AMALAN mengoyak gambar seseorang biasanya berkait rapat dengan kekecewaan dalam percintaan, sama ada bagi pihak lelaki atau wanita. Namun itu bukan isu bagi sebuah negara kecil di selatan Lautan Pasifik, Niue.
Di situ, penduduknya - seramai 1,398 orang mengikut anggaran 2009 - digalakkan mengoyak gambar pasangan diraja, Putera William dan Kate Middleton, yang akan berkahwin hujung bulan ini.
Sempena majlis perkahwinan gilang-gemilang itu, perkhidmatan pos Niue mengeluarkan setem kenang-kenangan istimewa.
Menariknya, gambar William dan Kate itu dibahagi dua dan boleh dikoyakkan untuk menjadi setem tunggal setiap satu.
Lebih menghina, nilai setem bagi gambar William adalah NZ$3.40 (RM7.97), manakala nilai Kate ditetapkan lebih murah iaitu NZ$1 (RM2.34).
Pulau Niue menggunakan mata wang sama seperti New Zealand.
Pengarang majalah setem terkenal Gibbons Stamp Monthly, Hugh Jefferies berkata, penghasilan setem istimewa itu sebenarnya sesuatu yang memalukan.
Katanya, reka bentuk setem berkenaan juga dibuat tanpa perancangan rapi.
“Sesiapa juga yang mencipta reka bentuk ini akan dikecam dan akan ada pihak yang dipertanggungjawabkan.
“Saya pasti mereka tidak sengaja cuba membayangkan pasangan William — Kate boleh dipisahkan dengan mudah, tetapi pihak yang berkenaan tersilap menghasilkannya,” katanya.
Perkhidmatan pos New Zealand juga terpaksa menanggung malu apabila sebelum ini pernah melakukan kecuaian terhadap tarikh lahir William. Kesilapan itu dibuat pada siri setem sebelum ini.
Pengurus Besar NZ Post Stamps and Coins, Ivor Masters berkata, kira-kira 3,000 set setem itu dijual.
“Bagaimanapun, hanya dua pelanggan meminta set setem mereka digantikan dengan yang lain kerana kesilapan itu,” katanya.
Masters berkata, baki 300 set lagi siap dicetak dengan tarikh lahir itu diperbetulkan dan habis ditempah.
Sementara itu, Jefferies berkata, bukan William dan Kate saja yang mencetuskan kontroversi ketika berkahwin.
Apabila ibu dan bapa William (Putera Charles dan Puteri Diana) berkahwin, Setem Diraja Australia yang bertanggungjawab mengeluarkan setem di negara itu mencetuskan kemarahan ramai.
Melalui setem khas itu, katanya, Charles dan Diana dipaparkan saling berpandangan ke arah lain.
Masters berkata, reka bentuk setem William-Kate mendapat perkenan daripada keluarga diraja Britain.
“Malah, ia diperkenankan Ratu Elizabeth sendiri yang menjadi ketua negara New Zealand,” katanya.
Mengenai hujah itu, Jefferies berkata, mungkin berlaku kesilapan atau kekeliruan.
“Barangkali Elizabeth ditunjukkan gambar itu tanpa garis pemisah di tengahnya,” katanya.
sumber>
hmetro
No comments:
Post a Comment