Cubaan pecah 5 rekod dunia



JIKA semuanya berjalan lancar, penerokaan laut dalam melalui idea Richard Branson akan memecahkan 30 rekod dunia Guinness sekali gus, termasuk lima daripadanya penyelaman paling ekstrem dalam sejarah.


Dalam cubaan memecah rekod terkininya, Branson bercadang mengemudi sendiri kapal selam mini itu untuk meneroka satu daripada dasar laut paling dalam di dunia.


Projek penuh mencabar itu adalah sebahagian daripada misi bersama Branson dengan pelaut Amerika Syarikat mencari destinasi tidak pernah dijejaki mana-mana manusia sebelum ini.

Kapal selam mini Virgin Oceanic meneroka setiap dasar paling dalam di lima lautan
 AZAM BESAR... Branson bersama Virgin Oceanic yang akan digunakan untuk misi ke dasar laut.
Tidak cukup dengan itu, mereka bercadang meneroka setiap dasar paling dalam di lima lautan - semuanya menggunakan kapal selam mini Virgin Oceanic.

Mengumumkan projek itu di California baru-baru ini, ahli perniagaan Britain itu berkata, dia tidak sabar untuk belajar lebih banyak mengenai ‘jantung biru bumi.’ Mengikut perancangan, katanya, dia akan mengemudi Virgin Oceanic bergilir-gilir dengan pelaut AS, Chris Welsh, dalam lima misi berasingan sepanjang tempoh dua tahun.

“Misi pertama adalah penerokaan ke dasar paling dalam dan dijalankan di barat Lautan Pasifik akhir tahun ini,” katanya.


Perjalanan itu memang bukan sesuatu yang mudah.

Ketika menyelam ke dasar laut, Branson dan Welsh akan menghabiskan masa sehingga 12 jam dalam kegelapan dan kesejukan di kokpit Virgin Oceanic.


Kapal selam mini itu memang dibina untuk menghadapi tekanan melampau yang wujud secara semula jadi lebih 11 kilometer di bawah permukaan laut.

Kadar tekanan itu 1,500 kali ganda lebih tinggi berbanding situasi di atas kapal terbang.

Kapal selam sepanjang 2.4 meter itu dibina dengan bahan gentian karbon dan titanium, serta dilengkapi dengan kokpit dan sayap pendek.

Ia boleh menyelam selama 24 jam tanpa memerlukan sebarang bantuan.

Kata Branson, selepas ruang angkasa berjaya diteroka manusia sejak lama dulu, diikuti penerbangan komersial ke kawasan itu, cabaran terkini adalah berada di tempat paling dasar laut di Bumi.

“Ada banyak lautan yang belum diteroka.

“Setakat ini, lebih ramai manusia pergi ke angkasa berbanding bawah air sejauh lebih 6 kilometer,” katanya.

Kata Branson, Welsh akan bertindak sebagai ketua jurumudi untuk misi pertama.

Dalam misi itu, Virgin Oceanic akan menyelam menuju Jurang Mariana di Lautan Pasifik yang berada 11,033 meter di bawah permukaan laut.

Bertindak sebagai jurumudi sokongan dalam misi pertama, Branson dijangka mengambil alih tugas utama dalam kapal selam mini itu ketika mereka meneroka Jurang Puerto Rico di Lautan Atlantik (sedalam 8,605 meter).

Ia adalah jurang yang tidak pernah dijejaki sesiapa pun sebelum ini.

Kata Branson, bahaya paling besar dihadapi nanti jika mereka tersangkut pada pukat atau bangkai kapal.

“Di dalam sana, anda seolah-olah sesat di dalam kegelapan bulan dan tiada sesiapa akan menyelamatkan anda,” katanya.

Branson, 60, memang terkenal dengan nalurinya yang gemar mengembara dalam cabaran melampau.

Antara cubaan pernah dilakukannya, mengelilingi dunia dengan belon udara panas.

Setakat ini hanya dua orang pernah menyelam lebih daripada 6,000 meter di dalam laut sejak 1960.

Kata Branson, misinya itu adalah cubaan solo pertama pernah dilakukan manusia.

Disebabkan kebanyakan hidupan di dasar laut itu belum dikenali, Branson akan menjadi manusia pertama melihat keajaiban itu dengan mata sendiri.

“Ia adalah satu daripada penerokaan paling hebat dan kami serius mencuba mengatasi batasan yang ada,” katanya.

Projek Virgin Oceanic itu pada asalnya diilhamkan bekas rakan kongsi Branson, Steve Fossett, yang terbunuh dalam kemalangan misteri kapal terbang di California pada 2007.

Justeru, kata Branson, misi yang bakal dijalankannya itu sangat bermakna.

“Penghormatan dan memori ke atas Fossett yang mendorong kami menyelam,” katanya.


sumber>
hmetro






No comments:

PUSH