Bruno bijak di pentas



BRUNO menunjukkan kebolehannya bertutur beberapa patah dalam bahasa Melayu.
SANTAI dan menghiburkan. Itu yang boleh disimpulkan daripada konsert sulung penyanyi kelahiran Hawaii, Bruno Mars yang berlangsung Ahad lalu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Meskipun persembahannya hanya bermula pada pukul 9 malam, tetapi sejak pukul 6 petang lagi peminat sudah berkampung di PWTC sekali gus membuktikan daya tarikan yang dimiliki jejaka berusia 25 tahun itu.
Bruno Mars atau nama sebenarnya Peter Gene Hernandez memulakan konsertnya dengan memperlihatkan skilnya bermain drum dan terus menghangatkan seluruh dewan dengan lagu The Other Side dan juga Top of The World.
Pemenang Anugerah Grammy menerusi kategori Persembahan Vokal Pop Lelaki Terbaik itu bijak mengawal dan menarik perhatian penonton dengan menyanyikan laguBillionaire secara akustik dan menghabiskan keseluruhan lagu itu dalam versi reggae bersama bandnya.
Sebelum meneruskan persembahannya, Bruno berkata pada penonton: "Bolehkan jika kita berseronok untuk tiga minit dan jamming?" Ia lantas membuatkan penonton yang duduk di barisan hadapan menjerit bagai terkena histeria.
Bruno yang tersenyum melihat situasi itu terus memetik gitar dan membuat persembahan tribute untuk Michael Jackson dengan lagu Billie Jean dan band Nivana dengan lagu Come As You Are.
Bruno menutup segmen tersebut dengan lagu-lagu daripada Jackson 5.
Bruno terus menawan penonton dengan barisan lagu popularnya seperti Marry YouThe Lazy Song,Count On MeLiquor Store Blues dan menyanyi dalam rentak perlahan lagu Nothing On You yang dirasakan cukup indah sekali.
Bruno memang tidak sukar untuk mencari penyanyi latar kerana sepanjang persembahan berlangsung, penonton memberi kerjasama yang baik.
Tanpa disuruh mereka dengan sendirinya akan mengiringi setiap barisan lagu-lagu Bruno, malah Bruno dan bandnya kelihatan cukup puas hati apabila penonton menurut sahaja apa yang diminta oleh Bruno.

MENYAMPAIKAN lagu-lagu popularnya, Bruno turut bermain gitar dalam persembahannya.
Membuat kejutan, Bruno menyanyikan lagu You Will Be Mine bersama pemuzik iringannya secara acapella, satu persembahan yang tidak dijangka.

Sempat meluahkan rasa syukurnya kata Bruno: "Sebelum ini kami hanya menyanyi di kelab dan juga majlis keramaian untuk mendapatkan wang tapi hari ini kami mampu menjelajah ke seluruh dunia.
"Terima kasih kepada semua peminat termasuk anda di Kuala Lumpur yang menjadikan mimpi kami sebagai satu kenyataan.
"Percayalah ini persembahan pertama tapi bukan yang terakhir kerana kami akan datang lagi tidak lama lagi."
Petikan gitar solo daripada Bruno membuatkan penonton bersorak, tanpa membuang masa dia terus menyanyikan terus lagu Grenade.
Bruno bijak mengambil hati peminat Malaysia dengan mengambil inisiatif belajar beberapa patah bahasa Melayu dan berkata: "Aku cinta padamu."
Perkataan itu diluahkan ketika dia melabuhkan tirai konsert dengan lagu popularnya Just The Way You Are.
Walaupun lampu pentas sudah dipadamkan dan barisan pemuzik iringan Philip Lawrence (vokal), Eric Hernandez (drum); Kenji Chan (gitar utama); Jared Artis (bass); dan Frederick (keyboard) sudah turun daripada pentas, penonton masih enggan melepas Bruno tanpa mengalunkan sebuah lagi lagu bonus.
Selepas penonton menjerit namanya, Bruno muncul dan menyanyikan lagu terakhir yang berjudulRunaway sambil menari bersama pemain gitar.
Ternyata peminatnya pulang dengan perasaan gembira dan puas hati.
Mana tidaknya, ramai peminatnya tidak dapat menyaksikan konsert yang diberi nama Doowops & Hooligans kerana kehabisan tiket hanya dalam masa seminggu.
Ditambah pula, kapasiti dewan itu hanya mampu memuatkan 3,000 penonton dalam satu-satu masa.
Rasanya, jika Bruno mengadakan konsert di Malaysia pada masa hadapan, lokasi yang lebih luas harus difikirkan oleh pihak penganjur bagi memberi peluang kepada semua peminat Bruno Mars untuk menikmati persembahannya.
Sebelum Bruno naik ke pentas, penyanyi tempatan Mizz Nina terlebih dahulu memanaskan pentas dengan lagu hitnya, What You Waiting For pada pukul 8.30 malam.
Corak persembahan bertenaga daripada Mizz Nina wajar dipuji, meskipun ia sekadar persembahan pembukaan.




sumber>
kosmo!





No comments:

PUSH