Bersediakah Malaysia guna kuasa nukleaar?


Masalah loji nuklear Fukushima mengingatkan dunia mengenai insiden yang berlaku di beberapa lokasi sebelum ini iaitu di Amerika Syarikat dan Rusia.
NUKLEAR? Bersediakah Malaysia menggunakan tenaga ini daripada segi keupayaan, kepakaran dan mentaliti.
Dengan insiden gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun dan masalah pada loji nuklear Fukushima, banyak desakan yang cenderung supaya cadangan pembinaan loji nuklear di negara ini dikaji semula.
Setakat yang diketahui, cadangan tersebut merupakan langkah bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.
Malaysia sepatutnya telah lama menjadikan tenaga nuklear sebagai sumber alternatif dalam penjanaan elektrik memandangkan sumber tenaga minyaknya dijangka menyusut.
Selain itu, sumber tenaga lain seperti gas asli juga menunjukkan penurunan bekalan bermula 2018.
Oleh itu, pergantungan Malaysia terhadap lima sumber utama negara pada masa ini iaitu minyak, kuasa hidro, gas asli, arang batu dan beberapa sumber tenaga boleh diperbaharui, perlu dinilai semula.
Namun berdasarkan cadangan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air tidak berapa lama dulu bahawa loji tenaga nuklear pertama memulakan operasi pada 2021, ia akan menjadi titik tolak kepada masa depan industri bekalan tenaga.
Laporan itu juga menyebut, kementerian terbabit diberi kebenaran untuk mula mengenal pasti tapak yang sesuai untuk loji berkenaan
Bagaimanakah agaknya teknologi yang akan digunakan?
Perlu diingatkan bahawa loji nuklear Fukushima I yang heboh diperkatakan ketika ini ditauliahkan pada 1970-an iaitu empat dekad yang lepas.
Ini bermakna, loji tersebut yang merupakan hasil teknologi Amerika Syarikat diperkenalkan seawal-awalnya dua dekad sebelum ditauliahkan.
Ketika ini, teknologi sudah melangkau jauh daripada itu dan mengambil kira kesan gempa dan tsunami.
Dua lagi negara yang mempunyai teknologi nuklear ialah Perancis dengan penggunaan tenaga nuklear mencecah 75 peratus yang belum diuji dengan kesan gempa serta Korea (30 peratus) manakala Jepun juga 30 peratus.
Isunya sekarang ialah sejauh mana kita bersedia kerana ketika ini, Malaysia hanya mempunyai lebih kurang 40 orang berkelulusan ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang nuklear, sebaliknya di Korea mempunyai lebih 600 pemilik PhD dalam bidang tersebut,
Perlu juga diingat bahawa proses untuk membangunkan satu loji tenaga nuklear memakan masa antara 10 dan 15 tahun dan ada pendapat supaya pembinaan reaktor nuklear berskala kecil sesuai untuk didirikan di negara ini seperti dilaksanakan di Jepun.
Dalam pada itu, menurut seorang pakar teknologi nuklear tempatan, Prof. Datuk Dr. Sukiman Sarmani, prospek penggunaan tenaga nuklear adalah positif dan merupakan pilihan terbaik untuk menjana elektrik bagi menjamin sekuriti bekalan tenaga mencukupi bagi negara menuju ke era negara berpendapatan tinggi.
Malah beliau berharap supaya insiden di Jepun itu tidak dijadikan faktor supaya cadangan pembinaan loji nuklear di negara ini dikaji semula.
"Tidak ada sebab cadangan pembinaan nuklear perlu dikaji semula berdasarkan kepada kemajuan teknologi yang sedia ada,'' ujarnya ketika di temui baru-baru ini.
Katanya, ketika ini Malaysia menggunakan 90 peratus sumber tenaga fosil manakala 10 peratus daripada hidro elektrik.
Gas, minyak dan arang batu sepatutnya memberi pilihan kepada nuklear untuk menghasilkan elektrik.
Kerajaan, katanya, perlu merancang daripada sekarang kerana pembinaan reaktor nuklear untuk tenaga memakan masa yang lama dan harga minyak yang selalunya dikaitkan dengan krisis tenaga sukar diramal.
Pada masa sama, kos untuk membina reaktor nuklear mencecah RM6 bilion (AS$2 bilion) bagi kekuatan 1,000 megawatt dan untuk jangka panjang. Bagi Malaysia kapasiti dua megawatt sudah mencukupi.
"Pada ketika ini, dua stesen janakuasa nuklear sudah mencukupi di negara kita," ujarnya.
Malaysia kata beliau, boleh mengambil model Korea yang telah menggunakan nuklear untuk penjanaan tenaga elektrik sejak 1970-an.
Mengapa nuklear menjadi semakin penting? Menurut Sukiman, tenaga nuklear begitu penting sebagai pilihan kerana ia tidak membebaskan gas karbon dioksida dan selamat.
"Kita tidak guna (tenaga nuklear) ketika ini kerana kerana simpanan minyak kita masih banyak.
"Pada masa sama, tenaga nuklear dikatakan mahal," katanya.
Berlaku krisis minyak 1973. Ketika itu Kementerian Tenaga, Teknologi dan Penyelidikan (ketika itu) diarah mencari sumber tenaga baru yang bukan berasaskan fosil.
Kementerian terbabit merancang pembinaan loji pada 1975 melibatkan dua loji di tiga tempat yang dicadangkan iaitu Johor, Selangor dan Perak berkapasiti 1,800 MW dan dijadualkan siap pada 1980.
Cadangan juga dibangkitkan untuk membina loji kuasa 5,000 MW untuk dibekalkan ke seluruh Semenanjung Malaysia sehingga 50 peratus.
Pada masa sama, krisis politik di beberapa negara termasuk di rantau ASEAN, juga menjadi faktor penangguhan pembinaan loji janakuasa nuklear yang mana ketika itu selain tercetusnya bantahan anti nuklear bangkit di rantau berkenaan serta Eropah.
Malaysia juga menemui rizab gas yang dijangka bertahan sehingga 60 tahun di Terengganu menyebabkan perancangan membangunkan sumber tenaga berasaskan nuklear ditangguhkan.
Lembaga Letrik Negara (LLN) ketika itu terpaksa menyemak semula strategi sumber tenaga.
Oleh itu, langkah awal perlu digerakkan sekarang termasuk kemungkinan menjadikan nuklear sebagai tenaga alternatif pada masa akan datang.
Ini termasuk kajian awal yang memerlukan kos antara RM20 dan RM30 juta termasuk pembangunan sumber tenaga.
Malaysia mungkin boleh memohon bantuan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk menghasilkan kerangka perancangan (blueprint) termasuk kajian sumber manusia melibatkan keperluan sumber tenaga daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terutama dari fakulti kejuruteraan.
"Sekurang-kurangnya 80 peratus memerlukan kepakaran daripada kejuruteraan mekanikal, elektrik, elektronik dan bahan," katanya.
Beliau berkata, teknologi pembinaan loji nuklear kini bukan sahaja semakin canggih dan lebih selamat malah ia agak berbeza berbanding loji sedia ada.
Ini termasuk menara penyejuk menggunakan air tidak lagi kelihatan kerana teknologi terbaru hanya menggunakan air laut sebagai penyejuk.
Oleh itu kebanyakan loji nuklear kini dibangunkan berhampiran laut.




sumber>
utusan



No comments:

PUSH