Terbuai dibelai pengkid



GADIS manis itu lagaknya seperti insan biasa, tiada yang istimewa atau aneh pada dirinya.
Namun, Anis, 27, pernah melalui gelora pahit dalam hidupnya setelah dikecewakan insan bernama lelaki.
Tidak terlepas daripada menjalinkan hubungan normal seperti kebanyakan pasangan lain sejak usia belasan tahun, Anis bagaimanapun mencalit garisan hitam dalam lembaran hayatnya setelah bertemu Asrul, 28, tatkala menuntut di sebuah kolej di ibu kota.
Cinta membuatkan hatinya buta. Dia hanya menurut kemahuan nafsu yang merajai diri sehingga sanggup menyerahkan segala yang dimiliki termasuk maruah dan wang ringgit.
Kata-kata manis Asrul selama ini rupa-rupanya cuma ingin mengambil kesempatan ke atas Anis yang mulus dan ada rupa.
“Asrul memang mengubah radius kehidupan saya sepenuhnya sehingga saya sanggup menyerahkan segala-galanya kepadanya,” ujar Anis kepada Jurnal.
Mengimbas kenangan bersama Asrul, Anis mengandaikan cinta mereka adalah yang teragung dan sukar dicari. Anis tidak sanggup berpisah dengan Asrul walaupun sekejap.
“Ke mana saja pergi kami mesti bersama sedangkan kami belajar di fakulti yang berlainan.
“Namun, Asrul masih sempat mencari perempuan selain saya,” bicaranya dalam nada sebak.
Malah, Asrul sendiri mengaku kepada Anis yang dia memang ada perempuan lain sehingga membawa ke ranjang.
Bagai halilintar membelah bumi, pada masa itu juga Anis menamatkan hubungan cinta mereka.
Songsang
“Saya bukan jenis wanita yang sanggup berkongsi kasih dengan orang lain apatah lagi jika sudah melibatkan hubungan intim.
“Kepercayaan kepada lelaki luntur sama sekali. Biarlah golongan lelaki sekadar menjadi kawan, bukan insan yang perlu saya curahkan kasih sayang,” tambah Anis yang sentiasa dikelilingi lelaki termasuk lima abangnya yang telah berumah tangga.
Tanpa diduga, tatkala Anis memerlukan sokongan, Erry muncul mengutip serpihan hatinya yang retak lalu memupuk dan membelainya dengan sepenuh perasaan cinta.
Erry bukan insan biasa bagi Anis. Walaupun lagaknya seakan-akan lelaki selain pemakaiannya bak lelaki sejati, hanya Erry yang memahami jiwa Anis.
“Selepas bersama Asrul selama dua tahun akhirnya kami putus begitu sahaja.
“Pada masa yang sama, Erry muncul memberikan cintanya walaupun kami sesama jantina,” getus Anis yang semakin menemui sinar hidupnya.
Bercahaya. Itu tafsiran yang diberikan kepada kehadiran Erry yang bukan bersifat mengambil kesempatan ke atas dirinya.
Selain cinta dan kasih sayang, Erry sanggup berkorban demi melihat Anis bahagia dan sentiasa ceria.
“Erry menjual motosikal kesayangannya demi membayar ansuran bulanan kereta baru saya.
“Katanya, dia tidak sanggup melihat saya meredah panas terik matahari menaiki motosikal untuk ke kolej.
“Dia juga sering menemani dan menunggu saya di luar dewan kuliah,” katanya yang kini menetap di sebuah negeri di utara Semenanjung.
Percaya pada prinsip hanya wanita tahu apa yang wanita lain inginkan menjadikan Anis terus hanyut bersama Erry dalam bahtera yang mereka cipta sendiri.
“Mungkin satu hari nanti cinta saya akan beralih arah apabila bertemu lelaki yang dapat menerima diri saya seadanya,” singkapnya bersulam nada kekesalan.

RAMAI gadis beralih arah kepada cinta wanita pengkid kerana golongan itu dikatakan lebih romantis dan mengambil berat. - Gambar hiasan
Kisah Ain, 25 pula berbeza plot penceritaannya. Akibat tidak tahan menanggung rindu terlalu lama berpisah dengan tunangnya, Dani, yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, cinta Ain pula berubah.

“Siapa yang tidak perlukan cinta di dunia ini. Saya akui saya mahukan cinta dan perlindungan daripada seseorang yang diyakini dan selesa,” bicaranya.
Selain tidak percaya pada kejujuran cinta yang berada jauh beribu kilometer, ujar Ain yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, dia sentiasa memerlukan kehangatan kasih sayang.
Jauh
“Saya putuskan hubungan dengan Dani sebab berasa terlalu lama menunggu.
“Saya serik malah yakin dia semakin melupakan saya kerana kami kian jarang berhubung selepas hampir dua tahun dia tinggal di luar negara,” jelasnya.
Setelah hubungannya bersama lelaki berkecai sebelum sempat ke jenjang pelamin, Ain disunting pula oleh seorang pengkid selepas mereka berkenalan dalam sebuah laman sosial.
Nat atau Natalie, 24, yang beragama Kristian sekali pandang saling tak tumpah seperti seorang lelaki, bahkan bulu roma halus pada wajahnya sudah cukup menggetarkan sanubari Ain.
Berkalung kata-kata dan pujukan manis Nat, Ain akhirnya memutuskan untuk memilih jalan hidup yang berbeza.
“Saya bahagia bersama Nat. Dia sentiasa bersama saya dan menghargai diri saya lebih daripada Dani yang hanya gemar menabur janji kosong,” luahnya yang selesa dengan kehidupan barunya bersama Nat.
Tatkala ditebak tentang penerimaan keluarga terhadap cinta barunya, Ain menyerahkan pada takdir dan waktu yang mungkin bakal membisikkan bayu keinsafan pada dirinya.




sumber>
kosmo!




2 comments:

Cik tikah said...

alahai... carilah lelaki yg btol2 lelaki... erm...

Unknown said...

btol2 ,, cari laki macam i nih ,,
kih3 ,,

PUSH