Bagai desiran melodi



LAMA memujuk, akhirnya si teruna kacak tinggi lampai ini akur membenarkan sisi peribadinya disingkap. Walaupun tidak sepenuhnya, namun permintaan yang bagai menggoyang pendiriannya itu sudah memadai.


Enggan membiarkan setiap inci dirinya dibuka buat tatapan umum, si empunya nama Syamsul Hirdy Muhid (Diddy) menyifatkan keluarga, perkahwinan dan anaknya bagai satu perhiasan buatnya seorang.










Meskipun dihambat gosip menyorokkan isteri dan anak seperti sesetengah selebriti lain, ia tidak sesekali mengubah pendirian tegasnya, sebaliknya mengharapkan pihak lain menghormati permintaannya.


Peluang merakam gambar bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF) musim keempat ini dengan anak kesayangannya, Nadra Aryssa Jauza yang kini berusia empat bulan adalah satu pengalaman indah. Bukan kerana nilai eksklusif menjadi yang pertama, sebaliknya SELEBRITI terpukau melihat sifat kebapaan padanya.


Tiba ditemani isteri tersayang, Allen Nor Azah Musa yang dinikahi pada 6 Februari tahun lalu, Diddy tidak lekang mencium dan bergurau dengan Jauza. Selorohnya, siapa kata orang muda sepertinya tidak sedia menjadi ayah?


“Detik menceritakan semula perasaan dan pengalaman menjadi ayah seperti sekarang adalah sesuatu yang sukar buat saya. Bukan kerana mati ayat untuk menjelaskan, sebaliknya perasaan yang datang dan kekal hingga ke hari ini sukar diterjemah dengan bait kata.


“Bagai desiran melodi yang menyuntik sejuta ketenangan jiwa, Jauza memberikan keindahan hidup buat saya sebagai lelaki.


“Rezeki itu lancar mencurah. Selepas empat tahun mengikat pertunangan, saya dan isteri disatukan. Kemudian, hasrat memiliki cahaya mata pula ditunaikan. Justeru, apa lagi ingin saya persoalkan kerana semuanya indah.


“Perkahwinan dan Jauza adalah pelengkap diri paling sempurna pernah saya alami,” katanya tersenyum sambil mengusap rambut tipis Jauza yang tidak lekang dalam dakapannya.


Mengenali pemuda berusia 26 tahun ini ketika masih di pentas AF kira-kira empat tahun lalu, wajahnya segar dengan lenggok bahasa muda. Kini seakan-akan canggung melihat perubahan diri dan personalitinya. Pelantun lagu Lelaki Di Atas Awan ini tampak matang, tuturnya makin tersusun dan senyumnya meleret. Jelas sinar peribadinya lena diulit bahagia.


“Ada kalanya apabila melihat diri di depan cermin, sesekali ia mengundang gelak kecil. Sekelip mata saya meninggalkan zaman remaja. Kini bukan saja bergelar suami, malah ada tanggungjawab untuk membentuk seorang lagi insan istimewa dalam diri saya. Namun saya percaya, ia ketentuan yang akan memberi lebih rezeki buat saya.


“Tiada apa yang berubah pun dalam diri. Sejak dulu, saya lelaki yang sentiasa bersedia. Soal menjadi ayah adalah sesuatu yang lama saya impikan. Kehadiran Jauza benar-benar memberi impak kepada kami.


“Walaupun masih muda, ia bukan alasan untuk gagal menyempurnakan tanggungjawab. Alhamdulillah, saya dan isteri pentingkan komunikasi dan sentiasa mengambil berat dalam apa saja soal keluarga.


“Bayangkan, saya seolah-olah tidak boleh berenggang dengannya. Ingatan saya hanya berfokus pada dia walaupun jauh meninggalkan rumah untuk bekerja. Setiap hari saya bergegas untuk pulang bertemu Jauza.


“Kelakarnya, Jauza juga seolah-olah memahami keadaan itu dan dia bijak menunjukkan kasih sayangnya kepada saya walaupun masih ‘merah’.


“Jika pulang lewat, dia tidak akan tidur kerana menanti saya kerana setiap hari, dada atau hangat pelukan saya adalah kamar buatnya,” katanya.


Berkali-kali Diddy dan pengurusnya, Badrul Hashim meminta supaya lensa kamera tidak berlaku nakal merakam wajah isterinya yang setia di sisi. Bukan kerana sengaja menyembunyikan insan tersayangnya, sebaliknya Diddy menghormati permintaan si isteri yang enggan terkena tempias publisiti.


“Usah letakkan salah itu pada saya seorang kerana jujurnya isteri saya tidak gemar wajahnya dirakam. Bukan main sorok-sorok daripada tatapan peminat, tapi itu adalah permintaan Allen untuk tidak mengheretnya sekali dalam kancah hiburan. Allen bekerja di luar lapangan saya dan dia punya reputasi sendiri untuk tidak terlalu mendedahkan dirinya.


“Peminat akan faham kerana sejak di AF lagi, mereka sedia maklum status saya sebagai tunangan orang. Sokongan peminat masih ada ketika itu, malah kekal hingga ke hari ini. Justeru, mereka menghormati pendirian saya sebagai individu. Tidak timbul soal menyorokkan isteri atau apa saja andaian yang timbul.


“Saya menghargai setiap apa yang dikurniakan. Kerjaya nyanyian yang stabil, sokongan peminat yang tidak henti-henti serta kebahagiaan diri sebagai suami dan ayah, semuanya ketentuan yang memberi sejuta keindahan.


“Namun saya tidak mahu terlepas setiap satu detik manis itu, dan sebab itu saya ingin meletakkan mana yang peribadi kekal dalam kamar jiwa dan apa yang boleh dikongsikan, pasti ia akan ditatap bersama,” katanya.


Siapa sangka, walaupun anak kelahiran Johor Bahru ini muncul mengejar impian menjadi penyanyi, ada juga berbekas bakat lakonan padanya.


Pernah membintangi drama sebelum ini memberi laluan mudah buatnya untuk tampil menyandang watak Amin menerusi teater muzikal Terima Kasih Cinta (TKC) baru-baru ini.


“Melihat ulasan media dan reaksi balas penonton serta peminat, mereka suka persembahan saya yang tidak seberapa itu. Setidak-tidaknya ia menguatkan lagi semangat saya untuk terus mencuba lapangan lakonan.


“Mungkin selepas ini peminat tidak hanya boleh mendengar nyanyian saya, sebaliknya Diddy Hirdy akan muncul pula sebagai pelakon popular,” guraunya.




sumber>
hmetro





No comments:

PUSH