MALEK (kiri) sewaktu dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada bulan Mac 2010.MEMEGANG gelaran Mr. Asia sebanyak enam kali, nama Abdul Malek Mohamad Noor tidak perlu diperkenalkan lagi. Lantaran kecemerlangan yang diraihnya, anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu pernah menerima anugerah Pingat Emas Personaliti Sukan Benson & Hedges 1985 diikuti gelaran Olahragawan Negara pada tahun 1986 dan 1990.
Selain itu, beliau juga diiktiraf sebagai Ahli Mangku Negara (AMN) dan penerima Pingat Sultan Ibrahim (1986); Legendary Sportsman of Malaysia dan Coca-Cola Olympian 2007 serta terbaru Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada 30 Mac tahun lalu.
Sewaktu zaman kegemilangannya sekitar 1980-an dan 1990-an, Malek turut menceburi industri seni sebagai pelakon menerusi beberapa buah filem seperti Ujang, Juara, Rimba Malam, Kelisa, Pendekar Mata Satu dan Sahabat. Pendek kata, Malek merupakan selebriti terkenal yang menjadi pujaan ramai ketika itu.
Namun, artikel yang disiarkan pada 8 Jun 2010 itu juga menyingkap satu kisah fasa hidup baru Malek. Segala kemasyhuran dan kemewahan yang dikecapi membuatkan beliau alpa dengan kehidupan duniawi yang bersifat sementara sehingga mengabaikan kewajipan sebagai umat Islam.
Menceritakan detik-detik cahaya keimanan mula bersinar di hatinya, Malek memberitahu apabila usia semakin meningkat, jiwanya mula meronta untuk mengubah gaya hidup Barat yang dijalaninya.
Kejayaan dan kemewahan sudah tidak mampu mententeramkan jiwa lelaki berbadan gagah perkasa itu. Rentetan itu juga, Malek sering didatangi mimpi-mimpi ngeri seperti dibakar api neraka, tubuhnya dikelar-kelar dengan besi panas dan banyak lagi.
Kemudian, satu demi satu musibah mula melanda dirinya membuatkan hati kecil Malek berbisik: “Mungkin inilah ujian Allah kerana Dia mahu aku kembali menjadi muslim sejati.”
Bagaimanapun, insiden yang berlaku pada 2002 merupakan titik tolak kepada penghijrahan Malek yang sebenar. Ketika itu, beliau hanya berseluar pendek dan berdiri di balkoni Penthouse miliknya yang menghadap Menara Berkembar Petronas KLCC.
“Sedang asyik memerhatikan pemandangan luar, tiba-tiba saya terdengar laungan azan yang berkumandang dari masjid berhampiran dan ia terus menusuk ke dalam kalbu saya.
“Waktu itu saya seperti orang gila apabila ke hulu ke hilir di dalam rumah tanpa mengetahui apa yang perlu dicari. Kemudian, saya menangis sepuas-puasnya sebelum mengambil wuduk dan terus menunaikan solat Maghrib walaupun tidak pasti ia menepati rukun atau tidak.
“Esoknya saya ke Jalan Masjid India dan membeli sebuah kitab suci al-Quran serta beberapa buku mengenai Islam,” terang Malek.
Pada tahun 2008, Malek mengambil tindakan drastik apabila membuang semua piala yang pernah dimenanginya satu ketika dahulu kerana menganggap kesemua piala berbentuk patung itu menjejaskan keimanannya selama ini.
Kini, setiap malam sebelum tidur, Malek akan berdoa semoga dipanjangkan usia agar dia dapat terus bersujud kepada-Nya untuk setiap kesalahan yang pernah terlanjur dilakukan sepanjang hidup.
sumber>
kosmo!
sumber>
kosmo!
No comments:
Post a Comment