Safee terus mencipta nama sebagai pemusnah


SAFEE (kanan) terus mempamerkan sengatnya sebagai peledak berbisa sejak menyertai Pelita Jaya 5 Mac lalu.
PENYERANG kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali terus menampilkan aksi cemerlang apabila meledak satu gol ketika membantu Pelita Jaya mengikat Persela 1-1 pada aksi Liga Super Indonesia (ISL) kelmarin.
Pada aksi di Stadium Lamongan, Surajaya, Jawa Timur itu, Pelita Jaya terpaksa beraksi 10 pemain setelah Juan Ramirez dilayangkan kad merah kerana menyiku pemain lawan seawal minit ke-27.
Namun ia tidak menghalang Safee untuk merembat masuk gol pendahuluan Pelita Jaya pada minit ke-50 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Gustavo Fabian Lopez pada minit ke-71.
Perlawanan kelmarin merupakan aksi keenam Safee bersama Pelita Jaya sejak 5 Mac lalu dan apa yang menariknya, penyerang berusia 27 tahun itu sudah pun mengumpul sebanyak lima gol peribadi.
Biarpun hanya beraksi sebaik tirai saingan pusingan kedua ISL bermula, Safee semakin hampir menjengah masuk dalam senarai 10 penjaring terbanyak ISL yang kini dikuasai Boaz Salossa dari Persipura dengan 20 gol.
Ia diikuti Edward Wilson (Semen Padang) dengan 14 gol, Kenji Adachihara (Bontang) 11 gol, Marcio da Silva (Deltras) 10 gol, Bambang Pamungkas (Persija) 9 gol, Cristiano Figueiredo (Deltras), Foday Boakay Eddy (Persiwa) dan Julio Venegas (Persisam) dengan 8 gol manakala Herman Dzumafo Epandi (PSPS) dan Keith Gumbs (Sriwijaya) 7 gol.
Selepas menduduki tangga tercorot daripada 15 pasukan pada permulaan pusingan kedua ISL, Pelita Jaya kini sudah naik ke tangga ke-13 dengan 20 mata, tambahan 10 mata sejak kehadiran Safee.
Aksi Safee bersama Pelita Jaya seterusnya selepas ini ialah bertemu pasukan di tangga ke-11, Deltras di gelanggang lawan malam esok.




sumber>
kosmo!




No comments:

PUSH