengahan tahun ini,” katanya sambil tersenyum manis.
Tuah penyanyi yang mempunyai suara emas itu, dia telah menarik minat komposer dari Australia iaitu Bryan dan artis pop terkenal, Christian Alexander untuk berkolaborasi sebagai tenaga penting dalam memberi tunjuk ajar.
Akui Siti, tidak dinafikan terdapat beberapa kesukaran ketika proses rakaman dijalankan terutama sebutan setiap patah perkataan lirik lagu yang disediakan.
“Bila bekerja dengan orang luar, cara yang mereka tekankan ialah sebutan kerana ada beberapa perkataan perlu sebut dengan loghat mereka. Tetapi disebabkan Bryan dan Christian ada di sini sepanjang proses rakaman, mereka akan betulkan cara sebutan Siti,” ceritanya yang memilih genre moden pop untuk album itu.
Rancak bersembang, album yang diterbitkan oleh Wassup Entertainment merupakan projek istimewa syarikat rakaman milik Adib iaitu anak suaminya, Datuk Khalid Mohamed Jiwa (Datuk K).
Selain itu, posisi kreatif Christian turut ditampilkan apabila terdapat lagu yang menonjolkan gabungan tenaga kedua-dua penyanyi itu.
“Siti turut berduet dengan Christian manakala sebuah lagi lagu, Christian akan rapping untuk Siti,” ungkapnya yang menyifatkan lagu-lagu yang dimuatkan mempunyai persamaan seperti penyanyi terkenal iaitu Beyonce Knowles dan Jennifer Lopez yang juga dikenali sebagai J.Lo.
Nostalgia Siti
Menantikan detik bulan depan yang sinonim dengan Minggu Setiausaha, Siti sekali lagi diberi penghormatan oleh Hotel Quality, Kuala Lumpur untuk menghiburkan audiens di Matrade Exhibition & Convention Center, Jalan Duta pada 5 April ini.
Disebabkan tahun ini merupakan kali ketujuh bersama hotel terbabit, mereka memilih tema Nostalgia Datuk Siti Nurhaliza.
Janji Siti kali ini ialah, ingin menghadiahkan tetamu dengan alunan lagu popularnya bermula daripada album pertama sehingga terkini.
“Tapi bukan bermakna Siti akan menyanyikan kesemua lagu lama. Namun, bagi menambahkan sedikit kemeriahan, kelainan yang akan dilakukan dengan penukaran susunan muzik yang baru,” katanya.
Teruja dengan jemputan Hotel Quality, Siti seronok apabila tetamu yang hadir sering kali memberi reaksi membanggakan sehinggakan sukar untuk menamatkan persembahan selama 45 minit.
“Biasanya persembahan sebelum ini akan meleret sehingga satu jam. Siti tidak berkira tetapi bila tengok audiens seronok dan terhibur dengan spontan Siti akan tambah lagu,” jelasnya yang bakal diiringi komposer terkenal, Aubrey Suwito.






sumber>
KOSMO!







No comments:

PUSH