PNJ FC 'A' ungguli Futsal Kota Tinggi


MOHD. RADIF (berdiri, tengah) bergambar bersama para pemenang Kejohanan Futsal Terbuka Kota Tinggi 2011 di Kota Tinggi, Johor kelmarin.
PNJ FC 'A' ternyata unggul apabila muncul juara kategori lelaki Kejohanan Futsal Terbuka Kota Tinggi 2011 di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor kelmarin.
Dalam aksi final, aksi penuh dramatik ditunjukkan kedua-dua pasukan sehingga kemenangan terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti.
Bagaimanapun, tuah nyata menyebelahi PNJ FC 'A' yang berjaya menumpaskan Citra Melati 'A' 3-2 setelah kedua- dua pasukan terikat seri 1-1 sehingga wisel penamat.
Kemenangan tersebut membolehkan PNJ FC 'A' membawa pulang hadiah bernilai RM1,000, piala dan medal manakala Citra Melati 'A' menerima hadiah wang tunai RM600 berserta medal.
Tempat ketiga kategori lelaki dimenangi Blood Sedili FC yang menewaskan Danis FC dengan jaringan 3-1 untuk masing-masing menerima RM400 dan RM200 serta medal.
Hadiah disampaikan oleh Naib Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Kota Tinggi, Mohd. Radif Kosni.
Dalam pada itu, PU3 Johor Bahru memenangi kategori wanita selepas menundukkan Sedili Gurlz pada final, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM400, piala serta medal.
Berada di tempat kedua membolehkan Sedili Girl membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM200 beserta medal.
Tempat ketiga pula dikongsi bersama PSNM (Panasonic Malaysia) dan FRIEND dan kedua-dua pasukan membawa pulang hadiah wang tunai RM100 dan medal.
Hadiah bagi kategori wanita itu disampaikan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tenggara merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Adham Baba.
Pertandingan anjuran Majlis Sukan Daerah dan Persatuan Bola Sepak Kota Tinggi bersempena tahun melawat Kota Tinggi 2011 itu menyaksikan 57 pasukan termasuk enam pasukan wanita mengambil bahagian.
Kejohanan itu yang dijalankan secara liga pada peringkat kumpulan sebelum kalah mati pada pusingan kedua, ditaja Pergerakan Puteri UMNO Bandar Petri Jaya dan Restoran Baser Kota Tinggi.




sumber>
kosmo!

No comments:

PUSH