Dunia X Games Pa'din



Pada usia yang sudah mencecah 34 tahun, Ahmad Fadzil Musa masih lagi ‘garang’ dalam dunia sukan skateboard tanah air. Daripada aksi street skating yang menampilkan aksi kick flip hingga ke 360 degree kick, persembahan lima bintangnya setanding ahli sukan profesional antarabangsa. Selayaknya digelar otai, ikuti inspirasi jejaka bersemangat waja ini...

SEPERTI pepatah 'di mana ada kemahuan, di situ ada jalan', kata-kata azimat ini cocok menggambarkan semangat dan kesungguhan Ahmad Fadzil Musa dalam sukan skateboard.


Bermula dengan meminjam skateboard milik abangnya, jejaka ini yang lebih dikenali sebagai Pa’din Musa, tidak mengenal erti putus asa hingga akhirnya menguasai skil papan selaju hingga ke tahap sekarang.
Hari ini, nama Pa'din bukan saja gah sebagai antara pemain skateboard terbaik negara, malah jejaka kecil molek kelahiran Georgetown, Pulau Pinang ini juga sering diundang membuat pertunjukan selain mewakili Malaysia dalam kejohanan papan selaju bertaraf profesional di seluruh dunia.


Dalam pertemuannya bersama XY - Ikon Lelaki di Taman Cabaran, Putrajaya, Selasa lalu, Pa’din mengakui bukan mudah perjalanan ditempuh sejak hampir 21 tahun berkecimpung dalam sukan papan selaju apatah lagi tidak mendapat bimbingan profesional.


“Tidak seperti apa yang kita ada (kemudahan) hari ini, di mana segala-galanya lengkap dari segi pembangunan sukan ini, peralatan yang mudah untuk dibeli serta sambutan peminat yang cukup menggalakkan.


“Sedangkan, semua ini agak sukar untuk ditemui dulu termasuklah komuniti yang berkongsi minat sama dalam sukan skateboard,” katanya yang banyak berlatih di pusat beli belah Komtar, Pulau Pinang, ketika mula mendekati dunia papan selaju. 
Sebelum ditemuramah, Pa’din sempat menunjukkan beberapa aksi bermain skateboard seperti melompat, berputar, meluncur dan menjunam - sekaligus membuktikan kemahiran dimilikinya yang diiktiraf dunia skateboard.


Jika hendak tahu, Pa’din bukan saja sering bermain di taman itu, malah beliau dilantik Perbadanan Putrajaya sebagai pengurus teknikal yang bertanggungjawab menyelia serta menyelenggara pusat sukan bertaraf antarabangsa itu.


“Jangan sangka melalui sukan kita tidak mampu pergi jauh. Malah, dalam sukan seperti skateboard ini, kita dapat membentuk hubungan baik dengan semua peluncur baik di peringkat tempatan atau luar negara.


“Berdasarkan pengalaman saya, kita boleh menggunakan kemudahan di mana-mana skatepark dan berhubung rapat dengan komuniti baru. Ini kerana pemain skateboard sentiasa mengalu-alukan kenalan baru, tidak kira siapa. Inilah keunikan sukan skateboard yang saya fikir tidak ada dalam sukan lain,” katanya.


Budak kampung yang kini menggegar sukan X Games antarabangsa, jom kongsi pengalaman luas Pa’din dan inspirasinya melahirkan lebih ramai bakat baru dalam sukan skateboard...


Boleh anda ceritakan sedikit perkembangan terbaru anda?

Selain banyak menumpukan aktiviti di Taman Cabaran Putrajaya, saya menganjurkan beberapa pertandingan yang antara lain cuba mencungkil bakat baru dalam sukan ekstrem. Malah, pada 28 April hingga 2 Mei ini, saya sekali lagi mewakili negara di Pertandingan X Games Asia di Shanghai, China.

Pada usia 34 tahun, apa yang mendorong anda hingga mampu bertahan sehingga sekarang?

Kesungguhan dan minat mengatasi segala-galanya. Entahlah, saya sendiri kurang pasti bagaimana untuk menjelaskan, tetapi saya gembira kerana keluarga memberi sokongan.

Saya puas mampu memberi tunjuk ajar kepada generasi baru.

Bagaimana segala-galanya bermula hingga anda makin dikenali?

Saya berjinak-jinak dengan sukan skateboard pada usia 14 tahun. Saya masih ingat lagi, pada masa itu, saya hanya meminjam papan luncur abang yang dibeli di sebuah pasar raya di Komtar.

Abang saya beli papan luncur itu selepas melihat aksi Aru dari kumpulan Koffin Kanser bermain skateboard di Pesta Pulau Pinang. Ketika itu, papan luncur yang saya gunakan tidaklah mahal, namun memadai untuk beraksi.

Saya mengambil masa yang lama untuk menjadi mahir, tetapi saya tidak pernah kenal erti penat, malah berkobar-kobar apabila bertemu lebih ramai orang yang meminati sukan sama. Dari situ, saya kerap beraksi hingga memasuki beberapa siri kejohanan.

Bagaimana dengan sambutan sukan skateboard ketika itu?

Tidaklah seperti hari ini. Ketika itu, sukan ini banyak dimainkan oleh orang asing sedangkan orang Melayu lebih gemarkan sukan seperti bola sepak.

Saya sendiri tidak tahu mengapa begitu tertarik dengan sukan skateboard hingga tidak sangka minat itu berterusan hingga sekarang.

Selepas kira-kira 20 tahun berkecimpung dalam bidang yang sama, bagaimana pula soal pembangunan sukan ini serta sambutan peminat dari pandangan anda?

Jujur saya katakan, sambutannya sudah jauh berubah berbanding dulu. Bukan saja di setiap negeri sekarang ada skatepark sendiri, sambutan di kalangan generasi muda juga cukup menggalakkan.

Malah, barangan serta aksesori skateboard mudah didapati di mana-mana dengan harga murah. Pada harga RM150, kita sudah dapat memiliki papan luncur yang berkualiti dan dikira bagus.

Apa bezanya budaya skateboard dulu dan sekarang?

Biarpun hari ini kita lihat begitu ramai anak muda melahirkan minat dalam sukan ini, skil serta kebolehan mereka berbeza daripada dulu. Itulah yang lebih menyeronokkan kerana ia mendorong kita mempamerkan aksi baru.

Itu belum lagi mengambil kira cabaran di skatepark yang berbeza-beza.

Mungkin boleh anda kongsi apakah teknik kegemaran anda apabila beraksi?

Saya lebih kepada aksi street skate di mana laluannya agak berliku dan lebih teknikal. Manakala tekniknya pula seperti kick flip, 360 degree kick, flip 90 degree dan banyak lagi.

Saya juga gemar mempelbagaikan teknik serta mencampurkan teknik menjadi satu persembahan baru. Itulah kepuasannya.

Ceritakan pengalaman pahit sepanjang terbabit dalam sukan ini?

Adatlah apabila beraksi dalam sukan ekstrem seperti skateboard ini. Jatuh, pergelangan tangan patah diibaratkan perkara biasa. Yang tidak seronoknya, apabila mengalami kecederaan, terpaksalah berehat sehingga dua bulan dan memang membosankan.

Pada pandangan anda, bolehkah pemain skateboard negara bersaing dan menggegar di peringkat dunia?

Jika di peringkat dunia agak sukar kerana pembangunan sukan skateboard di luar negara lebih besar terutama di Amerika Syarikat (AS) dan Brazil.

Kita boleh bersaing tetapi jika hendak dikira di peringkat Asia, Malaysia antara negara yang mampu menyaingi kehebatan negara Asia lain seperti Jepun, Australia dan Singapura.

Bagaimana pula dengan pencapaian terbaik anda?

Pencapaian terbaik mendapat emas pada Asia X Games pada 2000 dan 2004 bagi kategori street skateboarding dengan menewaskan 12 lagi negara termasuk Australia dan Jepun.

Pada 2004 juga saya menduduki tempat ke-10 bagi kejuaraan profesional di Los Angeles yang menghimpunkan nama besar seperti Eric Koston dari AS.

Anda mencapai usia di mana kebanyakan atlit mula mengundurkan diri. Apa agaknya perancangan persaraan anda?

Jika bercerita soal bersara, saya tidak ada perancangan ke arah itu. Selain masih lagi berminat bermain skateboard, saya fikir saya hanya akan berhenti apabila sudah tidak boleh berjalan.

Jika di luar negara, usia 60 tahun pun masih boleh bermain skateboard lagi walaupun tidak agresif seperti orang muda.

Pandangan anda serta sasaran bagi memastikan sukan ini lebih membangun di negara ini?

Biarpun kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan banyak membantu dari segi pembangunan sukan termasuk pembinaan skatepark di seluruh negara seperti Perbadanan Putrahaya membuka Taman Cabaran sebagai antara alternatif peminat sukan ekstrem meningkatkan skil, saya berharap acara papan selaju ini dimasukkan sebagai salah satu acara dalam Sukan Malaysia (SUKMA).

Apabila sudah bermula daripada peringkat awal, tidak mustahil ia dapat diperkenalkan di peringkat Sukan SEA. Memandangkan ada cubaan memasukkan acara skateboard di Sukan Olimpik, rasanya kerajaan wajar mengambil tindakan dari sekarang.

Suka derma skateboard

SUDAH menjadi kebiasaan Pa’din untuk menggunakan papan selaju dalam tempoh singkat. Tidak sampai dua minggu, Pa’din akan menukar papan dan aksesori baru. Bukan kerana patah atau pun rosak, tetapi beliau ada alasan tersendiri untuk bertukar skateboard.

“Biasanya, saya akan beri kepada budak-budak sekolah yang memiliki minat mendalam terhadap sukan skateboard. Saya juga pernah merasai pengalaman sama, jadi tahulah bukan murah dan mudah untuk mendapatkan papan selaju.

“Jadi, apabila kita memberikan skateboard kepada mereka, walaupun ia sudah digunakan, jelas terpancar kegembiraan pada wajah mereka,” katanya.

Menceritakan pengalaman yang dilaluinya hampir 20 tahun lalu, Pa’din berkata, beliau tidak pernah memiliki papan luncur melainkan meminjamnya dari abang sendiri. 

Namun, selepas lebih setahun, akhirnya Pa’din memiliki papan selaju sendiri yang diberi seorang pelajar Dalat International School di Pulau Pinang selepas melihat kesungguhannya berlatih. 

“Gembira bukan kepalang kerana bukan saja akhirnya memiliki skateboard sendiri, malah papan selaju itu agak baik kualitinya.

“Disebabkan itulah, apabila sudah berada di tahap sekarang, rasanya tidak salah jika saya pula melakukan perkara sama,” katanya yang sudah dua tahun menyelia Taman Cabaran Putrajaya.

Menyentuh mengenai pusat ekstrem yang diselenggaranya, Pa’din berkata, Taman Cabaran yang menyediakan pelbagai kemudahan sukan ekstrem seperti BMX, mountainbike track, eline skating, wall claimbing dan skateboard itu dibuka setiap hari secara percuma.

“Kita mengalu-alukan sambutan di kalangan generasi muda. Walaupun terletak di Putrajaya, hari ini ramai anak muda datang dan memberi sokongan. Saya teringat pula ketika mula-mula menceburi bidang skateboard dan datang kampung,” kata Pa’din yang menjadikan Eric Koston berusia 35 tahun sebagai idolanya dalam sukan skateboard.

Bercerita pula mengenai anak sulungnya, Muhammad Faheem, yang memasuki usia dua tahun, Pa’din berhasrat untuk mendidik anaknya menjadi salah seorang pemain skateboard disegani dunia.

Biarpun masih kecil. Pa’din sudah pun menyediakan papan luncur khas buat anak kesayangannya itu.

“Apabila dia sudah menencah usia empat tahun, saya berharap dapat mengajarnya perlahan-lahan. Siapa sangka anak saya bakal menjadi pemain skateboard terbaik dunia satu hari nanti?,” katanya.

Profil

Nama: Ahmad Fadzil Musa
Umur: 34 tahun
Tarikh lahir: 20 Oktober 1976
Tempat lahir: Georgetown, Pulau Pinang
Tinggi: 157 sentimeter
Berat: 57 kilogram
Status: Berkahwin 




sumber>


No comments:

PUSH