i HEART cupcakes



Berulit dengan krim, tepung cetus rasa positif

MEMBUAT dan menghias kek cawan bagaikan fenomena pada ketika ini. Tidak kira orang dewasa atau kanak-kanak akan teruja apabila melihat kek cawan yang dihiasi dengan ising pelbagai bentuk, corak dan penuh warna-warni.
Ada bentuk bunga, buah-buahan, karektor kartun dan macam-macam lagi mengikut cita rasa si pembuatnya. Malah, dek kerana terlalu cantik hiasan pada kek cawan itu, hingga ada ada kalanya sayang untuk dimakan sebaliknya satu atau dua kek itu disimpan saja sebagai koleksi perhiasan.

Yang menariknya, kek cawan itu berupaya membuatkan pencinta kek terutama mereka yang mengadun, menghias dan memasak rasa seronok dan bersemangat apabila melihat hasilnya begitu cantik dan comel.

Bagi suri rumah tentunya mempunyai rutin tersendiri mengenai memasak makanan bagi dijadikan hidangan juadah seisi keluarga, tetapi sejauh manakah memasak atau membakar kek seperti kek cawan boleh menimbulkan keriangan kepada anda yang bergelar wanita?

Bagi Zurilawati Ku Zaifah, beliau tidak pernah berasa bosan untuk ‘bertapa’ di dapur sendiri kerana baginya, dapur adalah ruang yang sangat bermakna selain mencetus pelbagai idea yang mendorong beliau menjadi lebih bersemangat.

“Saya tidak pernah terfikir jemu dengan dapur sendiri, bahkan dapur adalah lokasi terbaik untuk saya berborak bersama rakan yang berkunjung atau ketika bersama keluarga di rumah. Kalau mereka tidak berada di dapur, saya leka di dapur kerana menyediakan kek cawan. 
“Usai menyediakan kek cawan, hiasan juga menyeronokkan dan inilah cara untuk saya mengelakkan daripada membuang masa. Kepada anda yang berasa buntu menempuh hari, cuba bermain dengan hiasan, tentu hidup menjadi lebih bermakna,” katanya ketika ditemui di kediaman beliau di Subang Jaya, baru-baru ini.

Zurilawati yang juga pemilik blog sayasukacupcake.blogspot.com bersama beberapa rakan kerap menyempurnakan masa lapang mereka sama ada hujung minggu atau pada hari bekerja dengan perbincangan mengenai kek, biskut dan pelbagai jenis makanan lain termasuklah bagaimana memperbaiki mutu pembuatan resipi berkenaan.

“Ada antara kami yang bekerja dan suri rumah sepenuh masa. Jadi dalam usaha mencari selingan atau mempelbagaikan rutin kami di dapur, saya mula membakar kek dan menyediakan perhiasan ising yang menarik.

“Diakui tugasan ini membuatkan kami ralit mencuba bakat sebagai penghias kek selain seronok mencuba kreativiti mencantikkan kek cawan yang kecil dan comel. Kalau ikutkan hati memang rumit, tetapi teruja kerana kami boleh saling memberi ilham antara satu sama lain,” katanya sambil disahut setuju dari empat lagi rakannya berkongsi minat sama.

Anita Jamal, Nor Asilah Osman, Zeti Zarina Salehuddin dan Zarina Abdullah bersetuju dengan Zurilawati mengenai perkumpulan kecil mengenai kek cawan dan bertukar serta mencipta resipi membuka minda mereka mengenai pemakanan sihat serta bersih untuk keluarga.

Bagi mereka, melalui perbincangan setiap kali pertemuan menemukan mereka dengan pelbagai resolusi mengenai bagaimana menjadikan kek sedap dan enak, kenapa menu yang dimasak tidak cukup naik atau bagaimana menyediakan resipi sihat untuk keluarga, lebih-lebih lagi kesemuanya mempunyai anak yang perlu dijaga akan pengambilan makanan mereka.

“Kami beruntung kenal antara satu sama lain kerana semuanya minat dan menjadikan memasak untuk keluarga sebagai rutin wajib.

“Justeru, selain menyediakan lauk pauk untuk hidangan keluarga, kami menjurus kepada menyediakan kek dan saya pada mulanya teruja dengan Anita yang banyak memuat turun gambar kek serta fondan hasil kerja beliau. Tak sangka saya juga melakukannya kini,” katanya.

Bagi Zarina, menjadi suri rumah sepenuh masa adalah saat dan ketika yang menggembirakan kerana beliau berpeluang melihat anak membesar depan mata selain berupaya memenuhi keperluan anak perempuannya yang juga gemar mencuba makanan baru disediakan ibunya.

“Saya gemar menyediakan kek lapis dan kek cawan juga adalah satu daripada minat saya. Apabila mengetahui Zurilawati menyediakan kelas untuk menghias kek cawan, saya terpanggil menyertainya kerana gemar membuat dan menghias kek.

“Begitupun, faedah yang saya dapat berganda-ganda. Saya bukan saya berpeluang memenuhi masa lapang, tapi mendapat ilmu membuat kek serta paling utama membina rangkaian dengan rakan yang sama minat,” katanya.

Berbeza dengan Zarina, Norasilah yang berkerja di syarikat komunikasi terkemuka memilih memasak untuk membekalkan makanan sihat untuk tiga anaknya selain memasak untuk hidangan mereka sekeluarga.

“Tidak sangka pula dengan memasak, khususnya menyediakan kek cawan ini mendorong kepada pertemuan kami atas dasar melakukan disiplin yang sama iaitu penyediaan kek cawan.

“Saya pada mulanya menghadiri kelas belajar membuat hiasan kek cawan dan lama kelamaan mula minat menyediakannya sendiri di rumah. Tambahan pula, dua anak perempuan saya memang gemar membantu di dapur,” katanya.

Bahkan, kerana minat juga, Zeti Zarina yang bertugas di awan biru sentiasa menggunakan masa lapang ketika tidak bertugas dengan menghadiri perjumpaan memasak atau menyertai kelas membuat kek dikendalikan Zurilawati.

“Kalau berkesempatan, tidak rugi untuk saya meluangkan masa mempelajari seni membuat kek daripada Zurilawati kerana beliau banyak mengendalikan kelas memasak.

“Bagi saya, perjumpaan begini amat bermanfaat kerana kami dapat bertukar idea untuk mengemaskinikan pengetahuan kami mengenai pembuatan kek dan segala yang berkaitan dengan urusan membakar kek,” katanya.

Anita yang dianggap sifu di kalangan mereka berlima memang handal menyediakan hiasan daripada gula ising dan hasil kerja tangannya disukai ramai kerana indah dan sempurna untuk dijadikan hiasan di meja makan.

Beliau yang membuat bunga ising bertujuan mengisi masa lapang memang menjadi idola kepada penggemar serta peminat kek cawan kerana bunga gula Anita memang cantik dan mengujakan.

Justeru, siapa sangka daripada berkumpul mengisi masa, berbincang mengenai bagaimana cara mendapatkan kek yang terbaik, perjumpaan berkenaan akhirnya menjadikan mereka bintang serta tauke di dapur sendiri kerana masing-masing ada menerima tempahan kek daripada rakan dan handai taulan. 


cupcakes blog > sayasukacupcake.blogspot.com


sumber>




No comments:

PUSH