DEMAM Justin Bieber kini melanda negara apabila penyanyi berusia 16 tahun itu bakal singgah di Malaysia bagi menjayakan siri konsert jelajah dunianya pada 21 April ini.
Sebelum ke konsertnya itu, apa kata menonton filem berkaitan biografi dirinya di pawagam berdekatan anda. Lebih menarik, persembahan Bieber di Madison Square Garden pada tahun lalu itu dapat ditonton dalam bentuk tiga dimensi (3D).
Namun. sejarah juga bakal dilakar oleh filem Scream 4 yang bakal menemui peminat filem genre pembunuhan bersiri tanah air. Tiga filem sekuel terdahulu atau trilogi Scream iaitu Scream (1996), Scream 2 (1997) dan Scream 3 (2000) tidak pernah ditayangkan di pawagam tanah air.
Kisah pembunuhan kejam pembunuh ‘gila tapi genius’ yang bertopeng hantu itu bakal membuatkan anda kecut perut daripada terus kekal berada di kerusi panggung. Bersedialah dengan pelbagai kejutan yang mengerikan.
Bagi peminat filem seram Melayu, jangan ketinggalan menonton filem, Senjakala arahan Ahmad Idham yang membariskan bintang muda, Liyana Jasmay, Zahiril Adzim dan Faezah Elai.
Peminat filem cinta Hollywood pula bakal disajikan dengan filem bergenre drama iaitu Love and Other Drugs. lakonan Jake Gyllenhaal dan Anne Hathaway.
Justeru, nantikan kesudahan kesemua filem ini yang bakal memberikan kejutan buat anda.
Senjakala
Bahasa: Bahasa Melayu
Genre: Seram
Tarikh Tayangan: 14 April 2011
Pelakon: Liyana Jasmay, Zahiril Adzim, Faezah Elai, Aida Aris, Ruminah Sidek, Eizlan Yusof, Kamal Adli dan Zed Zaidi
Pengarah: Ahmad Idham
SELEPAS kematian tragis tunangnya dalam satu kemalangan jalan raya, Karlisa lakonan Liyana Jasmay saban malam diganggu dengan mimpi misteri yang memanggilnya supaya pulang ke kampung ibunya. Lantas, Karlisa dan rakan baiknya, Isabella (Faezah Elai) membuat keputusan untuk pergi ke Kampung Senja Lama.
Di kampung itu dia berkenalan dengan Arman (Zahiril Adzim), seorang lelaki kampung yang penuh misteri. Karlisa menyelami sejarah keluarganya daripada lelaki itu. Dari situ dia mula mengetahui bahawa ibunya pernah melarikan diri dari kampung itu untuk menjauhkan dirinya daripada saka warisan neneknya. Saka itu sedang dijaga oleh Arman dan ia pernah menyerang bapa Karlisa sebelum ini ketika ibunya enggan menerimanya.
Karlisa memberontak untuk menyelami misteri saka keluarganya itu. Adakah Karlisa bersedia menerima saka itu setelah mengetahui sejarah keluarganya? Ataupun Arman akan terus membela saka tersebut?
Justin Bieber: Never Say Never (3D)
Bahasa: Inggeris
Klasifikasi: Umum
Genre: 3D/Muzikal/Biografi
Durasi: 1 jam 43 minit
Tarikh Tayangan: 14 April 2011
Pelakon: Justin Bieber, Jaden Smith, Miley Cyrus
Pengarah: Jon Chu
FILEM ini berbeza berbanding filem-filem lain di pawagam. Ia sarat dengan realiti dan kisah hidup seorang bintang remaja yang menjadi fenomena di seluruh dunia, Justin Bieber. Dia menjadi kegilaan kanak-kanak perempuan hingga wanita-wanita dewasa.
Filem ini merupakan inspirasi kisah benar dalam hidup penyanyi kelahiran Kanada itu. Bermula daripada menjadi seorang pemuzik kanak-kanak jalanan di pekan Stratford, Ontario hinggalah dia menjadi fenomena di Internet. Ia memaparkan kajayaan penyanyi berusia 16 tahun itu dalam mencapai impiannya membuat persembahan besar di Madison Square Garden. Ikuti kisah konsert jelajah Bieber pada tahun lalu tersebut dalam paparan 3D.
Love and Other Drugs
Bahasa: Inggeris
Genre: Drama
Tarikh Tayangan: 14 April 2011
Pelakon: Jake Gyllenhaal, Anne Hathaway, Hank Azaria dan Judy Greer
Pengarah: Edward Zwick
MAGGIE lakonan Anne Hathway merupakan seorang wanita yang berfikiran bebas. Dia tidak mahukan sebarang ikatan terutamanya dalam percintaan dan lebih mempercayai kebahagiaan dengan kebebasan. Namun, seteleh bertemu dengan Jamie (Jake Gyllenhaal) iaitu seorang lelaki yang terlibat dalam bidang farmasi, hatinya mula terbuka untuk menerima lelaki.
Lelaki itu istimewa dan perasaan cintanya tertaut tanpa menyedarinya. Sebenarnya tanpa disedari, mereka sebenarnya sedang berada di bawah pengaruh ‘dadah’ hebat iaitu cinta.
Scream 4
Bahasa: inggeris
Genre: Seram
Durasi: 1 jam 43 minit
Tarikh Tayangan: 15 April 2011
Pelakon: Neve Campbell, Courtney Cox, David Arquette, Emma Roberts, Hayden Panettiere, Anna Paquin, Kristen Bell
Pengarah: Wes Craven
TEMPOH 11 tahun yang ditunggu-tunggu oleh peminat filem Scream 3 untuk mengetahui sambungan kisah seram itu akhirnya terjawab apabila muncul sekuelnya berjudul Scream 4.
Mengekalkan tiga pelakon utama trilogi Scream iaitu Neve Campbell, Courteney Cox dan David Arquette, Scream 4 cuba menyuntik elemen yang segar dan terkini dengan menampilkan watak-watak baru lakonan barisan pelakon remaja popular masa kini termasuk Hayden Panettiere, Emma Roberts, Anna Paquin dan Kristen Bell.
Plot berkisar mengenai Sidney Prescott (Neve Campbell) yang kembali ke bandar kelahirannya di Woodsboro untuk mempromosi buku tulisannya. Ketika itu juga berlangsung acara ulang tahun ke-15 bagi memperingati pembunuhan bersiri di bandar itu yang membabitkan Sydney dan rakan-rakannya. Di situ, dia kembali bertemu dengan dua individu yang turut terbabit dalam pengalaman ngeri tersebut iaitu Sherif Dewey Riley (David Arquette) dan wartawan selebriti, Gale Weathers (Courtney Cox). Namun, pembunuh bersiri bertopeng hantu yang sering menghantui Sydney itu kini kembali dan menjadikan sepupu Sydney, Jill Roberts (Emma Roberts) dan rakan baiknya, Kirby Reed (Hayden Panettiere) serta rakan-rakan mereka yang lain sebagai sasaran terbarunya. Pembunuh misteri itu seolah-olah tidak mahu melepaskan remaja di kolej tempat Prescott pernah belajar itu. Siapakah dalang di sebalik topeng hantu itu pada kali ini? Adakah Scream 4 akan memberi kejutan seperti trilogi Scream sebelum ini?
sumber>
kosmo!
sumber>
kosmo!
No comments:
Post a Comment