Makin intim selesa



MAGIS sebuah persembahan mampu membuat khalayak terpedaya, lantas percaya ada perasaan indah yang sedang mengalir dalam diri pasangan pemain utamanya.

Melakonkan ‘cinta’ mereka dalam dua musim pementasan Natrah, keintiman antara Maya Karin dan Remy Ishak kembali bertaut dalam filem romantik komedi arahan Osman Ali, berjudul Cun yang akan menemui penonton mulai 31 Mac ini.



Dua nama itu menyusur seiring kontroversi, meledakkan aura hangat industri hiburan tahun lalu dan selepas hampir setahun, masih ramai yang mahu menagih jawapan pasti daripada bibir Maya dan Remy. Dua entiti itu pantas menjadi subjek utama sorotan media selepas Maya mengumumkan perpisahannya dengan Muhammad Ali Abdullah, Julai tahun lalu.
Ceritera ‘cinta’ mereka terus berlegar, bagaikan tiada berkesudahan selagi Maya, 31 dan Remy, 28, belum menemui belahan jiwa masing-masing.

“Cerita ini tidak pernah habis dan akan ada saja yang diperkatakan,” ungkap Remy sedaya mungkin cuba meletakkan noktah daripada terus berbicara soal hati.

Pertemuan petang itu memperlihatkan sikap gentleman dan perasaan hormat yang tinggi dimiliki empunya nama lengkap, Mohd Zalimie Ishak itu terhadap wanita yang sedang didampinginya itu.

Remy tidak kekok memimpin tangan Maya membantu wanita itu mencari posisi selesa untuk mencantikkan sesi fotografi bersama B*POP kali ini. Santai, spontan dan bersahaja, barangkali keserasian yang bertitik tolak daripada pementasan Natrah disusuli Cun mendorong khalayak pantas membuat kesimpulan ada sesuatu antara mereka. 
“Seandainya perkara itu berlaku, penonton pula percaya wujud cinta antara kami berdua itu bermakna kami berjaya melunaskan tanggungjawab yang diberikan pengarah,” kata Remy meleraikan segala tanda tanya.

Pertama kali dipertemukan di set Anak Halal, juga arahan Osman, Remy tidak menafikan dirinya berasa kerdil apabila menjadi pilihan untuk membawa watak utama sebagai Atan dalam Cun.

Ketika penggambaran filem itu dilakukan, Remy masih bergelut mencari tapak dalam industri hiburan sedangkan nama Maya sedang meniti di puncak.

“Saya gusar dan kurang yakin tetapi Maya cuba mencipta suasana untuk membuatkan saya selesa dengannya. Alhamdulillah, sebelum ke lokasi Cun kami terlebih dulu dipertemukan dalam Natrah. Hampir seminggu kami berusaha dan cuba mencari semula keserasian yang pernah hadir ketika di pementasan Natrah. Mujur tembok halangan itu akhirnya runtuh dan kerjasama kami dipermudahkan,” katanya.

Memainkan watak Atan, pemuda yang membesar dalam suasana kampung dan dikelilingi sawah padi begitu dekat di hati Remy.

Sementara itu, Maya pula diberikan peranan sebagai Luna Latisha seorang selebriti yang cuba berdamai dengan dirinya selepas dicurangi oleh kekasihnya.

Cun sebenarnya membawa khalayak untuk merujuk persamaan latar dengan realiti hidup yang pernah mereka berdua lalui.

Umum mengetahui Remy ialah seorang pemuda kampung yang menyahut cabaran berhijrah ke ibu kota untuk memenuhi cita-citanya.

Maya pula berdepan detik duka apabila rumah tangga dibina pada Ogos 2008 di Itali musnah ketika namanya sedang meniti puncak.

Bagaimana Maya jika takdir menemukannya dengan jejaka kampung seperti Atan? Sengaja soalan itu diajukan untuk memancing Maya menghuraikan kriteria lelaki idamannya.

“Saya tidak menilai seseorang berdasarkan latar belakang hidupnya. Memadai jika dia seorang lelaki yang bijak dan berwawasan, itu sudah membuat saya tertarik untuk mendekatinya,” jelas Maya.

Finalis Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 juga berharap masyarakat lebih adil menilai siapa dirinya.
Maya selesa masyarakat melihat keintimannya dengan Remy dari sudut profesional kerana menghormati semangat positif jejaka itu untuk membina namanya.

“Saya kagum dengan kebijaksanaan serta kesungguhan Remy. Dia bekerja keras untuk berada pada tahap ini, malah sifat serius Remy turut menyalur aura positif apabila berada di lokasi penggambaran. Berikan ruang kepada Remy untuk bernafas dan mencipta nama tanpa kontroversi kerana dia seorang aktor yang hebat, bahkan turut memacu kami untuk mempunyai semangat sepertinya,” kata Maya.

Berat badan Remy makin susut

MELIHAT susuk tubuhnya yang sedikit cengkung, lantas terdetik soalan apakah kerana terlalu bekerja keras hingga Remy Ishak mengabaikan kesihatan?

Remy yang baru menyempurnakan penggambaran filem Barajiwa menolak tanggapan itu kerana semua yang dilakukannya bersebab.

“Saya menurunkan berat badan atas tuntutan watak. Dulu saya bebas makan hingga berat badan meningkat 73 kilogram. Berat itu membuatkan saya nampak kurang cantik di kaca televisyen. Saya berusaha mengawal pemakanan dan dalam kesibukan, saya mencuri masa untuk bersenam di gimnasium. Alhamdulillah usaha itu berhasil dan saya kini mendapat berat badan ideal iaitu 70 kilogram,” katanya.

Memilih lakonan sebagai karier menuntut Remy supaya serius dan komited dalam setiap apa yang dilakukannya. Paling dielakkan menerima dua tawaran serentak kerana Remy bimbang tidak mampu memberikan tumpuan padu. Dia juga tidak pernah takut menolak tawaran yang datang jika memikirkan peranan diberikan mempunyai persamaan dengan karakter pernah dilakonkannya.

Bagi aktor yang bakal muncul menerusi filem Nur Kasih The Movie pada 19 Mei ini, dia berlakon bukan semata-mata mengejar wang atau populariti sebaliknya minat yang semakin kuat etrhadap kerjaya seni itu.

“Saya mahu penonton melihat kepelbagaian saya dalam kerja lakonan. Untuk apa saya menerima semua tawaran tetapi setiap watak cuma menampakkan saya dengan peranan stereotaip. Penonton membayar untuk menonton lakonan saya, jadi saya tidak boleh cepat berasa puas. Setiap masa saya akan menilai semula persembahan lakonan sendiri dan mencari jalan untuk memperbaiki dan tidak mengulangi kesilapan serupa,” katanya.

Info Remy 

  • Sebelum bergelar pelakon, pernah melakukan pelbagai kerja seperti menjual ikan dan ayam di pasar pagi, selain menoreh getah dan buruh kasar. 

  • Pada 2005, Osman Ali merancang menerbitkan filem cereka pertamanya berjudul Akuarium Cinta. Remy terpilih tetapi filem itu gagal disiapkan menyebabkan Remy kecewa. 

  • Pada 2006, Osman yang diberi peluang mengarahkan filem komersil keduanya, Anak Halal menawarkan Remy watak kecil. 

  • Pada awal kemunculan Remy sudah terpalit kontroversi apabila membintangi filem pendek eskperimental mengenai homoseksual, Comolot. * Namanya melonjak naik menerusi drama bersiri Nur Kasih yang mendapat sambutan luar biasa.

  • Pernah dilaporkan bercinta dengan pelakon, Umi Nazeera bagaimanapun hubungan mereka tidak kekal lama. 

  • Dilanda kontroversi lantaran sikapnya yang kurang mesra media.

  • Remy dilaporkan dipukul sekumpulan tujuh lelaki di Istana Budaya pada 4 Disember 2009, malam pementasan teater Natrah. 

    Info Maya

  • Maya Karin kini sibuk menyempurnakan rakaman album terbarunya, mengingatkan peminat pada bidang seni lain diceburinya iaitu nyanyian. 

  • Pernah melahirkan dua album, Erti Cinta pada 2002 diikuti Bukan Qalamaya pada 2004. 

  • Mula dikenali menerusi tugas pengacara program, Wavelength pada 2000. 

  • Anugerah pertama diraihnya, Artis Baru Wanita Popular pada ABPBH 2001. 

  • Lakonannya dalam Pontianak Harum Sundal Malam menghadiahkannya trofi Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun. 

  • Pernah menerima trofi Pelakon Filem Wanita Popular ABPBH 2005. 

  • Selepas Cun, filem terbarunya yang bakal menyusul berjudul Ombak Rindu.

  • Pernah berkahwin dengan pemuda Inggeris, Muhammad Ali Abdullah @ Steven David Shorthose pada Ogos 2008 dan bercerai pada Julai 2010.




  • sumber>



    No comments:

    PUSH