Mahukan watak utama dalam The Bodyguard



LOS ANGELES: Penyanyi Rihanna dan Beyonce Knowles dilaporkan bersaing untuk memegang peranan utama dalam pembikinan semula filem The Bodyguard yang pernah disiarkan pada 1992. 

Warner Bros dilaporkan turut menyenarai pendek Taylor Swift, 21, dan Miley Cyrus, 18 untuk melakonkan watak Rachel Marron, lapor dailystar.co.uk.
Filem asal itu menceritakan mengenai aktres dan juga penyanyi Rachel Marron terpaksa meningkatkan keselamatan dirinya apabila sering menjadi sasaran peminat fanatiknya. Whitney Houston memainkan watak Rachel dalam filem asal sebelum ini, manakala Kevin Costner membawakan watak Frank Farmer, seorang bekas ejen khidmat rahsia yang diupah untuk melindungi beliau.

Warner Bros baru-baru ini mendedahkan bahawa mereka merancang untuk melakukan pembikinan semula filem yang pernah mendapat kutipan pecah panggung berkenaan dan dilaporkan mencari seorang pop star muda yang boleh menarik penonton untuk memegang watak utama terbabit. 

Difahamkan Rihanna dan Beyonce kedua-dua mempunyai tarikan bagi filem itu. 
“Beyonce sudah meletakkan dirinya sebagai seorang aktres jadi beliau mungkin menjadi calon pilihan untuk watak ini sekarang tetapi bergantung sekiranya mereka mahukan seseorang yang lebih muda seperti Rihanna,” kata satu sumber. 

Beyonce, 29, pernah muncul dalam beberapa filem termasuk Dreamgirls, Cadillac Records dan Obsessed. Rihanna, 23, bakal muncul dalam layar perak tahun depan, memegang watak sebagai pegawai senjata Raikes dalam filem aksi terbaru Battleship. 
Taylor Swift dan Miley Cyrus antara yang disenarai pendek. Manakala Ryan Reynolds menjadi pilihan untuk membawakan watak Frank Farmer yang dilakonkan Costner. 

Dalam filem terbaru ini ia akan menyaksikan watak wanita utama diganggu oleh seorang peminat melampau melalui satu laman rangkaian sosial manakala pengawal peribadi yang diupah adalah seorang veteran perang Iraq. – Agensi 


sumber>



No comments:

PUSH