Filem paranormal pertama Malaysia


REALITI. Inilah lokasi sebenar filem Penunggu Istana.
SEPERTI cendawan tumbuh selepas hujan, setiap minggu para peminat filem Melayu dihidangkan dengan produksi tempatan di pawagam.
Kini, giliran Grand Brilliance Sdn. Bhd. dan Primeworks Studios yang sememangnya telah diakui kehebatan dalam menghasilkan filem-filem pecah panggung dengan membawakan satu kejutan menerusi filem terbaru berjudul, Penunggu Istana.
Naskhah ini bukanlah sebarangan filem. Amaran awal patut dilaungkan kepada masyarakat Malaysia khususnya peminat filem Melayu bergenre seram.
Jika selama ini mereka menonton filem-filem seram yang pada andaian mereka cuma sebuah cerita, maka mereka perlu berfikir lima kali sebelum mengambil keputusan untuk menonton filem ini.
Buat pertama kalinya, penonton filem di Malaysia akan disajikan dengan filem berbentuk dokumentari realiti seram bergenrekan paranormal!
Ini bermakna cerita yang terkandung di dalam filem ini bukanlah sebuah cerita kosong, tetapi ia adalah sebuah pendedahan secara realiti terhadap aktiviti paranormal di sebuah tempat yang dipercayai sangat berpuaka iaitu sebuah rumah yang telah ditinggalkan lebih 100 tahun di Perak dan dikenali sebagai Istana Billah.
Mengulas mengenai Penunggu Istana, kata Pengurus Besar Filem & Drama Primeworks Studios selaku penerbit eksekutif filem ini, Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata: “Filem ini adalah sebuah dokumentari yang mana ia mengandungi rangkuman rakaman video yang berjaya dirakamkan oleh lima pelajar yang membuat kajian aktiviti paranormal di tempat yang dipercayai berpuaka.”
“Siasatan mereka telah dibantu oleh kumpulan Seekers, yang sememangnya sinonim dengan kegiatan aktiviti paranormal di Malaysia.”
Tambahnya: “Niat kami adalah untuk mendedahkan penemuan mereka ini kepada umum melalui filem. Ini adalah satu bentuk pembaharuan yang cuba kami serapkan dalam era filem bergenre seram.

TENAGA lakonan Penunggu Istana digerakkan oleh lima muka baru.
“Kami yakin ini dapat mempertingkatkan lagi kualiti filem bergenre seram di Malaysia.

“Jadi, tiada maknanya mengatakan kami cuba meniru filem luar, sebaliknya apa yang dihasilkan ini adalah rentetan kisah benar yang ingin kami kongsikan pada masyarakat di luar sana.”
Menurutnya lagi: “Rumah tinggalan yang digelar Istana Billah ini juga mempunyai banyak kisah seram yang diceritakan menerusi perbualan mulut penduduk setempat.
“Tambahan pula, produksi drama Warkah Terakhir yang pernah menjalani penggambaran di sana mengalami pengalaman yang mengerikan.
“Ini menunjukkan tempat tersebut benar-benar mempunyai kisah misterinya dan penonton dapat menyaksikan kesahihannya melalui filem dokumentari ini.”
Plot Penunggu Istana merupakan cantuman daripada pita rakaman terakhir lima pelajar iaitu Sara Ali, Nadzirah Ahmad Nadzri, Nor Zafirah Abd. Rahim, Mustaqim Mohamed Zaki dan Amar Asyraf yang membuat kajian aktiviti paranormal di sebuah rumah tinggalan lama, Istana Billah.
Secara naratifnya, Penunggu Istana dipersembahkan sebagai sebuah dokumentari berdasarkan jurnal video yang diperolehi mereka sendiri.
Cantuman footage tersebut itu seterusnya difilemkan sepanjang 15 hari mereka di Istana Billah sebagai usaha mencari jawapan terhadap kejadian mengerikan yang menimpa kumpulan pelajar berkenaan.
Penemuan inilah merupakan satu kejutan untuk tatapan semua peminat filem tempatan.
Ia bukan seperti filem-filem seram terdahulu yang menampakkan kesemua bentuk fizikal makhlus halus dan membuatkan anda berasa seram cuma di dalam panggung sahaja.
Paparan visual yang dipamerkan melalui filem Penunggu Istana adalah daripada rakaman video yang diambil oleh kelima-lima pelajar tadi.
Mungkin ada sesetengah visual bakal mengejutkan penonton sehingga tiba-tiba meremang bulu roma dan membuatkan degupan jantung lebih laju dari biasa, walaupun ia tidak menunjukkan sepenuhnya bentuk fizikal entiti halus yang menghuni di rumah tinggalan tersebut.
Buat pertama kalinya filem realiti seram bergenre paranormal bakal menemui rakyat Malaysia pada 21 April ini.
Buat pertama kali ini jugalah, anda bakal merasa apa itu sebenarnya yang dikatakan sebagai satu 'kejutan'!




sumber>
kosmo!




No comments:

PUSH