JIKA bukan kerana kebanyakan lirik lagu yang eksplisit dan beberapa unsur seks yang pernah ditonjolkan dalam beberapa klip video lagu mereka termasuk This Love, She Will Be Loved dan Harder To Breathe serta yang terbaru menerusi klip video untuk single pertama, Misery, daripada album terbaharu mereka, Hands All Over, Maroon 5 adalah sebuah band rock yang ‘bersih’.
Mereka yang terdiri daripada lima sahabat sejati sejak bangku sekolah, Jesse Carmichael (keyboard) Ryan Dusick (dram) Adam Levine (vokal dan gitar), Mickey Madden (bass) dan James Valentine (gitar) tidak pernah dikaitkan dengan sebarang kontroversi seperti kebanyakan band rock lain.
Sejak meledak naik sekitar tahun 2004 walaupun debut mereka, Songs About Jane dilahirkan pada tahun 2002, Maroon 5 terus menjadi salah sebuah band yang digilai.
Tetapi, satu-satunya isu yang terus mengekori mereka adalah sensasi unsur seks yang kerap diselitkan dalam klip video serta lirik-lirik yang mempunyai makna kurang baik di sebaliknya.
Malah untuk kulit album terbaharu ini juga, Maroon 5 memaparkan tubuh seorang wanita bogel di atas katil dengan tangan menutup bahagian dadanya.
Apabila hal itu diajukan kepada vokalisnya, Levine yang memang terkenal dengan sikap terbuka tidak menafikan hal tersebut.
Dia malah menjawab secara sinikal: “Saya sukakan seks. Saya tidak akan tipu tentang itu kerana saya berpendapat seks adalah satu aktiviti yang baik.”
Tambahnya lagi dia tidak mengerti mengapa sesebuah klip video harus menjadi terlalu klise dengan memaparkan aksi sesebuah band sedang memainkan instrumen mereka. Apa salahnya jika jalan lagu divisualkan dalam imaginasi tersendiri.
Di luar isu tersebut, Maroon 5 tidak mempunyai sebarang masalah untuk digilai. Jika tidak, masakan sejak album sulung mereka dilahirkan sehingga yang ketiga, band ini telah menjual lebih 25 juta unit album di seluruh dunia.
Bercakap tentang termometer sukses Maroon 5, Levine memberitahu, mereka hanya menjadi diri sendiri dan melahirkan karya yang jujur. Bagaimanapun katanya tidak mudah bagi mereka untuk berada pada tahap sekarang.
“Pada satu ketika, kami sendiri keliru untuk memilih muzik yang ingin kami berikan kepada khalayak. Kami juga mempunyai pengaruh muzik yang berbeza. Namun sebaik kami menukar nama Kara’s Flowers kepada Maroon 5 pada awal kemunculan dulu, kami berjaya menyelaraskan muzik kami dan memilih pop rock sebagai paksi baru berbanding alternatif rock yang tidak menjadi,” kata Levine.
Dia turut memberitahu walaupun populariti kini melingkari mereka, itu tidak bererti Maroon 5 sudah boleh tersenyum bangga. Sebaliknya kata Levine ringkas: “Kami akan terus memberikan yang terbaik kepada peminat untuk setiap produk yang bakal dikeluarkan.MAROON 5 terdiri daripada Jesse Carmichael, Ryan Dusick, Adam Levine, Mickey Madden, dan James Valentine.
Levine yang juga menulis kebanyakan lirik lagu untuk album mereka menambah, pada kebanyakan lirik lagu yang dihasilkan, ia tidak dibikin secara formal di dalam studio atau bersama instrumen. Sebaliknya ia dihasilkan secara spontan.
“Kebanyakannya saya hasilkan dalam bilik mandi, bukan sewaktu saya sedang memetik gitar. Pelik bukan? Tapi saya rasa menghasilkan lagu secara spontan adalah seni yang lebih unik berbanding kita terlalu berusaha untuk melakukannya,” katanya.
Rapat
Sejak ditubuhkan lebih 10 tahun lalu, mereka tidak pernah berpecah kecuali Ryan Dusick meninggalkan band tersebut kerana masalah kecederaan.
Ditanya rahsia mereka mampu mengekalkan keharmonian dalam band, Levine memberitahu, kerana hubungan akrab yang terjalin sejak sekian lama membuatkan mereka kekal bersama.
Mengaku sesekali bertengkar dan tidak sefahaman, katanya: “Tapi ia adalah proses biasa. Sebenarnya kami sudah lebih sekadar sebuah band. Kami adalah satu keluarga dan pertalian yang cukup utuh ini membuatkan kami bertahan bersama.”
Bagaimanapun saat ditanya tentang sampai bila mereka akan bertahan bermain muzik bersama, Levine seperti memberi bayangan mereka tidak akan bermain muzik sehingga tua seperti mana yang dilakukan band-band lain.
Katanya, dia percaya bahawa Maroon 5 sudah berada di kemuncak dan tidak mustahil bubar selepas melahirkan sebuah lagi album yang tidak diketahui bila akan diterbitkan.
“Pada satu tahap nanti, saya mahu memberi fokus kepada hal lain dan saya tidak tahu sama ada saya mahu meneruskan kerjaya ini atau tidak apabila usia kami telah mencecah 40 atau 50 tahun. Saya tidak melihat kami akan menjadi seperti Rolling Stone,” jelas Levine.
sumber>
kosmo!
sumber>
kosmo!
No comments:
Post a Comment