SMARTBIRD dari Festo merupakan burung robotik pertama mampu berlepas, terbang dan mendarat dengan sendiri.KAPAL terbang atau helikopter yang dikawal alat kawalan jauh sememangnya permainan yang digemari masa kini, bagaimanapun sudah tentu akan lebih menarik jika kita dapat mengendalikan burung robotik yang mampu terbang.
Festo, sebuah syarikat teknologi automasi baru-baru ini memperkenalkan SmartBird atau burung robotik pintar yang mampu berlepas, terbang dan mendarat sendiri dengan meniru aksi seperti yang dilakukan burung biasa.
SmartBird yang berbentuk seperti burung camar itu mempunyai sayap diperbuat daripada bahan khas yang ringan. Ia mampu meniru bagaimana pergerakan sayap dan kepala burung sebenar ketika terbang.
Burung robotik itu menggunakan model penerbangan aerodinamik dan teknologi bionik yang membolehkan ia bergerak secara automatik ketika proses berlepas, terbang dan mendarat.
Sayap SmartBird ini bukan sahaja mampu mengepak ke atas dan bawah tetapi juga boleh berpusing pada sesetengah sudut. Tindakan tersebut boleh dilakukan menggunakan pemacu kilasan pintar aktif yang dihubungkan kepada sistem kawalan kompleks seperti yang digunakan dalam operasi penerbangan.
Kejayaan ciptaan ini sememangnya sesuatu yang membanggakan kerana antara impian paling lama manusia ialah untuk terbang seperti burung dan mampu bergerak ke sana ke mari dengan hanya menggunakan tenaga dan otot-otot di sayap mereka.
Leonardo da Vinci misalnya merupakan antara saintis terawal di dunia pernah membina model sayap untuk terbang pada 1940 yang meniru konsep bagaimana burung terbang. Pada 1889 pula, Otto Lilienthal menerbitkan buku "Burung terbang sebagai asas penerbangan: Sumbangan ke arah sistem penerbangan."
Usaha mencipta mesin yang mampu terbang seperti burung biasa terus berkembang dan sehingga 2011, jurutera di Festo Bionic Learning Network berjaya mencipta model penerbangan yang mampu berlepas, mengepak sayap dan meluncur di udara dan kemudiannya mendarat sendiri tanpa sebarang bantuan alat tambahan.
Kesemua pergerakan dilakukan dengan motor kecil yang dihubungkan kepada sayap dan ia mampu mengepakkan sayap ke atas dan bawah, selain membentuk sudut tertentu untuk membolehkan ia meluncur ke atas atau bawah.
pergerakan
Bateri, enjin dan alat transmisi untuk mengawal pergerakan burung ini diletakkan di dalam badan burung dan kepala burung juga mempunyai sensor untuk mengesan kelajuan angin, halangan di hadapan dan memantau pergerakan sayap.
Seperti pesawat biasa, ekor burung itu pula berfungsi untuk menolak burung ke atas atau ke bawah serta juga pergerakan ke kiri dan kanan.
Sementara itu, terdapat satu lagi robot burung yang terdapat di pasaran tetapi ia perlu dikawal melalui alat kawalan jauh.
Burung permainan dikenali sebagai RC Flying Robotic Bird Cyberbird itu boleh digunakan selama 18 minit menggunakan bateri litium boleh dicaj semula.
Ia juga mampu terbang seperti burung biasa iaitu dengan mengepakkan sayapnya. ke atas dan bawah dengan pengguna boleh mengawal kelajuan burung ini terbang, arah penerbangan dan ketinggiannya.
Seperti SmartBird, burung mainan Cyberbird ini juga mempunyai dua motor servo untuk mengawal sayapnya Pengguna boleh mengawal pergerakan burung itu dengan mengubah-ubah kedudukan ekor dan juga sayapnya.
Keistimewaan burung ini ialah ia juga boleh meluncur di udara jika pengguna menghentikan sayapnya daripada bergerak apabila berada tinggi di udara.
Cybird mempunyai komponen-komponen yang memerlukan pengguna memasang sendiri ekor, badan dan sayapnya yang dihubungkan dengan wayar dan dijana oleh bateri.
Saiz burung ini adalah bersamaan dengan burung merpati dan mempunyai panjang sayap 76.2 sentimeter.
sumber>
No comments:
Post a Comment