Sensasi Justin Bieber


JUSTIN menjadi kegilaan gadis di seluruh dunia sehingga ada yang sanggup menyerahkan tubuh.
APA lagi agaknya yang tidak didedahkan tentang seorang anak muda bernama Justin Bieber. Kisahnya bertali arus dan terlalu besar untuk seseorang yang baru menjengah usia 17 tahun.
Bukan hanya kisah peribadi tetapi kehidupan sehariannya sudah seperti sebuah diari umum untuk ditatapi umum. Gaya potongan rambut baru sahaja menjadi berita di seluruh pelosok dunia, apatah lagi cerita yang terpacul dari bibir Justin.
Pengikut di laman sosialnya melebihi angka 8.5 juta orang bahkan dia dinamakan pencuri hati dan pembawa wabak seni baru.
Justin Drew Bieber dalam rangka konsertnya akan membawa kegilaan kepada ‘Belieber’ Malaysia pada 21 April ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
WANITA-WANITA JUSTIN
Hangat digosipkan dengan penyanyi Selena Gomez, ‘pasangan’ ini dicemburui ramai malah Selena sasaran peminat fanatik Justin.
Dalam satu temu ramah, Justin mengaku bahawa Selena merupakan seorang gadis yang comel.
“Saya rasa Selena Gomez cantik. Dia comel, benar-benar comel,” ujar Justin.
Bagaimanapun kata Selena, dia selalu memisahkan antara urusan peribadi, keluarga dan bisnes kerana kadangkala ia semua tidak berjalan lancar.
“Saya belum memikirkan soal kolaborasi bersama Justin. Kita tunggu dan lihat sahaja,” terang Selena, 18, tentang kemungkinan dia berduet dengan Justin.
Dikaitkan dengan ramai wanita termasuk pelakon Kim Kardashian, wanita yang paling penting dalam hidup Justin adalah Pattie Mallette iaitu ibunya sendiri.
Dalam sebuah konsert di O2 Arena, Berlin, Jerman, Justin sempat membuat kejutan dengan menjemput ibunya naik ke pentas sebelum menghadiahkan sebiji kek hari lahir di hadapan ribuan penonton.
Sayangnya, ketika ibunya meniup lilin, beberapa helai rambutnya terbakar. Justin kemudian menjadi hero dengan membantu memadamkan api tersebut. Sebagai tanda meminta maaf, dia berkata: “Mama, I'll always be your baby.”
HARGA STAIL RAMBUT
Helaian rambut Justin memang punya harga. Buktinya sewaktu dia muncul dengan gaya potongan rambut baru, perkara itu menjadi topik hangat di Internet.
Tidak hanya itu, beberapa helai rambut Justin yang diserahkan kepada pengacara Ellen DeGeneras berjaya dilelong di laman eBay.
Rambut Justin dijual pada harga £25,000 (RM123,600). Khabarnya rambut tersebut dibeli oleh pihak Kasino Golden Palace.
Pihak Golden Palace dikatakan bersedia menyewakan helaian rambut Justin untuk diarak ke beberapa tempat.
Malah, menurut laman Splash News, rambut penyanyi kegilaan ramai itu disimpan di dalam kotak kaca yang diletakkan bersama tandatangan Justin. Lokasi pertama kunjungan rambut Justin adalah acara Lucky Strike Lanes di Miami, Florida.
DAWAI DAN PLASTER
Dua perkara yang digemari Justin dan mungkin menjadi ikutan ramai ialah dawai pendakap gigi dan plaster.
“Saya suka memakai plaster di jari-jari saya. Saya tidak faham mengapa tetapi gemar memakainya,” ucap Justin.
Penyanyi sensasi ini turut memakai pendakap gigi lutsinar sejak setahun lalu.
“Gigi saya sakit dan dulu agak menjulur ke dalam, jadi pendakap ini akan mendorong gigi saya keluar,” katanya yang mahu menyempurnakan dirinya.
SAYANGKAN HAIWAN
Terlibat dalam kempen PETA (People for Ethical Treatment of Animal), anak muda ini sememangnya menyayangi haiwan. Malah dia turut mengaku akan berasa sedih apabila melihat haiwan di jalanan dan tersesat tanpa mempunyai tuan. Atas kesedaran itu, Justin menyeru para peminatnya untuk mengambil haiwan terbiar sebagai anak angkat dan tidak haiwan peliharaan di kedai haiwan.
Justin kini terlibat dalam kempen pencarian rumah kepada haiwan-haiwan terlantar dan sudah pun mengadopsi seekor anjing yang diberi nama Sam.
“Saya dan keluarga pindah ke kota dan saya tidak mengenali sesiapa pun. Sewaktu saya berjalan-jalan, saya menemui teman dan Sam adalah kawan yang saya maksudkan,” ujar Justin yang sering dibawa oleh ayahnya berkunjung ke tempat pemeliharaan haiwan.
Buat Justin, memelihara haiwan terbiar adalah sesuatu yang penting. Malah penyanyi ini menyarankan agar khalayak sering melawat tempat pemeliharaan haiwan atau ke tempat di mana haiwan yang ditinggalkan atau tidak memiliki rumah senang ditemui.
PEMINAT HADIAH DARA
Demam terhadap karakter Justin Bieber membuatkan dia mencapai satu tahap di mana remaja itu sudah tidak boleh mengadakan konsert tanpa kerusi. Ini gara-gara para peminat yang suka bertolakan dan akan cedera kerana insiden-insiden ‘bahaya’ tersebut.
Tidak mahu para pencintanya cedera atau sakit namun dia sendiri tidak faham kenapa situasi ‘kegilaan’ itu boleh terjadi terhadap dirinya. Itu belum lagi kerelaan gadis-gadis ini bercita-cita menghadiahkan dara masing-masing khas untuk Justin.
“Saya benar-benar tidak tahu kenapa mereka bersikap seperti itu. Terus terang saya tidak memikirkan hal tersebut. Untuk saya, kenapa perlu mempertanyakan sesuatu hal kalau keadaan berjalan begitu baik. Para peminat itu begitu mencintai saya,” jelasnya tentang soal kecintaan.
Namun di sebalik itu, ada satu kebencian dalam diri Justin. “Saya benci paparazi. Mereka adalah pengintai yang membawa kamera. Jika seseorang mengekori kita, itu seperti ada tanda-tanda kejahatan, tapi kalau mereka bawa kamera bersama? Saya sama sekali tidak setuju dengan mereka,” luah si kecil yang sudah membiasakan diri dengan situasi diintai di mana sahaja.
MAHU JADI ADIWIRA
Penyanyi kelahiran Kanada ini baru sahaja muncul dengan filem bertajuk Never Say Never yang banyak mengubah persepsi terhadapnya.
Filem arahan Jon Chu itu digarap dalam bentuk dokumentari konsert dan mengetengahkan rakaman persembahan penyanyi ini sewaktu menjayakan siri konsert 2010, My World Tour. Visual perjalanan karier Justin dari titik awal hingga kini dipaparkan bagi menyampaikan mesej bahawa penyanyi ini bukan sekadar bertandang dalam dunia hiburan tetapi dia membawa serta dengan bakat semula jadinya.
Selain Justin, filem selama 103 minit yang bakal ditayangkan mulai Khamis ini turut menampilkan beberapa nama penyanyi papan atas seperti Usher, Miley Cyrus dan Jaden Smith.
“Ceritanya sangat menarik dan memiliki hubungan dekat dengan dunia siber sekarang. Justin mampu melakukan apa yang seharusnya dilakukan sebuah perusahaan ketika dia bermain-main dengan YouTube,” terang Jon Chu.
Dalam masa yang sama, Justin juga pernah menyatakan hasratnya untuk tampil sebagai seorang adiwira dalam sebuah filem.
“Saya mahu mencuba sebuah filem yang digarap berdasarkan komik. Umum menyatakan saya adalah ikon budaya pop tetapi saya mahu menjadi adiwira,” ujar Justin yang gemarkan karakter Captain America.
“Karakter tersebut mengingatkan saya kepada walau pun saya kecil dan muda, saya telah memberi banyak pengaruh kepada khalayak dan harus menjadi idola. Sepertinya melihat diri sendiri yang kerdil dalam cermin tetapi di luar sana, mereka melihat satu figura yang ‘besar’ yang perlu menjadi hero,” terangnya lagi.




sumber>
kosmo!



No comments:

PUSH